Showing posts with label Sabah diceroboh. Show all posts
Showing posts with label Sabah diceroboh. Show all posts

30 individu dikaitkan tindakan keganasan di Sabah

Mahkamah Kota Kinabalu - Gambar Hiasan

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17-27 September bagi perbicaraan 30 individu - 27 warga Filipina dan tiga rakyat Malaysia - yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah.
   
Mengambil kira jumlah yang dituduh yang akan dibicarakan bersama, Hakim P. Ravinthran menetapkan Pusat Pasukan Gerakan Am di Kinarut, sebagai tempat perbicaraan.
   
Beliau juga berkata tempoh perbicaraan memadai memandangkan pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya 50 saksi.
   
Daripada tiga rakyat Malaysia itu, seorang wanita menghadapi hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
   
Dua lelaki tempatan itu pula didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan yang didakwa dilakukan oleh warga Filipina itu pula termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas.
   
Sementara itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah bahawa warga Filipina berkenaan menghantar surat kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak supaya membatalkan pelantikan peguam oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
   
Beliau berkata warga Filipina itu meminta peguam mereka dilantik oleh kerajaan Filipina.
   
Ravinthran berkata beliau akan membuat keputusan selepas membaca surat itu.- Bernama

Sabah diceroboh: Masih ada rahsia belum didedah

Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Terdapat perkara sulit berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah yang belum didedahkan kepada umum, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya perkara itu masih dirahsiakan kerana tidak mahu menjejaskan proses mahkamah yang kini dalam proses pendakwaan.
 
"Masih ada lagi yang belum diceritakan mengenai mengapa semua ini terjadi, kami akan tunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannnya...adalah sukar untuk menerima hakikat kira-kira 200 orang berpakaian celoreng dan bersenjata secara tiba-tiba muncul," katanya.
 
Beliau berkata kepada pemberita selepas syarahan bertajuk 'Kerjasama Antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Ops Daulat: Satu Usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan' anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini hari ini.
 
Syarahan itu turut disertai Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bagi membincangkan kerjasama antara ATM dan PDRM dalam usaha menangani insiden pencerobohon pengganas Sulu terhadap negara ketika Operasi Daulat di Sabah.

Khalid berkata pihaknya akan mendedahkan perkara mengenai pencerobohan itu kepada umum apabila tiba masanya nanti.  
 
"Kes itu masih berjalan di mahkamah, jadi kami tidak mahu mengganggu perbicaraan kes itu. Sebagaimana saya katakan apabila tiba masanya, jika perlu kami akan mendedahkannya," katanya.
 
Sementara itu, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan negara akan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi kumpulan-kumpulan yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
 
"Kumpulan pengganas yang tidak mewakili mana-mana negara ini adalah ancaman yang perlu diberi perhatian...kumpulan itu boleh menjadi satu cabaran jika dipergunakan pihak lain untuk politik atau agenda mereka," katanya.
 
Zulkifeli berpendapat pengganas Sulu yang tiba di Kampung Tanduo pada 12 Feb lepas menyasarkan serangan ketika Parlimen Malaysia dibubarkan dan seterusnya mencetus huru-hara terhadap kerajaan sementara.
 
"Mereka tiba kerana banyak desas-desus pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah selepas Tahun Baharu Cina dan mereka hendak mengumpulkan kekuatan sebelum melakukan serangan besar-besaran untuk menuntut Sabah.
 
"Saya tidak tahu siapa yang memberi maklumat strategik kepada mereka tetapi bersyukurlah kita dapat mengesan mereka awal sebelum Parlimen dibubarkan dan mengambil tindakan menghalang mereka," katanya.
 
Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Feb lepas dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.
 
Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.  - Bernama

Ceroboh Sabah: Kerjasama asing punca lewat tindak

Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Penyiasatan yang memerlukan kerjasama negara asing merupakan antara sebab berlaku kelewatan dalam tindakan untuk menangani kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata memandangkan penceroboh merupakan rakyat asing, siasatan yang dijalankan polis tertumpu kepada tujuan kemasukan terlebih dahulu dalam usaha menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina.
 
"Setelah memulakan siasatan dan apabila polis diserang barulah diketahui kelompok ini bertujuan menceroboh dan mengganas. Namun penyiasatan juga melihat kepada hubungan dengan Filipina dalam semangat serantau...sebab itu penyiasatan memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua negara.
 
"Jadi, dalam keadaan sedemikian kita perlu berhati-hati dan selepas mengetahui serta mengenalpasti tujuan mereka barulah kerajaan menghantar tentera dan memulakan gerakan ketenteraan yang akhirnya menamatkan pencerobohan itu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kenapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap penceroboh dari selatan Filipina itu sehingga mencetuskan pelbagai persepsi di kalangan masyarakat, terutama rakyat Sabah.
 
Wan Junaidi berkata masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di timur Sabah yang menjangkau 1,700km serta jarak yang begitu hampir antara Lahad Datu dan selatan Filipina menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.
 
Beliau berkata pencerobohan itu bukan disebabkan soal kecanggihan teknologi dan kelengkapan pasukan keselamatan kerana situasi serupa juga berlaku di Mexico dan Amerika Syarikat apabila kecanggihan teknologi yang dimiliki belum dapat mengatasi kes pencerobohan, terutama di laut.
 
"Sekarang kita dah letakkan segala mekanisme, perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina juga telah dijalankan. Jadi, keselamatan di Sabah dan pulau borneo terjamin dengan tindakan yang dibuat," katanya merujuk kepada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac lepas.
 
Pembentukan Esscom yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkumi 1,400 kilometer membabitkan daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu bertujuan menjaga kedaulatan serta keselamatan kawasan pantai timur Sabah susulan insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Tungku pada Februari lepas.
 
Insiden yang berlarutan lebih sebulan itu menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban.

Menjawab soalan Bung Moktar sama ada benar pencerobohan di Kampung Tanduo itu turut melibatkan rakyat negara ini dan tindakan susulan yang diambil, Wan Junaidi berkata kerajaan belum bercadang mendedahkan maklumat lanjut mengenainya kerana siasatan rapi berhubung insiden dan individu yang disyaki masih dijalankan.
 
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah membuat pendakwaan ke atas 30 individu yang terlibat dalam insiden bersenjata itu secara berperingkat.
 
Daripada jumlah itu, empat orang adalah rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap manakala selebihnya rakyat asing.
   
Mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 66 tahun itu ialah antara 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.  - Bernama

Ceroboh Sabah: Laporan positif media perkasa ATM

Sabah diceroboh
MELAKA - Laporan positif media mengenai kejayaan pasukan keselamatan mematahkan konflik penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Sabah telah memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di persada dunia.
 
Panglima Angkatan Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor berkata ATM menjadi terkenal dan dihormati di luar negara disebabkan laporan media yang positif terhadap perjuangan pasukan keselamatan dalam menewaskan penceroboh secara efektif.
 
Beliau berkata hasil laporan positif media itu telah meyakinkan negara luar untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia dalam bidang ketenteraan.
 
"Imej ini bukan untuk dalam negara sahaja malahan untuk luar negara juga, kerana melalui media, hubungan ATM dan negara luar bertambah erat.
   
"Ia juga merupakan satu nilai tambah kepada ATM dalam mewujudkan kolaborasi dengan negara luar," katanya kepada pemberita selepas program Hari Media bersama Kementerian Pertahanan di Pusat Latihan Peperangan Khusus di Kem Sungai Udang di sini, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu itu, media bertungkus-lumus membuat liputan yang mutakhir dan tepat di sana.
 
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan saya yakin ia berjaya dibuat oleh pengamal media," katanya.
 
Pencerobohan itu bermula pada 11 Feb lepas apabila 150 pengganas Sulu dari selatan Filipina dikesan memasuki dan berkubu di Kampung Tanduo, 120 kilometer dari Lahad Datu.
 
Pada 5 Mac lepas, pasukan keselamatan terdiri daripada ATM dan Polis Diraja Malaysia melancarkan Operasi Daulat membanteras penceroboh berkenaan melalui strategi Lautan Biru setelah rundingan tiga minggu gagal.
 
Kejayaan gerakan ofensif itu menyaksikan  68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain.
 
Namun, lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban dalam insiden itu. - Bernama

Perang psiko Kiram

KOTA KINABALU  -  Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib  mengakui  pengganas Kiram  kini terpaksa melancarkan perang saraf  bertujuan untuk  memberikan semangat kepada  ahli-ahlinya untuk kembali kepada objektif asal mereka mahu merampas Kepulauan Borneo.

Beliau berkata, tindakan menyebarkan berita  kononnya berlaku pertempuran antara pihak  pengganas dan  pasukan keselamatan di Kampung Dengan, Tungku sebagai salah   bukti bahawa mereka sudah kehilangan sokongan daripada ahli-ahlinya.

“Ini taktik yang sudah kita jangka, kumpulan pengganas itu kini semakin   hilang sokongan dari ahli-ahli mereka, jadi langkah terdesak ini terpaksa diambil untuk mengembalikan sokongan dan semangat kepada pemimpin utama mereka termasuk Agbimuddin Kiram dan Jamalul Kiram.

“Walau bagaimanapun,   polis  dengan dibantu  oleh Angkatan Tentera Malaysia akan terus  mempertingkatkan kawalan dan rondaan di kawasan pantai timur Sabah termasuk di Zon Tanjung Labian dan Lahad Datu serta kawasan  lain yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Laporan media Filipina, kelmarin.

Hamza Taib

Menurutnya, pihaknya juga berharap agar orang ramai di kawasan berkenaan tidak lekas percaya dan panik apabila menerima khabar angin itu, sebaliknya sentiasa berhubung dengan balai polis terdekat untuk mendapatkan maklumat sahih.

Mengulas  lanjut mengenai dakwaan  seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Tanagian yang diculik dan dilarikan oleh sekumpulan lelaki bertopeng ke kawasan kebun kelapa sawit Isnin lalu, beliau berkata,  dakwaan yang dibuat itu masih disiasat dan diragui kebenaran.

“Dia ada masalah lain, bukan sebab pengganas culik. Kalau laporan yang dibuat palsu, tindakan akan diambil terhadapnya,” katanya.

Pengganas Kiram melalui jurucakapnya, Abraham Idrajani yang disebarkan oleh media Flipina, kelmarin mengakui mereka memasuki Kampung Dengan, Tungku sebelum bertembung dengan pasukan Keselamatan Malaysia dan berlaku pertempuran di kawasan terbabit.

Tawaran penuh muslihat Kiram

LAHAD DATU – Meskipun ancaman penceroboh di Lahad Datu sudah berakhir, namun pengalaman pahit tetap segar di ingatan penduduk. Apa yang jelas, pengganas Kiram sudah lama merancang  untuk masuk ke Sabah dan menawan Borneo dengan hajat meletakkan kepulauan itu di bawah kekuasaan Sultan Sulu.

Beberapa ketua kampung dan pengerusi JKKK mengakui kewujudan pelbagai tawaran dari pengganas untuk memujuk penduduk di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu, Kampung Sungai Bilis, Kampung  Tinagian, Kampung Lok Buani dan Kampung Lok Sembuang menyokong tindakan mereka.

Menyoroti semula kisah enam bulan sebelum pengganas menyusup masuk ke Lahad Datu, Ketua Kampung Tinagian, Abdul Aziz Linggan mengakui ada mendapat perkhabaran mengenai kemasukan ejen–ejen pengganas yang dilantik untuk memujuk penduduk kampung menyertai mereka.

“Mereka beroperasi di kedai kopi atau warung dan menyuruh penduduk menjadi ahli Sultan Sulu dengan bayaran RM50.

"Setiap orang yang menyertainya akan memperoleh kad identiti,” katanya.

Menurutnya, ketika itu orang kampung tidak menampakkan minat untuk menjadi ahli Sultan Sulu namun ejen-ejen terdiri dari orang Sulu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan berterusan memujuk penduduk menyertai mereka.

“Mereka janji macam-macam termasuk tanah, harta serta pangkat sekiranya Kesultanan Sulu berjaya merampas Borneo dan ini bagi saya adalah perkara ‘gila’.

"Saya juga terkejut apabila mendengar berita  ketua-ketua  kampung di Lahad Datu menjadi buruan ketika pengganas memasuki Kampung Tanjung Labian, 3 Mac lalu.

“Meskipun kampung Tinagian tidak menjadi sasaran pengganas namun kerana ianya berhampiran dengan Kampung Tanjung Batu, saya diberitahu supaya mengarahkan penduduk kampung keluar segera pada 4 Mac, iaitu selepas berlaku pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan Labian.

“Masa itu tembak menembak sudah berlaku Kampung Tanjung Batu, tiba-tiba dalam kekecohan untuk keluar dari kampung saya dihubungi seseorang yang bertanyakan di mana saya berada dalam bahasa Sulu. Bila dengar sahaja bahasa Sulu itu hati saya jadi tidak sedap, jadi saya ambil keputusan untuk tidak  melayan panggilan itu kerana khuatir pengganas mencari saya," katanya lagi.

Menurut ketua kampung itu lagi, teka-teki berhubung panggilan itu akhirnya terjawab apabila seorang pemuda datang ke rumahnya dan menyuruhnya keluar dari kampung segera.

“Dia beritahu pengganas sedang cari semua ketua kampung menyebabkan saya melarikan diri,” katanya.

Menurutnya bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia tinggal sementara di  rumah saudaranya  di kawasan Felda Sahabat.

Pengganas lantik orang tengah

Pengerusi JKKK  Kampung Sungai Bilis, Hussin Uyong  mengakui  sememangnya pengganas menggunakan orang tengah untuk meminta  penduduk menyertai mereka.

“Mereka bergerak senyap-senyap dan laporan mengenai kegiatan ini memang  diketahui namun kerana ia nampak biasa pada mulanya, kami tidak mengesyaki apa-apa.

“Sepanjang krisis pencerobohan bermula, kami dan beberapa ketua kampung lain sudah lima kali dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan. Kami beri kerjasama dan maklumkan mereka sememangnya mempunyai saudara mara yang ramai di sekitar Lahad Datu," katanya.

Katanya, kumpulan yterbabit juga sering menghubungi telefon bimbit penduduk malah  beliau juga mendapat tahu, kononnya kad ahli Sultan Sulu ini kebal dari tindakan pihak berkuasa.

“Mereka sasarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen.  Kalau tunjuk pada pihak berkuasa, mereka tidak akan ditahan atau dikenakan tindakan.

“Inilah yang kerap mereka kata jika menjadi ahli mereka boleh mendapat pangkat dan tanah sekiranya pengganas menakluki Borneo di bawah nama Kesultanan Sulu," jelasnya.

Penduduk jangan terpengaruh

Ketua Kampung Lok Buani, Roslan Abdul Hamid,47, berkata, dia sentiasa menasihatkan penduduk supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh mencemar kedaulatan negara.

“Perkara ini saya sering tekankan. Jangan biar kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu berulang sekali lagi dan sebagai rakyat Malaysia kita harus sama-sama mempertahankan negara.

“Krisis yang berlaku sebenarnya memberi pengajaran kepada kita betapa perlunya penduduk di kawasan ini bekerjasama dengan pasukan keselamatan supaya kegiatan ini tidak berulang,” katanya.

Pendapat sama dilontarkan Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang yang melalui situasi sama apabila kampungnya menjadi sasaran pengganas.

“Mereka lari masuk ke kampung saya sebaik pasukan keselamatan melancarkan serangan di Kampung Tanduo pada 1 Mac lalu,” katanya.

Katanya, kedatangan puluhan pengganas bersenjata cukup menakutkan dan disebabkan itu banyak rumah yang rosak kerana pertempuran berlaku di sini.

Pemandangan di Kampung Sungai Bilis.

Kampung Tinagian.

SK Lok Buani terpaksa ditutup sementara pada Mac lalu akibat krisis pencerobohan yang berlaku.

Antara kesan serangan pengganas yang masih ada di Kampung Tanjung Batu.

Pekerjaan utama penduduk Kampung Tanjung Batu adalah berniaga.

Misteri Kampung Tanduo

Misteri Kampung Tanduo

BUNYI aneh, jeritan, raungan kesakitan, terserempak kelibat manusia, antara perkara yang dilalui penduduk kampung berhampiran dan anggota keselamatan yang berkawal

SEJAK awal menjejak kaki di Felda Sahabat, Lahad Datu, pelbagai kisah misteri yang berlaku selepas Op Daulat disuakan ke telinga kami.

Kisah Kampung Tanduo yang menjadi lokasi dan tempat berkumpulnya lebih 100 pengganas tidak lama dahulu, bukan setakat yang dilihat dengan mata kasar.

Kewujudan kampung itu sejak 50 tahun lalu, sebelum ini dikatakan sebagai perkampungan haram, sebenarnya menyimpan 1001 misteri yang masih belum terungkai.

Beberapa penduduk berhampiran, terutama dari Felda Sahabat 17 yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan kelibat aneh ketika sedang memandu kereta untuk keluar ke Pekan Lahad Datu.

Menurut Ali Hadi, 30, dia pernah 'bertemu' dengan 'lembaga' seperti manusia yang melintas di laluan utama kawasan Felda itu.

"Masa tu hujan renyai. Saya sedang memandu dan hampir melanggarnya. Tapi lembaga itu sempat mengelak. Bila saya menoleh ke sebelah kanan, lembaga itu menghilang.

"Saya beranikan diri turun dari kereta. Memeriksa kawasan sekitar takuk jika benar-benar terlanggar orang. Bila saya periksa di tepi belukar, memang tiada siapa yang saya langgar. Tiba-tiba muncul perasaan seram. Saya masuk ke dalam kenderaan dan terus memecut laju."

Menurut Ali, hingga hari ini dia masih belum menemui jawapan siapa atau apakah yang dilanggarnya ketika itu.

Seorang lagi penduduk Felda Sahabat 17, yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 47, juga menceritakan perasaan aneh yang sering dirasainya terutama bila senja bermula.

"Ada satu hari saya dengar bunyi seperti seorang lelaki sedang menjerit dekat kebun kelapa sawit berhampiran rumah saya.

 “Mendayu-dayu. Nak kata bunyi anjing bukan, sebab bila saya jenguk di tingkap suara itu masih jelas didengari. Isteri saya pun mendengarnya. Kami buat keputusan cuba hubungi polis, tapi kemudian bunyi itu lenyap begitu sahaja."

Perkara itu turut diperkukuhkan lagi apabila ada anggota pasukan keselamatan yang turut mengalami perkara aneh ketika melakukan rondaan pada waktu malam.

“Kami beberapa kali terdengar bunyi suara orang minta tolong. Suara itu seperti dalam kesakitan.

"Bila diperiksa, tiada sesiapa. Perkara ini sering dialami oleh anggota keselamatan terutama pada waktu malam dan tengah hari,” katanya.
Malah ada juga yang mendakwa pernah terdengar seolah-olah bunyi tembakan.

Menurutnya pernah pada suatu ketika mereka terdengar seperti bunyi lolongan tetapi bila diperiksa di lokasi berkenaan yang betul-betul berhampiran Kampung Tanduo, tidak ada sesiapa di situ.

Peluang menjejak kaki ke Kampung Tanduo, kisah misteri yang disampai seperti sukar untuk dinafikan. Ditambah apabila gambar satu objek pelik yang dirakamkan oleh penduduk Felda Sahabat ditunjukkan kepada kami.

Melalui jalan-jalan sunyi dan menjengah beberapa tempat di sekitar Kampung Tanduo, ada sejenis aura yang dirasai.

Tidak pasti sama ada yang hadir itu 'angin' negatif atau sebaliknya, namun paling nyata ia menyuntik rasa berjaga-jaga sepanjang berada di sini.

Bertandang seketika di surau Kampung Tanduo, ada semilir hangat yang menampar kulit. Riak degup dada berubah rentak. Juga terasa seakan ada mata yang memerhati dan mengawasi kehadiran kami.

Tidak tahu kenapa. Namun rasa aneh itu terjawab apabila diberitahu surau itu sebelum ini menjadi lokasi pendaratan pengganas.

Di tanjung Sungai Tanduo, perasaan sama muncul kembali.

Ketika merakam beberapa keping foto perahu panjang dan perahu laju di tanjung sungai itu, perasaan sama muncul kembali.

Seakan ada suara yang menyeru supaya terus mara. Menghampiri, mendekati perahu perahu yang ditinggalkan itu. Namun 'sergahan' anggota keselamatan yang mengiringi, menasihatkan kami berpatah balik, mematikan langkah untuk terus ke hadapan.

Rupa-rupanya kawasan itu adalah tempat pengganas menyimpan bot dan perahu.

Memang...sepanjang berada di tebing sebarang tanjung sungai, kami merasakan ada mata yang dari arah semak, memerhati setiap gerak langkah kami.

Juga terasa seperti ada 'suara' yang memanggil-manggil agar melintas ke seberang menuju ke semak berkenaan.

Sebetulnya, kami tidak mahu berfikiran negatif atau diselubungi pengaruh mistik sepanjang bertugas di sini. Dan kerana itu, kebanyakan perkara yang dirasa, kami pujuk hati untuk menidakkannya.

Hari merangkak petang. Namun kami tidak mampu menipu perasaan sendiri.
Aura aneh kembali hadir 'mengacau' jiwa.

Semakin lama semakin kuat. Dan secara diam...hadir perasaan ingin menunggu di lokasi kejadian. Tapi kehendak hati terhalang kerana anggota keselamatan yang mengiring sudah memberi isyarat untuk keluar dari kawasan itu.

Kami bergerak ke arah kawasan rumah yang dikatakan menjadi tempat simpanan senjata kumpulan pengganas.

Kami lalui kawasan perkuburan pengganas yang ditemui pasukan keselamatan, juga menjadi lokasi rakan kami merakam foto objek pelik menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Kami tidak pasti apa objek berkenaan dan tidak pula mengatakan terdapat gangguan misteri di situ.

Dalam masa yang sama kami tidak mahu menafikan keanehan objek itu, serta mengakui memang ada sedikit rasa yang agak berbahang di kawasan berkenaan.

Boleh dikatakan rasa yang sama wujud di setiap lokasi dijejaki yang melibatkan pengganas. Dan mungkin juga 'bahang' yang dirasa merupakan kesan-kesan haba akibat pengeboman dilakukan semasa Op Daulat dahulu.

Seterusnya kami menjejak ke kawasan rumah yang didakwa tempat simpanan senjata serta tempat berlindung sementara kumpulan pengganas.

Dari situ, langkah kami mencecah ke kawasan kolam udang yang dikatakan sebahagian taktik pengganas menyusup masuk ke Kampung Tanduo.

Entah benar atau sekadar mainan perasaan di remang senja, di situ terasa juga ada mata memerhati pergerakan kami.

Berbeza dari kawasan sebelum ini, rasa ini lebih mengarah ke dalam kawasan kolam dan ketika ini, terasa degup jantung lebih kencang berbanding biasa.

Kami akhiri kisah ini seketika, kerana ingin segera keluar menyiapkan tugasan.

Dalam perjalanan pulang, ketika melewati semak, telinga menangkap bunyi derapan orang berlari,

Namun tiada kelihatan apa-apa di sekeliling.
Mata terus liar memerhati untuk memastikan perjalanan kami selamat dan tiada yang menghidu pergerakan.

Alhamdulillah...kami dilindungiNya untuk sampai ke Felda Sahabat dengan selamat.

Terkenang kembali perjalanan semasa perjalanan... secara tidak sengaja kami ada mendengar perbualan antara anggota pasukan keselamatan yang mengatakan mereka pernah melihat terlihat kelibat manusia sewaktu berkawal.

Apabila dijejaki, tiada manusia yang ditemui.
Tetapi mereka terjumpa kesan tapak kaki di persisir sungai.

Sama ada ia manusia atau bukan tiada dapat dipastikan!

Apapun, telah diakui oleh orang ramai termasuk penduduk dan pasukan keselamatan bahawa, kebiasaannya kawasan peperangan pasti akan menyimpan selingkar kisah-kisah misteri.

Insiden Lahad Datu: Seorang lelaki berdepan hukuman mati

Sabah diceroboh
TAWAU - Seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lepas berdepan hukuman mati selepas dia didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
 
Totoh Hismullah dituduh melakukan kesalahan itu dari 9 Feb 2013 hingga 29 Mac 2013 di Kampung Simunul, Semporna, mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
 
Dia turut didakwa menurut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan boleh didenda.
 
Pendakwaan dilakukan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di hadapan Hakim P.Ravinthran yang bersidang di Penjara Tawau.
 
Dengan pertuduhan terbaru hari ini, jumlah individu yang dihadapkan ke mahkamah berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu kini menjadi 31 orang termasuk seorang anggota polis, KPL Hassan Ali Basri.
 
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding hari ini, Abdul Gani berkata kesemua tertuduh telahpun melantik peguam masing-masing kecuali seorang tertuduh yang akan diwakili peguam yang bakal dilantik mahkamah tidak lama lagi.
 
Abdul Gani berkata pihak pendakwaan juga mendapat persetujuan daripada mahkamah supaya kesemua kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada prosiding seterusnya termasuk sesi perbicaraan.
 
"Saya dah mengemukakan proposal (permohonan) secara bertulis kepada CJSS (Hakim Besar Sabah dan Sarawak) untuk semua kes ini dipindahkan ke Kota Kinabalu dan proposal saya sudahpun dipersetujui," katanya.
 
Katanya kesemua kes itu, kecuali kes KPL Hassan yang tarikh perbicaraannya sudah ditetapkan, akan disebut semula di Kota Kinabalu pada 27 Jun ini manakala perbicaraan KPL Hassan juga di Kota Kinabalu, akan bermula pada 24 Jun.
 
Sementara itu, James Tsai, peguam yang dilantik Kerajaan Filipina untuk mewakili rakyat negara itu yang berdepan tuduhan dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, berkata setakat ini mereka mewakili 24 tertuduh.
 
Tsai berkata permohonan Datuk N.Sivananthan untuk menyertai pasukan peguamnya yang bakal mewakili kesemua 24 tertuduh itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 12 Jun ini.
 
Katanya tertuduh yang belum diwakili peguam pula akan diwakili peguam yang dilantik mahkamah.
 
Antara peguam yang dilantik mahkamah dan hadir bagi mewakili anak guam masing-masing dalam prosiding hari ini ialah Syarulnizam Salleh, YS Lo Yun Sin dan Zakaria Ahmad dengan diketuai Ram Singh. Mereka mewakili Basad H Manuel.  

Ronny Cham pula mewakili Ismail Yasin manakala Abdul Gani Zelika mewakili Abd Hadi Mawan dan Atik Hussin Abu Bakar.  

Turut hadir ialah Peguam Rowiena Rasid yang mewakili tertuduh, Pabblo Alie. Rowiena dilantik keluarga Pabblo. - Bernama

Agbimudin mahu jadi King Borneo


KEJAYAAN kerajaan menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas di Daerah Lahad Datu, Sabah melalui pasukan keselamatan dipimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) benar-benar dikagumi.

Di sebalik kejayaan itu, terpahat 1001 kisah pahit selain mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan, PDRM menghadapi pelbagai kerenah dan permintaan tidak masuk akal pengganas.

Mahu dirinya diiktiraf sebagai ‘King of Borneo’, itu antara tuntutan yang disuarakan Ketua Pengganas, Agbimudin Kiram susulan rundingan tiga hari dengan PDRM.

Sinar Harian berkesempatan bertemu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Hamza Taib yang berkongsi pengalaman sebelum dan ketika serangan ke atas pengganas  dilancarkan. Ikuti temubual khas bersama wartawan Sinar Harian, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Sabah.

Bolehkah Datuk ceritakan dari awal bagaimana krisis pencerobohan Lahad Datu bermula serta langkah-langkah penyelesaiannya?

Saya menerima laporan berkenaan pencerobohan Lahad Datu pada pagi 12 Februari lalu mengatakan sekumpulan orang bersenjata mendarat di Kampung Tanduo.

Saya menghubungi Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Shamsudin Mat untuk mengesahkan perkara itu dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa  60 hingga 80 orang mendarat di kampung itu. Sesetengahnya memakai jubah, seragam serta ‘half uniform’.

Setelah mendapat tahu perkara itu dan selepas disahkan oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu, apa tindakan Datuk seterusnya?

Saya arahkan pegawai saya membuat  laporan berhubung perkara ini serta menghubungi Komander Briged Sabah, Datuk Ahmad Marzuki untuk mengepung kawasan berkenaan serta menggerakkan Eastern  Command.

Petang itu juga saya kumpulkan semua ketua-ketua jabatan untuk membincangkan perkara ini dan perkara pertama adalah mencari satu kod operasi yang mana nama Ops  Sulu dipersetujui.

Kita telah gerakkan Ops Sulu dan kumpulkan segala maklumat yang ada. Saya juga arahkan agar Ketua Cawangan Khas untuk sahkan maklumat yang diterima,  Komander Briged Sabah mengepung kawasan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) wujudkan pasukan siasatan serta melantik seorang perunding.

Langkah seterusnya adalah memaklumkan pihak Bukit Aman operasi yang dilaksanakan.

Bagaimana perjalanan  rundingan antara polis dengan pihak penceroboh?

Saya bertindak selaku pegawai pemerintah dalam operasi ini dan dimaklumkan oleh perunding  bahawa mereka dapat bertemu dengan pihak penceroboh yang diketuai oleh Agbimudin Kiram.

Pertemuan dengan pihak penceroboh diadakan sebanyak tiga kali iaitu  14, 15 dan 16 Februari. Bagaimanapun proses rundingan sebenarnya bermula sejak hari pertama,  iaitu pada 12 Februari melalui telefon.

Boleh Datuk ceritakan, daripada proses perbincangan itu, apa yang Agbimudin mahukan?

Antara dituntut Agimudin adalah mahu gerombolannya dikenali sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan bukan sebagai pihak mewakili Abu Sayaf atau Moro Islamic Liberation Front (MILF). Agbimudin juga menuntut agar orang Sulu tidak diusir keluar dari  Sabah di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCI). Perkara ini kita boleh tunai kerana proses RCI belum habis.

Seterusnya dia minta menemui seorang personaliti dan memaklumkan personaliti itu ada di Kota Kinabalu. Kita cari dan berjaya temui dengan harapan apabila berjumpa, Agbimudin akan lembut hati dan akan keluar dari Sabah.

Apakah pihak datuk berjaya temui personaliti itu dan apa keputusan Agbimudin selepas itu?

Kita jumpa personaliti itu dan bawa orang ini masuk berjumpa Agbimudin.

Selepas itu dia minta berjumpa abangnya, Ismail Kiram. Untuk usaha ini kita juga bawa Datuk Piah dan anak Ismail Kiram, Amir Baha dari Filipina berjumpa dengan Agbimudin. Kita ambil mereka di Semporna dan temukan mereka, namun  dia tetap tidak mahu beralah.

Selain itu, apa lagi tuntutan diajukan oleh Agbimudin Kiram?

Dia mahu kita iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’. Saya cakap dengan dia, sedangkan Kerajaan Filipina tak iktiraf dia sebagai 'King of Borneo', mustahil kita boleh iktiraf apa dia mahu.

Pelbagai usaha kita buat. Kita panggil isteri dia, anak dia dan libatkan Kerajaan Filipina tapi  masih degil.

Selepas rundingan dan segala usaha gagal. Selaku pegawai pemerintah, adakah Datuk rasa sudah sampai masa serangan dilakukan?

Kita boleh serang, tapi ini bukan  cara Malaysia. Kita tak nak ada pertumpahan darah dan ambil keputusan teruskan usaha rundingan melalui telefon.

Keadaan memang tegang ketika itu. Proses rundingan terus berjalan dan saya dipertanggungjawabkan kerajaan Malaysia buat sidang akhbar setiap hari. Memang sukar  dan akhirnya selepas 20 hari proses rundingan berlangsung, kerajaan Malaysia arah serangan dilakukan.

Adakah pihak polis beri sebarang amaran kepada penceroboh sebelum serangan dilancarkan?

Dua hari sebelum serangan dilakukan, kita beri amaran kepada mereka. Kita jatuhkan risalah menggunakan helikopter dua hari berturut-turut sebelum serangan untuk meminta penceroboh serah diri. Risalah itu guna tiga bahasa iaitu Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Sulu.

Pada masa itu, beberapa anggota penceroboh yang takut mula menyusup keluar dari Kampung Tanduo dan kita berjaya menahan mereka. Namun sebahagian besar masih bertahan di dalam kampung itu.

Boleh Datuk ceritakan bagaimana pertempuran bermula?

Pada hari pasukan keselamatan sepatutnya sampai, kita telah ketatkan kawalan di semua penjuru.

Apabila pasukan Vat69 masuk mereka terserempak dengan sekumpulanpengganas dan mereka diminta menyerah. Kerana pengganas enggan menyerah, terjadilah pertempuran menyebabkan dua anggota VAT69 meninggal dunia, manakala 15 pengganas ditembak mati.

Masa kejadian saya memang berada di situ dan bila terima berita anggota kita terkorban, saya memang rasa sedih, marah dan geram. Kalau anda berada di situ sebagai ketua ketika itu, anda juga turut rasakan perasaan sama.

Tapi kita tak nak sebarang tekanan dan serang pada hari itu sebab kita nak serang pada keesokan harinya. Kita nak elak bertempur pada Jumaat kerana kita tahu  semangat mereka lebih tinggi pada hari itu, namun tidak dapat dielak. Kita terpaksa juga melaksanakan gerakan ofensif dan berjaya tembak mati 15 pengganas.

Pertempuran di Kampung Simunul pula enam pengganas maut. Boleh ceritakan bagaimana pertempuran di situ boleh berlaku?

Sebenarnya pusat persembunyian pengganas Sulu ini berada di Simunul, namun seperti kita tahu, ia merupakan sebuah kampung air. Anggota kita masuk seramai 25  orang dan berpecah kepada tiga kumpulan.

Satu kumpulan berjaya tangkap enam pengganas dalam sebuah rumah, satu kumpulan lain berada tidak jauh dari rumah itu dan berlindung di rumah lain. Manakala satu  kumpulan berjaya selamatkan diri.


Untuk selamatkan mereka, kita gerakkan Unit Tindakan Khas (UTK) membantu dan selepas 22 jam kita berjaya keluarkan keduadua kumpulan. Dalam kejadian itu, enam pengganas ditembak mati manakala enam anggota kita terkorban.

Sepanjang Op Daulat, adakah Datuk sentiasa berhubung dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bagaimana keadaan Datuk ketika itu?

Saya bernasib baik kerana Tan Sri Ismail yang bertindak sebagai penasihat operasi turut bersama saya di Felda Sahabat. Begitu juga dengan Panglima Angkatan Tentera   Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin, keadaan ini membolehkan kami mengadakan perbincangan setiap hari dan ketika itu sememangnya masa saya cukup padat.

Saya hanya tidur empat jam dan kami dapat dengar setiap bunyi tembakan serta apa sahaja yang berlaku dari Felda Sahabat yang hanya 20 kilometer dari tempat operasi. Ketika ini saya kagum dengan kecekalan serta keberanian anggota VAT69.

Walaupun ada anggota gugur semasa operasi. Mereka masih mampu hantar laporan serta  berbincang langkah yang perlu diambil.

Bagaimana Datuk bawa diri sepanjang berada di tempat operasi?

Saya berada di situ lebih 20 hari rasanya dan sepanjang tempoh itu, saya nikmati makanan bersama  mereka. Tiada layanan khas. Antara menu paling lazat bagi saya ketika itu adalah nasi berlauk ikan sardin dan cucur tepung.

Kadang-kadang bila berkesempatan balik ke Kota Kinabalu sekejap, saya belikan burger atau lain-lain makanan untuk semua anggota dan bawa ke tempat operasi guna helikopter. Bukan senang jadi polis dan bayangkan bila anggota terpaksa makan dalam gelap, serta terpaksa makan sambil perhati pergerakanmusuh dalam hutan dengan sebelah tangan Hamza pegang senjata.

Pada pandangan Datuk, adakah pengganas ini terlatih dan bagaimana pula khabar angin mengatakan mereka kebal?

Tidak dinafikan mereka cukup terlatih dalam peperangan, bersemangat tinggi dan mereka datang ke sini untuk mati. Berkenaan kebal, susah untuk saya kata ya atau tidak.

Namun saya tidak menafikan perkara itu. Memang tidak dapat disangkal bila kita periksa mayat pengganas, hampir kesemuanya memakai tangkal.

Apa nasihat Datuk kepada anggota atau lontaran kata-kata motivasi ketika menghadapi situasi itu?

Saya nasihatkan mereka, walau apapun berlaku kita percaya kepada kuasa ALLAH, kuatkan semangat, sentiasa solat dan tabah. Jika sampai masa mereka (pengganas) mati, sama ada kebal atau tidak mereka tetap akan mati. Saya juga berpesan kepada setiap anggota bahawa kita berjuang demi mempertahankan negara dan jangan gentar hadapi musuh.

Bagaimana isteri dan anak-anak Datuk menghadapi situasi ini?

Mereka cukup tabah, tapi saya kasihan melihat isteri saya (Datin Alauyah Mohamed) yang semakin susut berat badannya kerana sentiasa risau tentang keselamatan saya.

Saya sentiasa hubunginya dan sering katakan selagi dia nampak saya di televisyen, bermakna saya selamat.

Empat anak saya pula sentiasa hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya untuk ketahui perkembangan diri saya sepanjang operasi.

Adakah insiden pencerobohan ini pengalaman paling mencabar?

Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dalam PDRM, inilah pengalaman saya paling mencabar. Saya juga akui saya sangat takut PRU13 gagal diadakan di Sabah berikutan insiden ini. Bayangkan jika berlaku pengeboman semasa proses pengundian berlangsung, pasti ramai rakyat di sini takut keluar mengundi.

Bagaimanapun, syukur semua berjalan lancar dan 80 peratus rakyat Sabah keluar mengundi 5 Mei lalu.

Adakah insiden pencerobohan ini merupakan insiden tidak disangka akan berlaku ke atas negara kita?

Sebenarnya saya memang menjangkakan serangan ini akan berlaku dan kerana itulah kita bentuk Eastern Command, iaitu sistem pertahanan yang melibat polis di sekitar Malaysia Timur. Saya akan pastikan mesyuarat Eastern Command ini diadakan secara kerap bagi memastikan tiada ancaman.

Seperti sedia maklum kawasan Malaysia Timur sentiasa terdedah dengan serangan pihak luar dan kawasan ini juga terdedah dengan aktiviti pelanunan. Oleh itu, setiap pegawai yang menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Apa perasaan Datuk bila ada pihak katakan insiden ini satu sandiwara dan berterusan politikkannya?

Geram bila memikirkannya, saya tak nampak macam mana insiden ini boleh dikatakan sandiwara. 73 musuh maut bukan satu mainan. 10 anggota keselamatan yang terkorban, perasaan keluarga, anak dan …apa faedah kita nak kata ini satu sandiwara? Ramai menyangka Op Daulat telah selesai sedangkan ia masih berjalan hingga kini namun dalam skala lebih kecil. Saya juga yakin Sabah ketika ini berada dalam keadaan aman dan selamat.

“Abah dah ninggal”


Ipoh: “Abah gi (pergi) Sabah... abah dah ninggal (meninggal),” itu ayat pertama yang keluar dari mulut anak sulung Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, Mohamad Akmaruddin, 5, ketika disapa wartawan pada majlis penyerahan bantuan di Mes Pegawai Kanan, Pasukan Gerakan Am, Briged Utara, Hulu Kinta, Rabu lalu.

Tidak banyak maklumat diperoleh daripada kanak-kanak itu kerana dia seolah-olah cuba menyembunyikan perasaan sedih mengenai pemergian arwah bapanya.

Ketika ditemui, Mohamad Akmaruddin tidak berbeza daripada kanak-kanak lelaki sebayanya yang aktif dan suka bergurau, malah wartawan turut diajak bermain dan dipeluknya.

Dia mungkin belum mengerti pemergian insan tersayang dalam hidupnya.

KELETAH Akmaruddin (kiri) dan adiknya Akhil menyentuh jiwa.

Perbualan singkat dengannya mungkin sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar memori yang sempat dikongsi kanak-kanak itu.

Orang ‘Imam Tua’ tumpas

Lahad Datu: Seorang lagi pengganas paling dikehendaki berjaya ditembak mati selepas lelaki berusia 60-an itu cuba menetak seorang anggota pasukan keselamatan dalam operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, lelaki terbabit yang bersenjatakan barong (pedang Suluk) menyerang dan menetak anggota keselamatan yang menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di perkampungan atas air itu. Namun, anggota keselamatan terbabit terselamat dan hanya cedera ringan kerana tetakan pengganas itu mengenai baju kalis peluru dipakainya.

Pengganas yang mati itu dikenal pasti sebagai pengawal dan pembantu kepada ‘Imam Tua’ iaitu seorang daripada pengganas yang ditembak mati selepas menyerang hendap sepasukan anggota keselamatan di Kampung Sri Jaya pada 2 Mac lalu, menyebabkan enam anggota polis terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam kejadian pagi semalam, pengganas terbabit meluru keluar dari sebuah rumah di kampung itu dan terus menetak di depan dan belakang badan anggota pasukan keselamatan itu.

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am bersiap sedia di Kampung Simunul, Semporna.

“Biarpun ditetak berkali-kali, anggota keselamatan dapat melepaskan tembakan menyebabkan pengganas itu terbunuh, manakala anggota kita tidak mengalami kecederaan serius,” katanya pada sidang media Op Daulat di Felda Residence Sahabat, di sini, semalam.

Kampung Tanduo tinggal nama

Lahad Datu: Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan pengganas Sulu dan diduduki penduduk tempatan sejak 50 tahun lalu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke lokasi baharu yang diputuskan kemudian.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk.

Katanya, 12 rumah di kampung itu boleh dikatakan musnah sama sekali akibat pencerobohan pengganas di kampung itu.

PASUKAN keselamatan mengawal keadaan di Kampung Tanduo, semalam.

“Sebelum ini kita wujudkan pasukan penilaian untuk melihat sejauh mana kerosakan dan kerugian dialami penduduk Kampung Tanduo selain aspek keselamatan.

Sayu lihat kampung

Lahad Datu: “Keadaan sebelum dan selepas kedatangan pengganas amat berbeza sekali.

“Dahulu, kampung kami aman, tetapi kini ia tak ubah seperti padang jarak padang terkukur,” kata Ben Hamidi, 48, antara 20 penduduk Kampung Tanduo, di sini, yang dibenarkan masuk ke kampung itu, semalam.

Menurut, tiada apa lebih menyedihkan apabila melihat rumah pernah menjadi tempat berlindung kini rosak teruk, manakala ada rumah jirannya sudah musnah sama sekali.

Katanya, dia tidak mampu lagi menahan air mata apabila melihat keadaan kampung yang sunyi sepi dengan apa yang ada hanyalah kesan kebakaran dan tembakan di sana sini.

KONVOI diketuai Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membawa penduduk kampung melihat dan menilai kerosakan kediaman mereka di Kampung Tanduo, semalam.

PENDUDUK melihat sendiri kerosakan rumah mereka di Kampung Tanduo.

“Sebelum ini, saya hanya menyaksikan dan mengikuti insiden pencerobohan ini di televisyen dan surat khabar, tetapi amat terkejut seolah-olah tidak percaya melihat keadaan kampung hari ini (semalam),” katanya.

Datu Piah sembunyi di Semporna

SEMPORNA – Seorang lagi anggota kanan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah, Datu Piah, salah seorang daripada adik-beradik kepada Jamalul Kiram III kini dipercayai berada di daerah ini.

Menurut satu sumber, lelaki yang berusia lewat 60-an itu dipercayai sedang menyembunyikan diri kerana takut menerima nasib yang sama seperti Menteri Pertahanan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang ditangkap pasukan keselamatan pada Sabtu lalu.

“Datu Piah juga dipercayai salah seorang daripada orang kanan yang terlibat dalam proses rundingan dengan pasukan keselamatan sebelum 1 Mac lalu,” kata sumber tersebut di sini semalam.

Rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengganas terbabit yang diketuai Azzumuddie Kiram dan turut disertai Datu Piah itu bagaimanapun menemui jalan buntu.

Sumber itu berkata, sebagai ahli keluarga kepada Jamalul Kiram, dia juga dipercayai mempunyai peranan besar dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.

DATU PIAH (tengah) diapit Azzumuddie (kanan) dan Amirbahar ketika proses rundingan dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, Lahad Datu Februari lalu.

“Sebelum 0ps Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu, Datu Piah dan Amirbahar dipercayai sempat melarikan diri ke Semporna dan cuba menggerakkan kumpulan pengganas di daerah ini dengan melakukan kekacauan,” kata sumber itu lagi.

Ditembak dan ditetak, wira negara kongsi detik cemas tempur pengganas

PUTRAJAYA - Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan hari ini, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.

"Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

"Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri," katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira 'Operasi Daulat' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

HASNAL berkongsi pengalaman diserang pengganas sambil menunjukkan tangannya yang tercedera.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

"Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

"Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran," katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

"Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan," katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

"Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

"Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh," katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan. Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu. Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk "Ayahku Seorang Perwira" hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. - Bernama

Memang sah jeneral Sulu

ZULKIFELI (kiri) dan Khalid memberikan situasi terkini Ops Daulat pada sidang akhbar di Lahad Datu semalam.

LAHAD DATU - Polis semalam mengesahkan pemimpin utama pengganas Sulu yang diberkas di kawasan berpaya di Kampung Sri Melor Bugaya, Semporna dekat sini kelmarin merupakan Menteri Pertahanan Suluk berpangkat jeneral lima bintang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, panglima pengganas Sulu yang dikenali sebagai Datu Amirbahar Hushin Kiram, 40-an ditahan bersama isterinya, Gina Taves Kiram pada pukul 1.30 pagi ketika cuba melarikan diri di kawasan tersebut.

"Ya, saya mengesahkan penangkapan itu adalah mereka," katanya ringkas pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16 dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar mengatakan pasukan keselamatan telah menahan Amirbahar yang dikatakan anak saudara pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III di satu kawasan paya sewaktu cuba melarikan diri bersama isterinya.

Turut dirampas pada lelaki berkenaan adalah dua beg yang mengandungi komputer riba, tiga telefon bimbit, kad bank Western Union, kad sim, kad memori, fail mengandungi dokumen Kesultanan Sulu serta wang tunai RM3,000.

Markas samseng

Kuala Lumpur: Pengikut Jamalul Kiram III dipercayai bersembunyi di Kampung Simunul, Semporna, sebelum menyerang pegawai dan anggota polis hingga menyebabkan enam daripadanya terkorban pada 2 Mac lalu, kerana yakin lokasi itu paling selamat daripada pemantauan pihak berkuasa.

Ini berikutan reputasi perkampungan atas air itu sebagai sarang jenayah hingga digelar ‘kampung samseng’ oleh penduduk tempatan.

Imej negatif itu menyebabkan kumpulan pengganas memilih kampung terbabit sebagai lokasi persembunyian dan serangan, biarpun kedudukannya jauh dari perairan Filipina berbanding satu lagi lokasi serangan iaitu Kampung Tanduo di Lahad Datu yang dekat dengan perairan negara jiran itu.

Daripada maklumat penduduk tempatan, Kampung Simunul dikenali penduduk daerah itu sebagai sarang jenayah membabitkan aktiviti penyeludupan rokok dan dadah, termasuk transit kemasukan pendatang haram.

PERKAMPUNGAN Simunul, Semporna, berlaku pertempuran sepasukan menyebabkan lima anggota polis maut.

Malah, kebanyakan penduduk sekitar tidak berani memasuki kampung itu kerana dibanjiri pendatang tanpa izin dari negara jiran hingga digelar Filipina mini.

DALANG SIMUNUL TUMPAS

ANGKATAN tentera berjalan melalui paya dan menggunakan unit anjing pengesan untuk mengesan saki baki penceroboh Filipina semasa operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Labian. Ia telah diisytiharkan bersih oleh ketua pasukan keselamatan tetapi penduduk kampung masih belum dibenarkan kembali ke rumah mereka.
- Foto ihsan ATM.

Suspek rancang serang hendap menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban di Semporna

Dua pengganas termasuk seorang digelar Pemerintah Tentera Sulu dipercayai perancang serang hendap di Kampung Simunul, Semporna yang menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban, pada 2 Mac lalu, ditangkap semalam.
Berikutan itu, pasukan keselamatan yakin dapat melumpuhkan pergerakan saki baki pengganas yang masih bersembunyi di beberapa lokasi di sini dan Semporna.

Taraf sama dengan Menteri Pertahanan

Pemerintah Tentera Sulu warga Filipina berusia lewat 40-an yang tarafnya sama dengan Menteri Pertahanan itu ditahan bersama isteri dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, jam 1.30 pagi semalam.

108 suspek pengganas didakwa


LAHAD DATU: Sebahagian daripada 108 suspek pengganas yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 akan didakwa di Lahad Datu, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada satu sidang akhbar di Felda Sahabat, pagi ini.
Beliau berkata, mereka akan didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara atas faktor keselamatan.

Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilihat tiba di IPD Lahad Datu, kira-kira 11.30 pagi tadi. Juga kelihatan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar dan Shukor Abu Bakar.

Hakim Mahkamah Sesyen, Duncan Sikodol dari Mahkamah Kota Kinabalu serta M Raja Linggam dari Mahkamah Sesyen Lahad Datu juga berada di situ.

Kesemua pengganas yang ditahan di beberapa daerah termasuk Lahad Datu dan Semporna didakwa mengikut akta itu berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas militan yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.

Difahamkan, kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau selepas ini.

Topi ayah ubat rindu

KANGAR: Topi milik Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, seorang daripada 10 wira negara yang gugur dalam pertempuran dengan pengganas di Sabah, masih kerap dipakai anak sulungnya, Noor Aqmar Amiruddin, 5, sebagai pengubat rindu.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Aziah Noor, 28, berkata, Noor Aqmar gemar memakai topi arwah suaminya kerana ketika Allahyarham masih hidup, dia selalu memuji anaknya kelihatan kacak apabila memakai topi itu.

“Sebab itu dia suka pakai topi ayahnya. Dia kuat semangat dan sering pujuk bila saya menangis setiap kali teringatkan arwah, tapi pada masa sama dia juga sering mengigau dengan memanggil nama ayahnya, mungkin kerana terlalu rindu,” katanya.

Nor Aziah ditemui di rumahnya, di sini, semalam, ketika menerima kunjungan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron yang turut menyampaikan sumbangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

NOOR Aqmar memakai topi arwah ayahnya, Zulkifli.

Menurutnya, selain Noor Aqmar, pasangan itu dikurniakan seorang lagi anak, Noor Muhammad Akhil yang berusia setahun.