Showing posts with label Azlan Shah. Show all posts
Showing posts with label Azlan Shah. Show all posts

Azlan pahat nama

Kuala Lumpur: Azlan Shah Kamaruzaman mencatat sejarah membanggakan apabila bergelar juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.

Penunggang Musashi Boon Siew Honda Racing itu muncul pelumba kedua Malaysia memenangi gelaran SuperSports 600cc di pentas Asia selepas kali terakhir dimenangi Chia Tuck Cheong pada 2000 dan 2001.

Selain itu, Azlan turut menamatkan saingan musim 2013 dengan kejayaan manis apabila meraih kejayaan berganda dengan memenangi kedua-dua perlumbaan akhir.

Dua kemenangan pada pusingan terakhir meletakkan Azlan di tangga teratas dengan mengumpul 235 mata, sekali gus turut mengekalkan gelaran yang dimenangi rakan sepasukan musim lalu, Ryuichi Kiyonari.



“Saya masih tidak percaya mampu memenangi gelaran ini. Sukar untuk digambarkan perasaannya dan kemenangan ini amat istimewa buat saya dan seluruh pasukan,” jelas Azlan yang turut menangis kegembiraan ketika lagu Negaraku didendangkan dan Jalur Gemilang dikibarkan di pentas podium.

Bermula dari petak pertama, saingan Perlumbaan 1 menyaksikan Azlan mencatat kemenangan mudah apabila menamatkan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 32 minit 20.579 saat, 7.964 saat di depan pencabar utama, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) yang berada di tempat kedua dengan 32:28.543s sambil rakan senegara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) ketiga 32:28.543s.

Meskipun sekadar memerlukan satu mata bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan, Azlan tidak memandang mudah saingan Perlumbaan 2 apabila dia sekali lagi bergelar juara selepas menamatkan saingan dengan masa 27:56.248s meninggalkan pelumba gantian Akeno Speed Racing, Broc Parkes di tempat kedua manakala Fujiwara sekadar di tempat ketiga, masing-masing dengan masa 27:56.428s dan 27:49.440s.

Kemenangan itu menyaksikan Azlan turut menamatkan musim 2013 dengan kejayaan menamatkan semua perlumbaan di podium.

“Perlumbaan 2 lebih sukar buat saya. Walaupun hanya perlu sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tempat ke-15, saya bersedia mengambil risiko untuk memastikan sekali lagi dapat berada di podium.”

Azlan ke-20 terbaik di Litar Philip Island

Azlan berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 20 terbaik pada saingan Kejuaraan MotoGP di Litar Philip Island Australia.
PELUMBA kelas Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 20 pelumba terbaik dalam pada saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Phillip Island, Australia, semalam.

Pelumba Honda Team Asia itu menamatkan 13 pusingan perlumbaan di kedudukan ke-19 dengan masa keseluruhan 20:56.318s selepas pertarungan sengit diantara barisan pelumba Asia, Doni Tata, Kohta Nohzane dan Rafid Topan Sucipto bersama-sama

Mattia Pasini dan Steven Odendall bagi memburu satu mata kejuaraan yang akhirnya menjadi milik Doni Tata setelah pelumba Indonesia itu berjaya menamatkan saingan di tempat ke-15.

Gelaran juara menjadi milik pendahulu keseluruhan dari pasukan Tuenti HP 40, Pol Espargaro, manakala tempat kedua dimenangi pelumba Interwetten Paddock Moto2 Thomas Luthi dan Jordi Torres dari pasukan Aspar Team Moto2.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Saya bergelut untuk mendapatkan pelarasan terbaik sepanjang minggu dan pada masa sama perlu cepat menyesuaikan diri dengan litar Phillip Island. Meskipun begitu, semuanya baik pada waktu perlumbaan sebenar dan dapat beraksi dengan lebih kompetitif,” katanya yang menamatkan saingan di tempat ke-22 pada saingan MotoGP di Sepang, minggu lalu.

Sementara itu, Pengurus Honda Team Asia, Tadayuki Okada turut berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Azlan.

“Dia bermula agak perlahan dan terpaksa mengejar pencabar Moto2 yang lain. Kami akan mencuba yang terbaik di perlumbaan seterusnya di Motegi nanti,” katanya.

Okada kagum kesungguhan Azlan

Okada (kanan) berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Azlan.

SELEPAS mempamerkan prestasi baik dengan menamatkan saingan di tempat ke-24 pada aksi pertama saingan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia di San Marino, Azlan Shah Kamaruzaman kini lebih bersedia untuk menghadapi perlumbaan keduanya di Litar Aragon, Sepanyol, hujung minggu ini.

Sebaik perlumbaan di San Marino tamat, Azlan dan seluruh pasukan Honda Team Asia telah kembali ke pangkalan mereka, Litar Ales di Perancis dan di sana, Azlan melakukan pelbagai latihan kecergasan termasuk berlatih di litar motorcross bersama pemilik pasukan, Tadayuki Okada.

Selain itu, pasukannya turut mengatur dua hari sesi latihan di litar Ales bagi membolehkan Azlan menyesuaikan diri dan mendalami karakter jentera yang digunakannya.

Dalam satu temu bual selepas perlumbaan di San Marino, Okada menjelaskan dia cukup tertarik dengan gaya agresif yang ditunjukkan Azlan sepanjang perlumbaan pertamanya.

“Dia tidak mudah mengalah dan cepat berputus asa. Kami tahu perlumbaan pertama di San Marino cukup sukar buat Azlan. Dia begitu keletihan selepas menamatkan dua perlumbaan Kejuaraan Asia dan kemudiannya terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke San Marino.

"Pada masa sama, dia terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan litar dan jenteranya namun ini semua tidak menjadi satu halangan kepada Azlan.

“Sewaktu perlumbaan akhir pula, Azlan merupakan antara pelumba yang paling kerap memintas pelumba di hadapannya. Dia mempunyai ciri-ciri seorang pelumba sejati dan berani,” jelas Okada.