Showing posts with label Valentino Rossi. Show all posts
Showing posts with label Valentino Rossi. Show all posts

Rossi intai peluang

ROSSI (dua dari kiri) bertekad untuk mencipta satu lagi kejayaan di Litar Sepang Ahad ini.
JUARA dunia tujuh kali, Valentino Rossi menjelaskan bahawa peluangnya untuk melakar satu lagi kejayaan pada Kejohanan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 Shell Advance di Litar Sepang minggu ini masih cerah, namun bergantung jika hujan tidak turun pada hari perlumbaan Ahad ini.

Kali terakhir Rossi menaiki podium di Sepang bersama pasukan Yamaha ialah pada edisi 2010 sebelum dia mengharungi musim yang mengecewakan bersama Ducati selama dua tahun.

Setelah kembali ke Yamaha musim ini, pelumba dari Itali tersebut mula mempamer peningkatan prestasi dan hampir ke tahap sebenarnya ketika saingan MotoGP musim ini berbaki empat pusingan lagi.

“Litar Sepang adalah litar yang sangat hebat, saya amat sukakan litar ini dan ia adalah antara litar kegemaran saya.

“Bagaimanapun, saya jamin semua pelumba juga amat gemar dengan litar ini. Mereka mampu mencatat prestasi yang baik dan sangat laju apabila beraksi di litar ini. Jadi, saya rasa minggu ini akan menjadi minggu yang sukar kepada saya.

“Hujan juga mampu menambahkan lagi cabaran kepada kami seperti tahun lepas. Jadi, kami lihat saja kalau-kalau situasi yang sama (hujan) akan berlaku lagi minggu ini,” jelas Rossi pada sidang media di Sepang semalam.

Rossi yang kini di kedudukan keempat dalam kejuaraan dunia dengan 185 mata, 93 mata di belakang pendahulu dari Honda, Marc Marquez, menjelaskan dia gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan pada dua perlumbaan terakhir di GP San Marino dan GP Aragon bulan lalu.

Pelumba berusia 34 tahun itu menduduki tempat keempat pada perlumbaan GP San Marino 15 September lepas manakala berjaya menaiki podium di tempat ketiga pada GP Aragon, 29 September kemudian.

“Saya dapat rasakan peningkatan ketika menuju ke penghujung musim ini, terutamanya pada dua saingan GP yang lepas.

“Saya mahu mencatat lebih banyak peningkatan. Saya masih berusaha untuk mengurangkan jurang mata dengan tiga pelumba teratas,” tambah Rossi.

Rossi tidak sabar beraksi

Valentino Rossi

PELUMBA Yamaha, Valentino Rossi tidak sabar untuk bersaing dengan Jorge Lorenzo, Dani Pedrosa dan Marc Marquez pada perlumbaan MotoGP di Aragon hujung minggu ini.

Menyedari dirinya sentiasa di belakang pelumba-pelumba tersebut, dia yakin dengan peningkatan prestasi motosikalnya setelah menjalani ujian di MotoGP San Marino.

"Selepas melakukan ujian tersebut, saya tidak sabar hendak beraksi pada perlumbaan akan datang.

"Sasaran saya adalah untuk mengalahkan ketiga-tiga pelumba ini," katanya.

Di Aragon sebelum ini, Rossi menamatkan saingan di tempat keenam bersama Yamaha pada 2010 dan tempat ke-10 dan kelapan pada tahun 2011 dan 2012 bersama Ducati.

Rossi kini menduduki tempat keempat dengan 169 mata, manakala Lorenzo dan Pedrosa memungut 219 mata dan pelumba Repsol Honda, Marquez unggul di hadapan dengan 253 mata.

MotoGP: Rossi raih pendapatan tertinggi

Rossi muncul antara atlet yang terima pendapatan tertinggi.

VALENTINO Rossi tetap menerima pendapatan tertinggi dalam bidang MotoGP meskipun rela dipotong gajinya selepas memutuskan kembali ke pasukan Yamaha.

Menurut majalah Forbes, Rossi berada dalam senarai teratas daripada daftar atlet dengan pendapatan terbesar sebanyak RM69 juta.

Jumlah itu membolehkan Rossi berada pada posisi 51 atlet menerima bayaran tertinggi pada tahun ini.

Pelumba Itali itu juga muncul satu-satunya penunggang MotoGP yang berada di posisi 100 terbaik dunia.

Berbanding musim lalu, kedudukan Rossi merosot dan hanya terima RM94 juta semasa mewakili pasukan Ducati.

Kemarau Rossi berakhir di Assen




Assen: Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi merangkul kejuaraan pertama sejak Grand Prix Malaysia 2010 dengan menjuarai GP Belanda, kelmarin ketika rakan sepasukannya daripada Yamaha, Jorge Lorenzo menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima - hanya dua hari selepas patah tulang bahu. Saya gembira namun saya sukar untuk mempercayainya, kata Rossi, 34 yang memilih untuk kembali bersama Yamaha musim ini. Ia perasaan yang hebat untuk kembali ke tempat pertama. Ia masa yang amat-amat panjang sejak Sepang 2010 dan sejak tahun itu saya sentiasa bertanya diri saya soalan? Bolehkan saya kembali menang? Jadi ia adalah masa yang sukar namun saya tidak pernah mengalah dan sentiasa bekerja keras kerana ini adalah posisi saya. Saya merasa hebat. Saya mencuba dengan cukup kuat sejak dari awal dan ia perlumbaan yang panjang dan saya bertarung dengan semua pelumba. Pelumba Honda, Dani Pedrosa kini mengumpul 136 mata di depan Lorenzo yang mengumpul 127 mata diikuti Marquez, ketiga, Crutchlow keempat manakala Rossi yang melakar kemenangan ke-80 sepanjang kariernya di kedudukan kelima. REUTERS

Jorge Lorenzo ungguli MotoGP Qatar

PELUMBA sensasi Sepanyol, Jorge Lorenzo berpuas hati berikutan kejayaan memenangi perlumbaan MotoGP Qatar di Litar Antarabangsa Losail, semalam.

Lorenzo yang bermula di petak hadapan cuba disaingi Dani Pedrosa dan Valentino Rossi, namun berjaya mempertahankan posisinya sehingga ke garisan penamat.

"Saya puas hati dengan pencapaian diri dan pasukan. Saya bermula cukup bagus walaupun cuba dipintas lawan.

"Saya tiba di garisan terakhir dengan kelebihan enam saat. Itu cukup membanggakan," katanya.

Penunggang Yamaha, Jorge Lorenzo (kanan) mengungguli GP Qatar manakala rakan sepasukannya, Valentino Rossi muncul di podium kedua.

Kemenangan di Qatar itu meletakkan Lorenzo memimpin perlumbaan dengan mengumpul 25 mata diikuti Rossi (20) dan Marc Marquez (16).

Perang Rossi-Lorenzo


Apabila Yamaha menyuarakan kata sepakat untuk mengambil semula Valentino Rossi pada pertengahan tahun lalu bagi perlumbaan musim 2013 dan 2014, semua tumpuan beralih kepada Jorge Lo­renzo yang bakal menerima kembali seteru utamanya dalam pasukan.

Rossi dan Lorenzo sama-sama menyumbang kepada kejayaan Yamaha menggondol enam gelaran dunia. Namun tempoh tiga tahun ‘bersama’ antara kedua-dua pemain itu antara tahun 2008 hingga 2010 cukup mendatangkan huru-hara buat pasukan dari Jepun itu.

Rossi bersama krunya menerima pujian melangit atas kebangkitan Yamaha apabila mengubah nasib jentera YZR-M1 dengan meraih gelaran juara pada 2004.

Dua gelaran dunia de­ngan kemenangan dalam 29 perlumbaan pada empat tahun pertamanya bersama pasukan sudah cukup memartabatkan statusnya sebagai legenda meskipun gagal meraih sebarang gelaran pada 2006 dan 2007.

Dalam dilimpahi kegemilangan itu, Lorenzo pula menyertai pasukan. Juara dunia 250cc dua kali dari Sepanyol itu terus mencuri tumpuan selaku muka baru pada 2008. Lorenzo juga mengakibatkan nama Rossi agak tenggelam.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, hubungan antara dua pelumba ini agak
tegang. Rossi kemudian tegas memberi kata dua kepada Yamaha sama ada memilih­nya ataupun Lorenzo dan akhirnya dia memilih untuk berhijrah ke Ducati pada 2010.

Namun, sesiapa saja yang menyaksikan epik pertembungan antara Rossi-Lorenzo ini pastinya bersetuju ia bukan saja mengenai perlumbaan semata-mata tetapi mengenai maruah. Bagi pe­nyokong, perlumbaan ini adalah drama paling hebat.

Bagi kedua-dua pelumba ini mereka sepatutnya berpisah lebih awal.

Rossi kini kembali bersama pasukan yang me­nyaksikan Lorenzo adalah pelumba nombor satunya.

Maka, dengan musim baru di litar Losail di Qatar bakal bermula hari ini, pastinya hubungan tegang antara kedua-dua pelumba ini menjadi tanda tanya.

“Valentino masih yang terpantas dan Jorge tidak dinafikan, menyedari ke­upayaan rakan sepasukannya itu. Selaku juara dunia sembilan kali, Jorge perlu menewaskannya,” kata pengurus pasukan Yamaha, Wilco Zeelenberg.

“Sebelum ini Jorge adalah sekadar bintang yang sedang meningkat naik tetapi berjaya meraih gelaran juara dunia buat kali kedua sekali gus melonjakkan namanya dalam arena MotoGP.

“Pada masa sama, Valentino juga tidak menafikan Lorenzo adalah pelumba pantas dan juara dunia. Maka, ini adalah perbezaan ketara jika diimbas detik 2010 dulu.”

Meskipun Yamaha agak terkejut dengan impak hubungan Rossi-Lorenzo kepada awam, sekurang-kurangnya kedua-dua pelumba itu masih bertahan.

“Hanya situasi itu biasanya akan menimbulkan masalah tetapi saya yakin mereka kini sudah semakin matang. Apa yang pasti, kedua-dua­nya i­ngin menang,” katanya.