'Saya boleh berlumba'

Bekas juara dunia, Valentino Rossi (kiri) bertanya keadaan kesihatan Zulfahmi pada sidang akhbar Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - "Saya sudah pulih dan cukup cergas untuk aksi hujung minggu ini."

Itu tegas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada sidang akhbar Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kata Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, doktor perlumbaan MotoGP telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan mengesahkan bahawa dia sudah boleh berlumba kembali biarpun sebelum ini ada pihak menyuarakan kebimbangan terhadap prestasinya selepas menjalani pembedahan di pergelangan tangan kanan di Sepanyol, baru-baru ini.

Tambah Zulfahmi, kini fokusnya adalah untuk memastikan tunggangannya pada perlumbaan hujung minggu ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Saya kini sudah boleh menggerakkan tangan dengan baik serta amat gembira apabila doktor yang merawat saya pagi tadi (semalam) memberitahu saya boleh beraksi tanpa apa-apa yang perlu dibimbangkan.

"Dapat beraksi di laman sendiri adalah sesuatu yang dinantikan oleh saya dan saya sentiasa memandang ke hadapan dalam setiap perlumbaan yang saya sertai," kata Zulfahmi.

Pada 29 September lalu, Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol.

Kecederaan pelumba itu mendapat reaksi pelbagai pihak, malah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz turut menasihatkan Zulfahmi agar berehat dan tidak berlumba di Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Zulfahmi tetap dengan pendiriannya untuk terus beraksi di Litar Antarabangsa Sepang sebelum memperoleh pengesahan daripada doktor perlumbaan di sini.

Sementara itu, Zulfahmi turut berharap pada sesi latihan bebas hari ini tiada lagi rasa sakit dirasai pada pergelangan tangannya.

"Sekiranya rasa sakit dapat di atasi sudah tentu semuanya akan berlangsung dengan baik selain dapat membuat catatan masa yang bagus.

"Dalam masa sama juga saya ingin berterima kasih kepada ISN kerana banyak memberikan bantuan dan prihatin terhadap kecederaan yang saya alami ini," kata Zulfahmi.

0 comments:

Post a Comment