ROSSI (dua dari kiri) bertekad untuk mencipta satu lagi kejayaan di Litar Sepang Ahad ini. |
Kali terakhir Rossi menaiki podium di Sepang bersama pasukan Yamaha ialah pada edisi 2010 sebelum dia mengharungi musim yang mengecewakan bersama Ducati selama dua tahun.
Setelah kembali ke Yamaha musim ini, pelumba dari Itali tersebut mula mempamer peningkatan prestasi dan hampir ke tahap sebenarnya ketika saingan MotoGP musim ini berbaki empat pusingan lagi.
“Litar Sepang adalah litar yang sangat hebat, saya amat sukakan litar ini dan ia adalah antara litar kegemaran saya.
“Bagaimanapun, saya jamin semua pelumba juga amat gemar dengan litar ini. Mereka mampu mencatat prestasi yang baik dan sangat laju apabila beraksi di litar ini. Jadi, saya rasa minggu ini akan menjadi minggu yang sukar kepada saya.
“Hujan juga mampu menambahkan lagi cabaran kepada kami seperti tahun lepas. Jadi, kami lihat saja kalau-kalau situasi yang sama (hujan) akan berlaku lagi minggu ini,” jelas Rossi pada sidang media di Sepang semalam.
Rossi yang kini di kedudukan keempat dalam kejuaraan dunia dengan 185 mata, 93 mata di belakang pendahulu dari Honda, Marc Marquez, menjelaskan dia gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan pada dua perlumbaan terakhir di GP San Marino dan GP Aragon bulan lalu.
Pelumba berusia 34 tahun itu menduduki tempat keempat pada perlumbaan GP San Marino 15 September lepas manakala berjaya menaiki podium di tempat ketiga pada GP Aragon, 29 September kemudian.
“Saya dapat rasakan peningkatan ketika menuju ke penghujung musim ini, terutamanya pada dua saingan GP yang lepas.
“Saya mahu mencatat lebih banyak peningkatan. Saya masih berusaha untuk mengurangkan jurang mata dengan tiga pelumba teratas,” tambah Rossi.
0 comments:
Post a Comment