Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Senarai barisan kabinet Persekutuan 2013



PUTRAJAYA - Berikut ialah senarai barisan kabinet Persekutuan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini:
 
    Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

    Timbalan Perdana Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri
    Datuk Seri Jamil Khir Baharom
    Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai senator)
    Datuk Seri Idris Jala (Senator)
    Tan Sri Joseph Kurup
    Datuk Seri Shahidan Kassim
    Nancy Shukry
    Datuk Joseph Entulu Belaun
    Datuk Paul Low Seng Kuan (Senator)

    Timbalan Menteri: Datuk Razali Ibrahim
    Timbalan Menteri: P.Waythamoorthy (akan dilantik sebagai senator)

    Kementerian Kewangan
    Menteri I : Datuk Seri Najib Tun Razak
    Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
    Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Maslan

    Kementerian Pelajaran
    Menteri I: Tan Sri Muhyiddin Yassin
    Menteri II Datuk Seri Idris Jusoh
    Timbalan Menteri I: Datuk Mary Yap
    Timbalan Menteri II: P.Kamalanathan

    Kementerian Dalam Negeri
    Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
    Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar

    Kementerian Komunikasi dan Multimedia
    Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
    Timbalan Menteri: Datuk Jailani Johari

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
    Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
    Timbalan Menteri: Hamim Samuri

    Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
    Menteri: Datuk Seri G. Palanivel
    Timbalan Menteri: Datuk James Dawos Mamit

    Kementerian Pengangkutan
    Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (pangku)
    Timbalan Menteri: Datuk Aziz Kaprawi

    Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
    Menteri: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
    Timbalan Menteri: Datuk Joseph Salang
     
    Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
    Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
    Timbalan Menteri: Datuk Tajuddin Abdul Rahman

    Kementerian Pertahanan
    Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
    Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahim Bakri

    Kementerian Kerja Raya
    Menteri: Datuk Fadillah Yusof
    Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

    Kementerian Kesihatan
    Menteri: Datuk Seri Dr S.Subramaniam
    Timbalan Menteri:Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya

    Kementerian Belia dan Sukan
    Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar
    Timbalan Menteri: Datuk M Saravanan

    Kementerian Sumber Manusia
    Menteri: Datuk Richard Riot
    Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
    Menteri:  Datuk Hasan Malek
    Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (akan dilantik senator)

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
    Menteri: Datuk Rohani Abdul Karim
    Timbalan Menteri: Datuk Azizah Mohd Dun

    Kementerian Luar Negeri
    Menteri: Datuk Seri Anifah Aman
    Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainuddin

    Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
    Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahalan
    Timbalan Menteri: Datuk Halimah Sadique

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
    Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas
    Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon

    Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
    Menteri: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
    Timbalan Menteri: Datuk Alexander Nanta Linggi

    Kementerian Wilayah Persekutuan
    Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
    Timbalan Menteri: Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan

    Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan air
    Menteri: Datuk Seri Maximus Ongkili
    Timbalan Menteri: Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

    Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
    Menteri: Datuk Dr Ewon Ebin
    Timbalan Menteri Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah


 - Bernama

BN kuasai 133 kerusi Parlimen


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan kepemimpinan meraikan kejayaan Barisan Nasional membentuk kerajaan untuk PRU-13, semalam.

'Tsunami kaum Cina' antara punca undi berkurangan

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila menguasai 133 kerusi Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Pakatan pembangkang pula mendapat 87 kerusi dengan DAP memperoleh 38 kerusi, PKR (28 kerusi) dan PAS (21 kerusi).

Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional” Najib Razak, Perdana Menteri


Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen pada jam 12.50 tengah malam.

BN juga berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang, tetapi Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kekal dikuasai pembangkang.

Pembangkang di Selangor berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi bagi membentuk kerajaan berbanding hanya 12 kerusi dimenangi oleh BN.

Pembangkang juga berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga di Kelantan dengan mendapat 33 kerusi, berbanding BN hanya 12 kerusi.
BN tambah kerusi

Di Pulau Pinang; pembangkang turut menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 30 kerusi dan BN menang 10 kerusi dengan DAP menyapu bersih semua 19 kerusi yang ditandingi, PKR mendapat 10 kerusi dan PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, BN menang tipis di Kedah, Terengganu dan Perak. Di Kedah BN mendapat 21 kerusi berbanding 15 untuk pembangkang, manakala di Terengganu BN memperoleh 17 kerusi dan pembangkang 15 kerusi.

Di Perak; BN berjaya melepasi jumlah majoriti mudah apabila mendapat 31 daripada 59 kerusi, berbanding 28 untuk pembangkang. Pada pilihan raya umum 2008, BN tewas tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 2009 selepas tiga ADUN pembangkang menyokong BN.

Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, BN menambah kerusi Parlimen apabila berjaya merampas Titiwangsa daripada PAS dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan.

Kerusi lain yang dimenangi pembangkang ialah Kepong, Wangsa Maju, Segambut, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Batu.

BN buat analisis

Datuk Seri Najib Razak, dalam persidangan media selepas kejayaan itu berkata, keputusan yang kurang memberangsangkan kepada BN, berpunca daripada ‘tsunami kaum Cina’ yang tidak memberikan sokongan kepada BN sehingga MCA dan
GERAKAN yang mewakili kaum itu tewas di kebanyakan kerusi kepada DAP.

Katanya, BN akan membuat analisis terhadap keputusan pengundi Cina, selain kajian mengenai kegagalan mencatat kemenangan dua pertiga di Terengganu.

Beliau berkata, ‘tsunami kaum Cina’ berlaku kerana pihak pembangkang memainkan sentimen perkauman tidak sihat untuk negara ini kerana Malaysia mahu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Amalan demokrasi lancar

Najib juga berkata, keputusan itu membuktikan amalan demokrasi di negara ini berjalan lancar dan teratur.

“Keputusan rakyat ini turut menunjukkan aliran polarisasi pengundi dan ini membimbangkan. Jika tidak ditangani, ia boleh menimbulkan perbalahan dan ketegangan di negara ini.

“Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional,” katanya.

Kepada pembangkang Najib berkata, demi kepentingan negara beliau berharap pembangkang menerima keputusan dengan hati terbuka dan biarkan proses demokrasi berjalan lancar.

Najib juga memberi jaminan semua aku janji akan dilaksanakan dan ditunaikan oleh kerajaan BN.

“BN akan menubuhkan mekanisme khusus bagi memantau pelaksanaan aku janji supaya rakyat sedar apabila kita membuat komitmen, kita akan tepati,” katanya.

HARI PENENTUAN



13.2 juta pengundi pilih tampuk pemerintahan

Kuala Lumpur: Hari ini pengundi akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk menentukan tampuk pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun selepas 15 hari parti yang bertanding berkempen.
Kira-kira 13.2 juta pengundi, termasuk 2.3 juta pengundi baru akan membuat pilihan antara Barisan Nasional (BN) yang mempunyai rekod tidak pernah kalah sejak pilihan raya pertama pada 1959 dan memerintah negara selama 55 tahun dan pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen menjadi rebutan 579 calon pelbagai parti dan calon bebas, manakala 1,321 lagi calon merebut 505 kerusi DUN di semua negeri kecuali Sarawak yang mengadakan pilihan raya negeri dua tahun lalu.

BN bertanding di 221 kerusi parlimen, manakala pembangkang meletakkan calon di semua kerusi untuk menentukan parti yang berjaya menawan Putrajaya dan siapa bakal dipilih sebagai Perdana Menteri. BN tidak bertanding Parlimen Pasir Mas, Kelantan kerana calonnya tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Sebelum Parlimen dibubarkan pada 4 April lalu, BN menguasai 137 kerusi diikuti DAP (29 kerusi), PAS dan PKR masing-masing 23 kerusi serta Parti Maju Sabah (SAPP) dua kerusi. Enam lagi ahli parlimen bebas daripada Semenanjung selepas keluar daripada pakatan pembangkang dan dua lagi dari Sabah keluar daripada BN dan menyokong pembangkang.

Untuk menang dengan majoriti mudah, mana-mana parti perlu mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi atau 148 kerusi bagi mencatatkan kemenangan dua pertiga.
Dapat mandat penuh

Najib yang mahu mendapatkan mandat penuh sebagai Perdana Menteri kali ini yakin, BN bukan saja akan kembali memerintah, malah mampu mencapai kemenangan dua pertiga dengan sehingga 160 kerusi bagi membentuk kerajaan lebih kukuh.

Namun, Anwar yang kali pertama bertanding PRU dalam cubaannya untuk menjadi Perdana Menteri selepas dipecat daripada UMNO pada 1998 juga yakin mampu membuat kejutan kali ini dengan menang sehingga 125 kerusi selepas berjaya menyekat kemenangan dua pertiga BN pada PRU 2008.

Bagaimanapun, kebanyakan pemerhati politik meramalkan Anwar dan pakatan pembangkang tidak mampu menyaingi rekod cemerlang BN dan kewibawaan Najib yang dilihat mendapat sokongan majoriti pengundi.

Sementara itu, perebutan di peringkat DUN juga dijangka menarik kerana peluang BN merampas kembali Kedah dan Selangor lebih cerah berikutan sambutan pengundi, selain kegagalan pembangkang mentadbir negeri berkenaan sejak lima tahun lalu.

BN juga dikatakan mampu melakukan kejutan di Kelantan yang diperintah PAS sejak PRU 1990 atau sekurang-kurangnya memberikan saingan dengan mengurangkan majoriti kerusi PAS dan PKR.

Tambah kerusi

Bagaimanapun, pemerhati meramalkan BN sukar menembusi Pulau Pinang yang diketuai DAP. Namun, BN yakin mampu menambah kerusi berikutan kebangkitan rakyat yang tidak selesa dengan corak pentadbiran DAP, terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Perak juga bakal menyaksikan saingan sengit kerana BN hanya mempunyai perbezaan tiga kerusi selepas tiga ADUN, masing-masing dua daripada PKR dan seorang DAP keluar pakatan pembangkang pada 2009 dan menyatakan sokongan kepada BN.

Perlimen sudah dibubarkan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-13.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, Najib berkata beliau sudah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12.

Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun lepas yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.

Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Bagi SPR pula, ia akan melaksanakan lapan elemen baharu dalam pilihan raya umum kali ini sebagai langkah penambahbaikan perjalanan pilihan raya selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen pada 3 April lepas.

Lapan elemen itu termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal untuk menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera, membenarkan undi pos bagi masyarakat Malaysia di luar negara dan warga media serta dan menetapkan tempoh kempen tidak kurang 10 hari. - Bernama