Kedua-dua pusara itu dibaik pulih menggunakan batu marmar dari Itali, dengan kos berjumlah RM25,000, yang ditanggung bersama oleh Finas dan Astro.
Pada Ogos lepas, Finas mengumumkan keputusan untuk membaik pulih pusara Allahyarham berdua yang rosak akibat dihempap pokok semasa hujan lebat pada Mac lepas.
Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan berkata, sebagai agensi bagi membantu para seniman, usaha itu akan diteruskan selain Finas merancang gotong-royong bersama Persatuan Seniman dan persatuan berkaitan bagi membersihkan kawasan pusara seniman lain.
"Kalau kita hendak nilaikan perjuangan P. Ramlee dan Saloma dengan kos pemulihan ini, sememangnya tidak ternilai. Bukanlah kita nak riak cuma kita mahu mengembalikan keadaan yang asal tanpa berlebih-lebihan. Yang paling baik kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah tiada," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Turut hadir anggota keluarga seniman dan seniwati agung itu termasuk kakak Saloma yang juga pelakon veteran Mariani Ismail, adik Saloma, Mimi Loma serta balu Allahyarham Nasir P. Ramlee, Suria Bakar.
Anggota Perbadanan Finas dan pelakon veteran Datuk Mustapha Ma'arof, Naib Presiden Bahagian Melayu Astro Khairul Anwar Salleh dan Presiden Seniman Jurey Latif turut menghadiri majlis itu.
P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 dan kembali ke rahmahtullah pada 29 Mei 1973 manakala Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail dilahirkan pada 22 Januari 1935 dan meninggal dunia pada 25 April 1983. - Bernama
0 comments:
Post a Comment