Okada kagum kesungguhan Azlan

Okada (kanan) berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Azlan.

SELEPAS mempamerkan prestasi baik dengan menamatkan saingan di tempat ke-24 pada aksi pertama saingan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia di San Marino, Azlan Shah Kamaruzaman kini lebih bersedia untuk menghadapi perlumbaan keduanya di Litar Aragon, Sepanyol, hujung minggu ini.

Sebaik perlumbaan di San Marino tamat, Azlan dan seluruh pasukan Honda Team Asia telah kembali ke pangkalan mereka, Litar Ales di Perancis dan di sana, Azlan melakukan pelbagai latihan kecergasan termasuk berlatih di litar motorcross bersama pemilik pasukan, Tadayuki Okada.

Selain itu, pasukannya turut mengatur dua hari sesi latihan di litar Ales bagi membolehkan Azlan menyesuaikan diri dan mendalami karakter jentera yang digunakannya.

Dalam satu temu bual selepas perlumbaan di San Marino, Okada menjelaskan dia cukup tertarik dengan gaya agresif yang ditunjukkan Azlan sepanjang perlumbaan pertamanya.

“Dia tidak mudah mengalah dan cepat berputus asa. Kami tahu perlumbaan pertama di San Marino cukup sukar buat Azlan. Dia begitu keletihan selepas menamatkan dua perlumbaan Kejuaraan Asia dan kemudiannya terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke San Marino.

"Pada masa sama, dia terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan litar dan jenteranya namun ini semua tidak menjadi satu halangan kepada Azlan.

“Sewaktu perlumbaan akhir pula, Azlan merupakan antara pelumba yang paling kerap memintas pelumba di hadapannya. Dia mempunyai ciri-ciri seorang pelumba sejati dan berani,” jelas Okada.

0 comments:

Post a Comment