Sabah diceroboh |
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata memandangkan penceroboh merupakan rakyat asing, siasatan yang dijalankan polis tertumpu kepada tujuan kemasukan terlebih dahulu dalam usaha menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina.
"Setelah memulakan siasatan dan apabila polis diserang barulah diketahui kelompok ini bertujuan menceroboh dan mengganas. Namun penyiasatan juga melihat kepada hubungan dengan Filipina dalam semangat serantau...sebab itu penyiasatan memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua negara.
"Jadi, dalam keadaan sedemikian kita perlu berhati-hati dan selepas mengetahui serta mengenalpasti tujuan mereka barulah kerajaan menghantar tentera dan memulakan gerakan ketenteraan yang akhirnya menamatkan pencerobohan itu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kenapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap penceroboh dari selatan Filipina itu sehingga mencetuskan pelbagai persepsi di kalangan masyarakat, terutama rakyat Sabah.
Wan Junaidi berkata masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di timur Sabah yang menjangkau 1,700km serta jarak yang begitu hampir antara Lahad Datu dan selatan Filipina menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.
Beliau berkata pencerobohan itu bukan disebabkan soal kecanggihan teknologi dan kelengkapan pasukan keselamatan kerana situasi serupa juga berlaku di Mexico dan Amerika Syarikat apabila kecanggihan teknologi yang dimiliki belum dapat mengatasi kes pencerobohan, terutama di laut.
"Sekarang kita dah letakkan segala mekanisme, perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina juga telah dijalankan. Jadi, keselamatan di Sabah dan pulau borneo terjamin dengan tindakan yang dibuat," katanya merujuk kepada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac lepas.
Pembentukan Esscom yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkumi 1,400 kilometer membabitkan daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu bertujuan menjaga kedaulatan serta keselamatan kawasan pantai timur Sabah susulan insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Tungku pada Februari lepas.
Insiden yang berlarutan lebih sebulan itu menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban.
Menjawab soalan Bung Moktar sama ada benar pencerobohan di Kampung Tanduo itu turut melibatkan rakyat negara ini dan tindakan susulan yang diambil, Wan Junaidi berkata kerajaan belum bercadang mendedahkan maklumat lanjut mengenainya kerana siasatan rapi berhubung insiden dan individu yang disyaki masih dijalankan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah membuat pendakwaan ke atas 30 individu yang terlibat dalam insiden bersenjata itu secara berperingkat.
Daripada jumlah itu, empat orang adalah rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap manakala selebihnya rakyat asing.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 66 tahun itu ialah antara 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong. - Bernama
0 comments:
Post a Comment