Showing posts with label Zulfahmi Khairuddin. Show all posts
Showing posts with label Zulfahmi Khairuddin. Show all posts

Zulfahmi belum ada sasaran


PELUMBA kelas Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi  Khairuddin belum mahu menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014 bersama  pasukan baharu Ongetta Air Asia.

Beliau tidak lagi memacu jentera KTM sebaliknya akan menunggang jentera  Honda.

“Sejujurnya saya belum menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014. Saya belum menguji sepenuhnya jentera yang akan digunakan itu. Pada November lepas, saya ada melakukan ujian jentera di Litar Almeria (Sepanyol) tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan kerana keadaan cuaca yang kurang elok,” katanya  ketika ditemui pada majlis pelancaran motosikal KTM 1290 Super Duke di Litar  Sepang, semalam.

Menurut Muhammad Zulfahmi, beliau akan menguji jentera berkenaan sekali lagi pada sesi ujian rasmi pada 13 Februari depan.

“Saya yakin dengan ketua krew dan jurutera-jurutera yang ada dalam pasukan ini. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk berlumba dengan baik dalam musim  akan datang,” katanya.

Mengenai kecederaan yang dialaminya pada musim 2013, Muhammad Zulfahmi berkata beliau kini sudah 90 peratus pulih.

“Saya masih lagi menjalani latihan fisiologi dan menerima rawatan di ISN (Institut Sukan Negara). Saya banyak membuat latihan bagi menguatkan tangan  saya,” katanya.

Muhammad Zulfahmi ketika bersama pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas mengumpul 68 mata untuk musim ini berbanding di tempat ketujuh dengan 128 mata pada 2012.

Ongetta-CBC pasukan baru Zulfahmi

Zulfahmi tidak lagi mewakili Red Bull KTM Ajo musim depan.

Kuala Lumpur: Penunggang Red Bull KTM Ajo, Zulfahmi Khairuddin bakal berubah angin ke pasukan baru Ongetta-CBC untuk saingan Moto3 musim depan dengan ikatan kontrak selama setahun.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali sambil menyatakan anak kelahiran Banting, Selangor itu bakal bergandingan dengan pelumba Perancis Alexis Masbou yang menamatkan musim 2013 di tangga kelapan.

Lima terbaik

“Zulfahmi akan bersama Ongetta CBC yang berpangkalan di Mugello, Itali musim depan,” kata Razlan ketika dihubungi semalam.

“Saya meletak harapan supaya tahun depan menjadi tahun lebih baik untuk Zulfahmi dan dapat melakukan yang lebih baik dari tahun ini. Saya harap dia dapat bersaing untuk meletakkan dirinya antara kelompok lima terbaik musim depan.”

Razlan juga berkata, Zulfahmi yang menamatkan perlumbaan di GP Valencia di tangga ke-13 dengan catatan 40 minit 43.129 saat kelmarin bakal menguji jentera Honda barunya di Almeria, penghujung bulan ini.

Retak tangan

Musim 2013 bukan tahun terbaik buat Zulfahmi apabila berdepan kecederaan retak pergelangan tangan kanan di GP Aragon hujung September lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan kecil.

Ekoran dari pembedahan yang memerlukan masa untuk pulih, Zulfahmi terpaksa menarik diri daripada perlumbaan GP Malaysia, Oktober lalu namun kembali memasuki litar perlumbaan di GP Australia - menamatkan perlumbaan di tangga ke-11.

Pada musim 2012, Zulfahmi menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan dengan 128 mata - hasil daripada dua penamat di podium di GP Malaysia dan GP Valencia.

Terpaksa tarik diri saat akhir

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Zulfahmi Khairuddin hanya mampu melambai tangan kearah penyokongnya selepas beliau menarik diri dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - Jaguh lumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin menarik diri daripada perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang hari ini kerana tidak mahu kesakitan di pergelangan tangan kanannya menjadi bertambah teruk.

Selepas menerima tujuh suntikan ubat menahan sakit pagi tadi, beliau tetap merasa sakit semasa membuat satu pusingan semasa sesi memanas badan pagi tadi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulfahmi berkata, memandangkan beliau masih berasa sakit dan tidak mahu menanggung risiko mencederakan pelumba lain ketika perlumbaan nanti, beliau memutuskan untuk tidak beraksi.

"Sebenarnya selepas sesi kelayakkan semalam, saya berasa sakit di bahagian tangan. Sekiranya saya meneruskan perlumbaan hari ini, mungkin akan membahayakan keselamatan pelumba lain dan kecederaan saya juga akan bertambah teruk," kata
pelumba Moto3 dari pasukan Red Bull KTM AJO ini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan lebih 80,000 penonton yang hadir untuk memberikan sokongan.

Meskipun hampa tidak dapat meneruskan perlumbaan, Zulfahmi tetap turun ke trek dan melambai tangan ke arah penyokongnya.

Zulfahmi mengalami keretakan kecil pergelangan tangan kanan ketika beraksi di Litar Aragon minggu lepas.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pergelangan tangan kirinya terpaksa dibedah selain bahagian pinggangnya bengkak.

"Buat masa ini saya hanya fikir untuk cepat sembuh. Pada tahun depan, dengan fizikal yang cergas, saya akan memberikan perlumbaan yang baik untuk penyokong saya," kata Muhamad Zulfahmi yang sepatutnya memulakan perlumbaan pada petak
ke-14 hari ini.

Sementara itu, dua pelumba wild card dari pasukan Touchline-SIC-AJO, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik yang beraksi pada saingan Moto3 hari ini tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas tersasar dari trek.

Amirul Hafiq hanya mampu membuat tiga pusingan sahaja manakala Husni Aizat hanya menghabiskan satu pusingan sahaja daripada 18 pusingan.

Bagi Amirul Hafiq, beliau kecewa tidak dapat memberikan perlumbaan terbaik sejak sesi latihan pertama diadakan pada Jumaat lepas.

"Pelumba lain (Moto3) sangat berpengalaman dan hebat, saya memang perlu banyak belajar lagi," kata pelumba berusia 16 tahun ini.

Seorang lagi pelumba, Husni Aizat berkata, biarpun berada pada kedudukan tercorot namun beliau menganggap peluang berlumba di Litar Sepang adalah pengalaman berguna untuk kariernya. - Bernama

Zulfahmi sasar 10 terbaik

Zulfahmi memulakan perlumbaan di petak ke-14 hari ini.
PELUMBA negara dalam kategori Moto3,  Zulfahmi Khairudin akan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-14 selepas mencatat masa 2’15.474 dalam seisi kelayakan masa Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kedudukan petak yang diraih pelumba negara ini dianggap satu perkembangan positif memandangkan Zulfahmi masih bertarung dengan kesakitan di bahagian belakang pinggang dan pergelangan tangan kanannya.

Menurut Zulfahmi, segalanya berjalan dengan lancar dengan beberapa penambahbaikan berjaya dilakukan pasukan dan berada dikedudukan ke -14 sesuatu yang memberangsangkan.

“Walaupun pada mulanya litar agak basah hingga menjejaskan sedikit catatan masa sebelum kami mengambil keputusan untuk menunggu litar kering dan catatan masa 2’15.474 dianggap bagus berbanding semalam.

“Saya masih bertarung dengan kesakitan namun, saya gagahkan kerana ingin mencuba yang terbaik, masih banyak boleh diperbaiki terutamanya ketika mengambil selekoh namun percaya esok mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran untuk aksi hari ini, Zulfahmi mahu memastikan dua pusingan awal mampu meletakkan dirinya berada dalam kedudukan terbaik selain menamatkan perlumbaan di kalangan 10 terbaik .

“Perlu tahu kemampuan diri saya pada masa ini,  kesakitan memang masih dirasai namun mengharapkan ia berkurangan dan tidak melarat.

“Sasaran peribadi sudah pastinya 10 terbaik dan yakin mampu melakukannya jika dilihat prestasi jentera dan kemampuan pasukan,” katanya.

Selain Zulfahmi, dua pelumba muda negara, Amirul Hafiq Azmi turut beraksi dalam kategori yang sama dan berada dipetak 32 (2’17.757) manakala Husni Aizat petak 33 (2’17.814).

Bergelut cari rentak

Sepang: Prestasi sederhana dipamer pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada dua sesi latihan bebas semalam sebenarnya menyaksikan dia berlumba dalam kesakitan dan agak bergelut mencari rentak tunggangan terbaik kerana belum pulih sepenuhnya daripada proses pemulihan berikutan kemalangan di Grand Prix Aragon, dua minggu lalu.

Pada sesi pagi latihan bebas pertama, pelumba Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 16.852 saat untuk menduduki tempat ke-20 manakala pada sesi kedua yang berlangsung selepas hujan, Zulfahmi melakar masa 2:18.610s, juga di tempat ke-20.

Pada sesi latihan kedua, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu hanya memasuki litar kira-kira tujuh minit sebelum tamat sesi latihan 40 minit.

“Sebenarnya pada sesi latihan pertama, memang sakit akibat bengkak di bahagian bawah pinggang belakang. Ia berlaku terutama ketika saya tunduk di laluan lurus.

“Saya rasa betul-betul sakit. Sebab itu pasukan ambil keputusan untuk saya berehat lebih lama di pit dan hanya melakukan tujuh pusingan penuh.

“Kami mahu fokus kepada sesi latihan kedua, tapi ketika itu hujan dan litar pula basah. Keputusan diambil untuk saya buat dua pusingan penuh saja pada hujung sesi.

Zulfahmi Khairuddin

“Tidak banyak boleh saya katakan mengenai prestasi jentera sebab fokus utama adalah sesuaikan diri saya dengan motosikal,” katanya.

Zulfahmi berkata, dia memang rasa terkejut kerana kesakitan di bahagian belakang lebih memberi masalah berbanding pembedahan di pergelangan tangan kanannya yang selama ini menjadi tumpuan utama.

“Sakit di bahagian belakang sama ketika terjatuh di Aragon. Cuma tumpuan sebelum ini lebih kepada tangan saya,” katanya.

Apapun, dia sudah bersedia untuk turun berlumba walaupun terpaksa menahan kesakitan.

“Saya sudah 70 peratus sedia untuk turun berlumba dan cuba mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan esok (hari ini),” katanya.

'Saya boleh berlumba'

Bekas juara dunia, Valentino Rossi (kiri) bertanya keadaan kesihatan Zulfahmi pada sidang akhbar Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - "Saya sudah pulih dan cukup cergas untuk aksi hujung minggu ini."

Itu tegas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada sidang akhbar Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kata Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, doktor perlumbaan MotoGP telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan mengesahkan bahawa dia sudah boleh berlumba kembali biarpun sebelum ini ada pihak menyuarakan kebimbangan terhadap prestasinya selepas menjalani pembedahan di pergelangan tangan kanan di Sepanyol, baru-baru ini.

Tambah Zulfahmi, kini fokusnya adalah untuk memastikan tunggangannya pada perlumbaan hujung minggu ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Saya kini sudah boleh menggerakkan tangan dengan baik serta amat gembira apabila doktor yang merawat saya pagi tadi (semalam) memberitahu saya boleh beraksi tanpa apa-apa yang perlu dibimbangkan.

"Dapat beraksi di laman sendiri adalah sesuatu yang dinantikan oleh saya dan saya sentiasa memandang ke hadapan dalam setiap perlumbaan yang saya sertai," kata Zulfahmi.

Pada 29 September lalu, Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol.

Kecederaan pelumba itu mendapat reaksi pelbagai pihak, malah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz turut menasihatkan Zulfahmi agar berehat dan tidak berlumba di Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Zulfahmi tetap dengan pendiriannya untuk terus beraksi di Litar Antarabangsa Sepang sebelum memperoleh pengesahan daripada doktor perlumbaan di sini.

Sementara itu, Zulfahmi turut berharap pada sesi latihan bebas hari ini tiada lagi rasa sakit dirasai pada pergelangan tangannya.

"Sekiranya rasa sakit dapat di atasi sudah tentu semuanya akan berlangsung dengan baik selain dapat membuat catatan masa yang bagus.

"Dalam masa sama juga saya ingin berterima kasih kepada ISN kerana banyak memberikan bantuan dan prihatin terhadap kecederaan yang saya alami ini," kata Zulfahmi.

Zulfahmi bawa khabar gembira

Pelumba Moto 3, Zulfahmi Khairuddin bercakap ketika sidang media di SIC sempena
Grand PrixMoto GP Malaysia 2013.
BERITA gembira buat peminat sukan permotoran tempatan apabila jaguh motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengalami kecederaan dalam perlumbaan di Alcaniz, Sepanyol bakal beraksi pada Grand Prix Malaysia hujung minggu ini.

Zulfahmi berkata, rawatan pemulihan kesan dari kecederaan dialami menunjukkan peningkatan positif yang memberikannya peluang untuk beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Rawatan pemulihan kesan kecederaan menunjukkan kesan positif dan pakar perubatan sendiri mengesahkan saya boleh beraksi hujung minggu ini.

“Hari ini saya akan menjalani latihan ringan menunggang motosikal sambil diselia doktor perubatan sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media di SIC Sepang, semalam.

Jelasnya, sokongan peminat tempatan memenuhi SIC Sepang semasa perlumbaan diadakan hujung minggu ini amatlah diharapkan bagi menaikkan semangat pelumba tempatan.

“Sudah tentu kehadiran penonton akan menaikkan semangat pelumba tempatan, kami akan  melakukan yang terbaik demi negara dan peminat,” katanya yang menduduki tempat kedua pada perlumbaan musim lalu.

Selain Zulfahmi (Red Bull KTM Ajo) yang akan beraksi dalam Moto3 bersama Husni Aizat Abdul Malik (Touchline SIC Ajo) dan Amirul Hafiq Mohd. Azmi (Touchline SIC Ajo).

Peminat tempatan juga bakal melihat Azlan Shah Kamarulzaman (Musashi Boon Siew Honda), Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline Malaysia)  dan Mohd. Zaqhwan akan bersaing Moto 2.


Zulfahmi longlai sekadar ke-16 di GP Jerman

Sachsenring (Jerman): Penunggang harapan negara, Mohd Zulfahmi Khairuddin terus mempamer aksi longlai apabila mencatat kedudukan ke-16 Grand Prix Jerman, semalam yang menyaksikan jaguh muda Repsol Honda, Marc Marquez melakar kemenangan keduanya dalam kelas elit MotoGP musim ini.

Selepas gagal mengutip mata di Assen, Belanda dua minggu lalu, Zulfahmi yang memulakan perlumbaan di petak ke-12 di Litar Sachsenring tampak meyakinkan di awal perlumbaan sehingga pada satu ketika berada di posisi kesembilan sebelum dipintas pelumba lain dalam perlumbaan Moto3 yang dimenangi pelumba Estrella, Alex Rins.

 “Saya berlumba dengan baik di awal perlumbaan namun sehingga pertengahan saingan, saya berdepan masalah dengan selekoh perlahan kerana tidak dapat mengekalkan kelajuan. Saya kecewa namun mahu kekal positif dan selepas rehat musim panas ini, saya yakin kami boleh bangkit,” kata Zulfahmi.

Mohd Zulfahmi Khairuddin

Rakan sepasukan Zulfahmi dari pasukan Red Bull KTM Ajo, Luis Salom terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua apabila dipintas di saat akhir diikuti pelumba Calvo, Maverick Vinales, melengkapkan kedudukan podium.

Penampilan pertama

Dalam kelas MotoGP, kemenangan di Jerman meletakkan pelumba muda Sepanyol berusia 20 tahun, Marquez yang membuat penampilan pertama dalam kelas perdana itu musim ini selaku pendahulu baru keseluruhan memintas kedudukan rakan sepasukannya, Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo yang terpaksa menarik diri selepas berdepan insiden pada sesi ujian masa.

Zulfahmi tetap dapat sanjungan Red Bull KTM Ajo


Kuala Lumpur: Walaupun gagal menaiki podium selepas enam perlumbaan musim ini, tetapi prestasi Zulfahmi Khairuddin masih mendapat sanjungan dan pujian daripada pengurusan pasukannya, Red Bull KTM Ajo.

Pengurus pasukan Red Bull KTM Ajo, Aki Ajo menyifatkan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu sudah mempamerkan peningkatan prestasi memberangsangkan sejak dua tahun lalu dan berada di landasan tepat untuk muncul pelumba yang disegani.
“Fahmi (Zulfahmi) menyertai pasukan ini sejak 2011 selepas musim sukar dalam kelas 125cc dan dia sememangnya sedang meningkat, berjaya menamatkan perlumbaan dalam 10 pelumba terbaik.

“Dalam tempoh berkenaan, dia juga menunjukkan peningkatan dramatik dengan meraih dua penamat di podium,” kata Ajo. “Tahun ini Moto3 menjadi satu kelas yang sangat sengit, tetapi ia perkara biasa untuk seorang pelumba meningkat dari tahun ke tahun tetapi bukan dengan terlalu mendadak.

Kekal tenang

“Saya percaya, catatan masa dilakukannya mungkin pantas atau lebih kurang saja, jadi dia perlu selesa dengan beberapa aspek mengenai jentera barunya itu. Bagi saya Fahmi sedang meningkat. Dia harus terus berusaha keras dan terus tenang saja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perlumbaan di Grand Prix (GP) Catalunya minggu lalu, Zulfahmi menamatkan perlumbaan dengan berada di tangga kesembilan sekali gus melonjakkan dirinya ke tangga ke-7 keseluruhan dengan 40 mata.
Selain Zulfahmi, Red Bull KTM Ajo yang mula menyertai Kejuaraan Dunia pada 2001 memiliki dua lagi pelumba iaitu Arthur Sissis dari Australia dan pendahulu kempen Moto3 ketika ini, Luis Salom dari Sepanyol.

‘Belum rezeki Zulfahmi’


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan Red Bull KTM Ajo, Aki Ajo percaya nasib masih belum menyebelahi Zulfahmi Khairuddin untuk berada di podium selepas Pusingan 5 Kejuaraan Dunia di GP Itali hanya menyaksikan anak didiknya itu berada di tangga ke-11 keseluruhan.

Baginya, pelumba dari Banting, Selangor itu sudah menunjukkan peningkatan sejak awal musim perlumbaan, cuma mungkin tuah masih belum memihak kepada Zulfahmi sejak menyertai Moto3.
“Mungkin keputusan masih belum memihak kepada dirinya,” kata Aki semalam. “Tetapi dia dan pasukan sangat gembira kerana kami melihat ada peningkatan dan kami sebenarnya berada di landasan yang betul.

Boleh lakukan lebih baik

“Kami tahu dan percaya bahawa pasukan semakin hampir dengan apa yang diingini. Kami perlu meningkatkan lagi latihan, kerana jurang perlumbaan ketika ini sangat bagus,” katanya yang turut gembira apabila seorang lagi pelumbanya, Luis Salom menjuarai GP Itali, kelmarin.

Salom meraih kemenangan keduanya musim ini selepas di GP Qatar untuk meraih 102 mata - 4 mata di belakang pendahulu, Maverick Vinales (pasukan Team Calvo). Zulfahmi kini di tangga ke-8 keseluruhan berkongsi 33 mata dengan pelumba Mahindra Racing, Miguel Oliveira.

Sementara itu, Zulfahmi berkata: “Sekarang ini, kami perlu fokus kepada hasil kerja ketika sesi latihan terutama sesi kelayakan. Pada sesi latihan pertama, kami sentiasa bermula dengan baik tetapi apabila masuk hari kedua, kami gagal mendapat posisi yang bagus.
“Jika berjaya memulakan perlumbaan di posisi hadapan dan terus kekal bersama kelompok pendahulu, saya boleh melakukan yang lebih baik lagi,” kata Zulfahmi yang mempunyai rekod dua penamat di podium tahun lalu - di GP Malaysia dan GP Valencia.

Zulfahmi tidak alami kecederaan serius



Zulfahmi Khairuddin berkata beliau tidak mengalami kecederaan serius ekoran terlibat dalam insiden kemalangan ketika beraksi di Litar Le Mans.

Pelumba berusia 21 tahun itu berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN), kecederaan yang dialaminya termasuk kecederaan lama pada pergelangan tangan kirinya tidak serius dan tidak perlu dilakukan pembedahan.

"Saya telah membuat x-ray di ISN semalam. Alhamdulillah tiada apa-apa. Saya yakin pada perlumbaan akan datang, semua okay," katanya selepas membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di sini Rabu.

Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan baharunya, Red Bull KTM Ajo Racing Team musim ini, mengakui masih tidak serasi dengan jentera baharunya itu, namun yakin anggota pasukannya sedang bekerja keras bagi memastikan beliau dapat mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan akan datang.

"Pada setiap sesi latihan saya berada pada kedudukan ke-11 dan 12, namun pada hari perlumbaan saya mendapat 'extra motivation' untuk menduduki petak (kedudukan) yang lebih baik.

"Saya harap pada perlumbaan akan datang, saya akan mendapat 'better position grid' semasa sesi latihan dan kelayakan serta mencatat kedudukan terbaik pada hari perlumbaan," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Khairy, Zulfahmi berkata beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Circuit International (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali telah membincangkan mengenai pelan pembangunan sukan pemotoran negara.

"Saya yakin dengan program KBS dalam pembangunan sukan pemotoran negara pada masa akan datang. Program pembangunan dua tahun lepas sangat membantu pelumba-pelumba negara," kata Zulfahmi yang juga Ikon Belia Negara.- Bernama

Berlatih hingga ketagih



Siapa sangka kanak-kanak yang dulunya menjual surat khabar di tepi jalan dengan bayaran RM5 setiap dua jam seawal usia 13 tahun dan pernah bekerja sambilan di kedai cat kereta dan makanan segera sehingga berusia 17 tahun, kini muncul sebagai pelumba yang bukan saja dikenali di Malaysia malah di Eropah.

Malah kerana minat yang begitu mendalam dalam sukan permotoran menyebabkan pemilik nama sebenar Muhammad Zulfahmi Khairuddin, 22, mencuba nasib dalam pemilihan Cub Prix ketika berusia 13 tahun menerusi pasukan Aprillia Junior GP. Seterusnya semasa berumur 17 tahun dia mendapat tawaran daripada Modenas untuk berlumba di Cub prix dan sudah semestinya ia peluang yang sangat baik bagi meneruskan cita-cita sebagai pelumba motosikal terkenal dunia.

Langkahnya tidak terhenti di situ, apabila dia mula mencuba menerusi program Wildcard MotoGP Malaysia yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2009 dan terus mengikuti secara sepenuh masa pada 2010 hingga sekarang.

Paling mengagumkan anak sulung daripada empat beradik ini muncul di antara pelumba Moto3 yang mendominasi saingan, kejayaan yang diperoleh remaja ini bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo bukanlah satu perkara mudah untuk dikecapinya. Apatah lagi pada usia yang masih muda dia terpaksa meninggalkan Malaysia dan menetap di luar negara tanpa ditemani keluarga.

Menurut Zulfahmi terpaksa mendalami ilmu sukan pemotoran selama tiga bulan di Itali, itulah kali pertama dia berpisah dengan keluarga dalam tempoh yang lama.

"Saya dihantar ke Itali bersendirian dan terpaksa melaluinya dalam tempoh tiga bulan. Di sana tiada orang yang berbahasa Inggeris. Kawan-kawan saya pula di kalangan orang Eropah. Memang saya rasa sangat susah. Lebih-lebih lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Namun apabila difikirkan itu semua tidak menjadi masalah kerana inilah harga yang perlu dibayar demi memastikan cita-cita saya tercapai," katanya yang hanya dibekalkan duit poket sebanyak RM812 sebulan atau 200 euro.

Menurut Zulfahmi tinggal berdekatan dengan tempat latihan dan bengkel menjadikan rutin harian banyak dihabiskan di litar. Boleh dikatakan setiap hari dia menjalani latihan sehingga ketagih.

"Setiap pagi paling minimum saya berlatih selama dua jam. Tengahari pula minimum tiga jam. Saya juga banyak menghabiskan masa di bengkel dengan mekanik dan jurulatih saya. Jika tiada latihan saya gemar mencipta barang-barang atau mengubahsuai motosikal. Jika tidak saya suka mengikuti aktiviti berbasikal atau lumba motosikal lasak (motorcross)," katanya.

Mendedahkan kisah hidupnya, Zulfahmi mengakui meminati sukan permotoran sejak berusia tujuh tahun ketika menonton perlumbaan motoGP menerusi televisyen. Sejak itulah dia sudah menanam azam menjadi pelumba motosikal suatu hari nanti. Baginya pelumba motor lebih versatil dan bergaya dengan pergerakan badan ketika berlumba berbeza dengan pelumba kereta yang hanya statik saja.

"Apabila menonton perlumbaan saya berasa sangat seronok terutama melihat idola saya Valentino Rossi - Pelumba MotoGP bersaing di litar. Saya berangan-angan menjadi seperti dirinya suatu hari nanti," katanya.

Melihat tubuhnya yang kecil tidak sepadan semangatnya yang kental membara walaupun pernah mengalami kemalangan ketika perlumbaan di sebahagian litar dunia tetapi ia tidak mematahkan semangat Zulfahmi untuk terus berlumba. Malah kecederaan yang tidak serius membuatkan dia masih mampu meneruskan perlumbaan seterusnya.

"Memang saya pernah jatuh, tetapi kemalangan di litar adalah sesuatu yang normal. Sebenarnya kalau diikutkan, sekiranya seseorang pelumba itu mengalami kemalangan dia sepatutnya perlu terus keluar dari litar. Tetapi pada ketika itu, disebabkan pelumba itu tidak keluar dari trek ini menyebabkan dia dilanggar pelumba lain," katanya.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dan ditawarkan melanjutkan pelajaran di Politeknik Shah Alam namun Zulfahmi terpaksa memilih antara dua sama ada Itali atau menyambung pelajaran di Malaysia. Dia memilih Itali kerana baginya peluang datang hanya sekali dan dia tidak mahu melepaskannya.

Namun minat menyambung pelajaran dalam bidang automatif dan reka cipta sentiasa ada. Tambah pula apabila melihat rakan-rakan mempunyai ijazah dalam bidang masing-masing.

"Saya bersyukur sekurang-kurangnya dengan memilih jalan hidup sebagai pelumba saya menjadi lebih matang dan mempunyai banyak pengalaman yang dapat digunakan dalam melayari kehidupan pada masa akan datang. Malah saya bayangkan piala-piala itu juga sebagai ijazah apabila melihatnya," katanya yang berasal dari Banting Selangor sambil tersenyum.

Ujar Zulfahmi, selain mengharumkan nama negara dia juga ingin membantu keluarga terutama ayah yang bekerja sebagai juruteknik. Bagi mencapai cita-cita ini dia perlu sentiasa memberikan yang terbaik dan fokus dalam latihan mahupun perlumbaan. Untuk menjadi pelumba berjaya seseorang itu harus bijak menghadapi cabaran selain mengekalkan tahap disiplin di peringkat paling tinggi.

"Tipu sekiranya saya katakan tidak tertekan namun sebagai pelumba saya harus bijak mengawalnya dan 'enjoy' dengan tekanan yang saya hadapi. Ini kerana jika asyik memikirkannya saya tidak dapat memberikan tumpuan. Sokongan dan harapan semua pihak dapat meningkatkan lagi semangat saya untuk mencapai kejayaan," jelasnya memberitahu dia menggemari litar Sepang yang menyimpan banyak kenangan manis dan Valencia kerana mencipta kejayaan di sana.

Sebagai pelumba Zulfahmi mengakui dia perlu menjaga kesihatan terutama memastikan mengambil makanan berkhasiat dan banyak minum air kosong. Di Barcelona memang mudah mendapatkan makanan sihat kerana pelumba lain juga turut mengikut jadual makanan ditetapkan.

Apa yang penting adalah pengambilan sarapan dengan tiga biji telur separuh masak, tengah hari nasi dan malam dengan daging atau ayam saja. Pada hujung minggu saja dia hanya dibenarkan mengambil apa saja makanan.

"Mujur saya bukanlah jenis kuat makan dan agak memilih makanan. Saya tidak ambil hidangan berminyak dan bergoreng seperti nasi lemak dan roti canai. Ini kerana jika saya makan ketika berlumba akan terasa kesannya," katanya yang nampak saja pendiam tetapi sebenarnya seorang yang kelakar dan periang.

Pada masa hadapan Zulfahmi berharap dia dapat memperbaiki kedudukan dan ingin mengikuti Class Moto2 dan MotoGP dalam masa tertentu. Paling penting dia ingin memiliki pasukan sendiri agar dapat mengukuhkan nama dalam bidang permotoran sama ada di Malaysia mahupun luar negara.


Trivia

  • Zulfahmi menduduki ranking ketujuh dunia serta dua kali mencatat keputusan podium pada musim 2012.
  • Pelumba tunggal Moto3 Malaysia dan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records berikutan kejayaan sulungnya memenangi tempat kedua Kejohanan Dunia MotoGP, Sepang tahun lalu.
  • Mencatat sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia dan Asia yang memulakan perlumbaan di petak pertama dalam kategori Moto3, serta pelumba Malaysia pertama yang menaiki pentas podium dalam mana-mana perlumbaan kelas Grand Prix.
  • Dikurniakan anugerah 'Out-Do Yourself' SAM-100PLUS atas prestasi cemerlang dalam kategori Moto3 dan turut dinamakan sebagai pemenang anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 dalam kategori itu.


Profil:

Nama penuh: Muhammad Zulfahmi Khairuddin
Asal: Banting, Selangor
Tarikh Lahir: 20 Oktober 1991
Adik-beradik: 4 orang
Tinggi: 168 cm
Berat: 57 kg
Pendidikan: SPM
Hobi: Berbasikal, bermain ping pong dan menunggang motosikal
Makanan kegemaran: Sate dan Pizza
Negara yang ingin dikunjungi: USA (New York) dan Indonesia
Muzik pilihan: Pop rock
Pencapaian tertinggi: Menaiki Podium di Malaysia dan di Valencia, Sepanyol

Zulfahmi di tempat ketujuh


Zulfahmi Khairuddin terpaksa berpuas hati menduduki tempat ketujuh daripada 23 pelumba dalam Moto3 Grand Prix Amerika di Litar Americas, Austin, Amerika Syarikat.


Penunggang jentera KTM daripada pasukan Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 11 minit 36.682 saat untuk meraih sembilan mata sekali gus mengumpul 19 mata di tangga keenam keseluruhan selepas dua sirkit termasuk di Losail, Qatar.

Tiga tempat teratas Grand Prix Amerika di litar sepanjang 5,513 meter itu, dikuasai pelumba Sepanyol iaitu Alex Rins, Maverick Vinales dan Luis Salom.

Menurut laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com perlumbaan itu dimulakan semula sebanyak lima pusingan selepas sebelumnya diberhentikan akibat kemalangan teruk yang menimpa pelumba dari Belanda, Jasper Iwema pada pusingan ke-12. - Utusan

Zulfahmi di tempat keenam di Qatar


Zulfahmi Khairuddin berjaya memulakan saingan pada tahun 2013 dengan baik apabila berjaya meraih tempat keenam pada perlumbaan GP Qatar.


Walaupun bermula dari petak ke-11, Zulfahmi yang menunggang Red Bull KTM Ajo berjaya menunjukkan ketenangan ketika menunggang untuk mengejar kelompok pelumba hadapan bagi meraih 10 mata dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia.

Perlumbaan itu berjaya dimenangi rakan sepasukannya, Luis Salom sementara naib juara Moto3, Mark Vinales di tempat kedua dan Alex Rins berada di kedudukan ketiga.

Zulfahmi boleh jadi juara dunia - Lorenzo

SEPANG - "Anda boleh menjadi juara dunia." Itu kata juara Dunia MotoGP, Jorge Lorenzo yang mengiktiraf bakat dan kebolehan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin.

Lorenzo, juara Dunia 2010 dan 2012 berkata, bukan mudah untuk menjadi sehebat Fahmi. "Dia satu-satunya pelumba Malaysia yang beraksi dalam kejuaraan motosikal dunia.

"Sebab itu dia sangat terkenal Malaysia. Saya lihat Fahmi seperti bintang filem, semua orang kenal dia. Saya yakin dia mampu menjadi juara dunia satu hari nanti," kata Lorenza.

Sekalipun memegang status juara dunia, Lorenzo mengakui dia adalah peminat Zulfahmi.

Menurutnya, dia kagum dengan dengan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang disifatkannya memiliki gaya tunggangan yang cukup lancar dan berbakat besar.

Didorong atas rasa kagum terhadap Zulfahmi, Lorenzo sendiri meluahkan hasrat mengadakan sesi fotografi eksklusif bersama pelumba berusia 21 tahun itu dengan media pilihannya, semalam.

Lorenzo yang berada di Malaysia kerana menyertai sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang memberitahu: "Saya sukakan gaya tunggangan Fahmi yang begitu lancar. Dia juga memiliki gaya tunggangan yang selamat dan memiliki kelajuan.

"Jika dia mengekalkan disiplin yang tinggi dan fokus kepada kariernya, Fahmi mampu bergelar juara dunia tidak lama lagi. Dia memiliki ciri-ciri menjadi pelumba yang hebat."

Zulfahmi yang mengulas pujian Lorenzo berkata, dia tidak pernah berasa dirinya popular, sebaliknya Lorenzo yang sebenarnya memiliki nama besar di seluruh dunia.

Jorge Lorenzo berbual dengan Zulfahmi Khairuddin pada sesi pertemuan khas yang diminta sendiri oleh juara Dunia MotoGP itu di Hotel Sama Sama, KLIA Sepang

"Jika hendak dibanding dengan saya, Lorenzo bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Lihat sahaja di negara ini, saya perhatikan ramai yang memakai helmet Lorenzo, saya tidak pula pernah melihat peminat yang menggunakan helmet saya," kata pelumba Red Bull KTM Ajo itu.

Zulfahmi sasar kejuaraan Moto3

Pelumba motosikal Malaysia, Zulfahmi Khairuddin yakin beliau akan menjadi juara dunia kelas Moto3 2013.

Musim baru, yang akan bermula di Qatar pada 5-7 April, akan melihat Zulfahmi bersaing untuk kemenangan pertamanya selepas ujian pra-musim yang baik di Jerez, Sepanyol.

"Kami telah membuat dua ujian pra-musim yang baik, di mana saya sering di antara yang paling pantas, jadi kami ke ujian yang terakhir dengan penuh keyakinan. Akan terdapat beberapa bahagian yang baru untuk motosikal saya daripada KTM yang akan meningkatkan lagi prestasi saya," kata Zulfahmi.

"Buat masa ini, saya yakin kami akan berada di lima tempat teratas di setiap perlumbaan.

"Tetapi kami perlu ingat musim ini tidak begitu mudah, dengan pesaing-pesaing saya juga menggunakan motosikal yang sama."

Zulfahmi akan berkangkat ke Sepanyol hari ini untuk bersiap sedia untuk ujian di Jerez.

Zulfahmi tersenarai dalam Malaysia Book of Records

Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi (kiri) 
menyampaikan sijil MBR kepada CEO Litar Antarabangsa Sepang 
(SIC), Datuk Razlan Razali (tengah) dan Zulfahmi
PELUMBA tunggal Moto 3 Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mencatat nama dalam Malaysia Book of Records berikutan kejayaan sulungnya memenangi tempat kedua Kejohanan Dunia MotoGP, Sepang tahun lalu.

Mencatat sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia dan Asia yang memulakan perlumbaan di petak pertama dalam kategori Moto 3, Zulfahmi merupakan pelumba Malaysia pertama yang menaiki pentas podium dalam mana-mana perlumbaan kelas Grand Prix.

Wakil Menteri Belia dan Sukan, Azman Maarof berkata, meskipun pelumba yang mewakili pasukan AirAsia-SIC-Ajo itu hanya menduduki tempat kedua di belakang pelumba Jerman, Sandro Cortese (Red Bull KTM Ajo), namun kejayaannya wajar diiktiraf kerana memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia terutama golongan muda.

“Kami sangat berbangga dengan beliau, dan mengharapkan prestasinya akan lebih meningkat bersama pasukan baru bagi musim akan datang,” katanya.

Sementara itu, terharu dengan penghormatan yang diberikan kepadanya, pelumba yang berasal dari Banting, Selangor ini berkata: “Terima kasih kepada SIC, AirAsia, KTM dan semua penaja kerana merealisasikan impian saya untuk beraksi dalam

Kejohanan Dunia MotoGP. Ia merupakan satu pengalaman berharga buat saya.”

Sebelum ini, Zulfahmi dikurniakan anugerah ‘Out-Do Yourself’ SAM-100PLUS atas prestasi cemerlang beliau dalam kategori Moto3 dan turut dinamakan sebagai pemenang anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 dalam kategori tersebut.

Zulfahmi selesai jalani latihan bersama pasukan baru di Sepanyol


KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin selesai menjalani latihan selama tiga hari bersama pasukan baharunya, Red Bull KTM Ajo, di Litar Almeria, Sepanyol pada Jumaat.

"These have been three very good days for us. We began work with the new bike and learnt a few things. We have also seen what works best. In any case, we still have a lot of things to try and I also have to work on improving my riding.

"I think it is positive that we came here to do a test and that we have been able to put in some laps. I can't wait for Valencia next week," said the 21-year-old rider as quoted in the team's press release.

Pasukan Red Bull KTM Ajo memulakan latihan pra musimnya minggu ini di Almeria sebelum sesi latihan rasmi Moto3 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dari 12 hingga 14 Feb.


Selain Muhammad Zulfahmi, pelumba lain yang dipilih menyertai pasukan itu untuk kempen 2013 ialah Luis Salom dari Sepanyol dan Arthur Sissis dari Australia. - Bernama

Zulfahmi semakin hampir sertai Red Bull KTM


Zulfahmi Khairuddin

KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin (gambar) semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama Red Bull KTM Ajo selewat-lewatnya pada hujung Disember ini.

Anak muda kelahiran Banting, Selangor itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata, dia masih belum menandatangani sebarang perjanjian dengan pasukan juara dunia itu dan bakal berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

"Saya hanya boleh katakan status saya untuk menyertai Red Bull KTM Ajo sudah mencapai 80 peratus dan kontrak akan ditandatangani dalam tahun ini juga," katanya.

Zulfahmi bakal bergandingan dengan naib juara musim 2012, Luis Salom dari Sepanyol dan pelumba Australia, Arthur Sissis.

Menurut Zulfahmi, ketiadaan Sandro Cortese dan Danny Kent yang akan berlumba pada kejuaraan dunia Moto2 musim depan, membuka laluan kepada dirinya untuk menyertai Red Bull KTM Ajo.

Mengulas mengenai Salom yang menamatkan saingan 2012 di kedudukan kedua di belakang Cortese, Zulfahmi memberitahu, dia tidak begitu mengenali Salom dan sukar untuk menilai hubungannya dengan rakan sepasukan barunya itu nanti.

"Kita lihat sahaja apabila musim baru bermula pada April tahun depan di Qatar. Secara peribadi saya memang tidak begitu mengenali Salom dan harap semua berjalan dengan baik," ujarnya.

Ketika ditanya hubungannya dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang telah memperkenalkannya ke dalam kejuaraan dunia, pelumba berusia 21 tahun itu berkata, kariernya akan tetap diuruskan oleh SIC, sekalipun dia bakal menyertai pasukan baru.

"Saya masih bersama SIC dan urusan karier saya akan tetap diletakkan di bawah pengurusan SIC sekali pun saya bersama Red Bull KTM Ajo," tegasnya.

Zulfahmi turut mengharapkan musim 2013 akan memberi harapan yang lebih cerah untuknya dan sekali gus mencatat keputusan yang lebih baik berbanding musim ini.

"Saya harap KTM dapat menyediakan jentera 2013 yang lebih laju dan mantap, lebih bagus daripada tahun ini," tambahnya.

Kalendar kejuaraan motosikal dunia 2013 telah pun diumumkan, Jumaat lalu dengan Grand Prix Qatar bakal menjadi perlumbaan pembuka tirai pada 7 April tahun depan.

Grand Prix Malaysia pula akan dilangsungkan pada 13 Oktober iaitu perlumbaan ke-15 daripada 18 pusingan keseluruhan pada kalendar 2013.

Zulfahmi harap pencapaian lebih baik 2013

Zulfahmi Khairuddin disambut bapa dan ibunya, Khairuddin Weji dan Zarinah Parijan ketika pelumba Moto3 itu tiba di KLIA, Sepang dari Valencia semalam.

SEPANG - Anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 dalam Kelas Moto3 memberikan suntikan semangat buat Zulfahmi Khairuddin untuk mencatat keputusan lebih baik bersama pasukan barunya, Red Bull KTM Ajo pada saingan musim depan.

Dua kali naik podium musim ini iaitu naib juara GP Malaysia dan tempat ketiga pada GP Valencia minggu lalu, turut melonjakkan keazaman beliau meningkatkan persembahan pada musim 2013.

Kata Zulfahmi, beraksi bersama pasukan seperti Red Bull KTM Ajo musim depan bakal memberi kelebihan kepadanya memperoleh jentera yang baik untuk menghadapi cabaran daripada pelumba lain.

“Bagi saya tidak banyak beza antara pasukan lama dan baru nanti kerana sebelum ini saya juga bekerja bersama orang yang sama.

“Pasukan yang bakal saya sertai tahun depan boleh dianggap sebagai yang terbaik dan saya percaya pasukan yang mempunyai status pengeluar seperti Red Bull KTM Ajo amat penting bagi memperoleh keputusan baik," katanya.

Zulfahmi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam selepas menamatkan saingan musim 2012.

Dia menutup tirai Moto3 musim 2012 di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol Ahad lalu yang menyaksikan pelumba itu meraih kedudukan ketiga dengan catatan 45 minit 06.005 saat, di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo, Danny Kent dan Sandro Cortese.

Sebelum ini Zulfahmi meraih podium pertamanya di laman sendiri apabila memperoleh tempat kedua pada perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang 21 Oktober lalu.

Lebih manis pelumba kelahiran Banting, Selangor itu juga berupaya menamatkan perlumbaan musim 2012 apabila berada pada tempat ketujuh keseluruhan dengan 128 mata.

Zulfahmi menambah, latihan bersama pasukan baru akan bermula Januari depan bagi menguji jentera musim 2013.

“Ketika ini pasukan Red Bull KTM Ajo sedang mempersiapkan jentera untuk musim baru dan saya percaya ia hampir siap.

“Buat masa ini saya hanya berehat selain akan menjalani latihan untuk persediaan bagi menghadapi perlumbaan tahun depan yang amat mencabar," kata Zulfahmi.