Terpaksa tarik diri saat akhir

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Zulfahmi Khairuddin hanya mampu melambai tangan kearah penyokongnya selepas beliau menarik diri dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - Jaguh lumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin menarik diri daripada perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang hari ini kerana tidak mahu kesakitan di pergelangan tangan kanannya menjadi bertambah teruk.

Selepas menerima tujuh suntikan ubat menahan sakit pagi tadi, beliau tetap merasa sakit semasa membuat satu pusingan semasa sesi memanas badan pagi tadi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulfahmi berkata, memandangkan beliau masih berasa sakit dan tidak mahu menanggung risiko mencederakan pelumba lain ketika perlumbaan nanti, beliau memutuskan untuk tidak beraksi.

"Sebenarnya selepas sesi kelayakkan semalam, saya berasa sakit di bahagian tangan. Sekiranya saya meneruskan perlumbaan hari ini, mungkin akan membahayakan keselamatan pelumba lain dan kecederaan saya juga akan bertambah teruk," kata
pelumba Moto3 dari pasukan Red Bull KTM AJO ini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan lebih 80,000 penonton yang hadir untuk memberikan sokongan.

Meskipun hampa tidak dapat meneruskan perlumbaan, Zulfahmi tetap turun ke trek dan melambai tangan ke arah penyokongnya.

Zulfahmi mengalami keretakan kecil pergelangan tangan kanan ketika beraksi di Litar Aragon minggu lepas.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pergelangan tangan kirinya terpaksa dibedah selain bahagian pinggangnya bengkak.

"Buat masa ini saya hanya fikir untuk cepat sembuh. Pada tahun depan, dengan fizikal yang cergas, saya akan memberikan perlumbaan yang baik untuk penyokong saya," kata Muhamad Zulfahmi yang sepatutnya memulakan perlumbaan pada petak
ke-14 hari ini.

Sementara itu, dua pelumba wild card dari pasukan Touchline-SIC-AJO, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik yang beraksi pada saingan Moto3 hari ini tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas tersasar dari trek.

Amirul Hafiq hanya mampu membuat tiga pusingan sahaja manakala Husni Aizat hanya menghabiskan satu pusingan sahaja daripada 18 pusingan.

Bagi Amirul Hafiq, beliau kecewa tidak dapat memberikan perlumbaan terbaik sejak sesi latihan pertama diadakan pada Jumaat lepas.

"Pelumba lain (Moto3) sangat berpengalaman dan hebat, saya memang perlu banyak belajar lagi," kata pelumba berusia 16 tahun ini.

Seorang lagi pelumba, Husni Aizat berkata, biarpun berada pada kedudukan tercorot namun beliau menganggap peluang berlumba di Litar Sepang adalah pengalaman berguna untuk kariernya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment