Penguasaan Proton R3 di China

MCRAE mengawal dengan baik Satria Neo S2000 meskipun melalui laluan mencabar pada Rali 
China kelmarin.

CHINA - Pusingan akhir Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) FIA dikuasai pasukan Proton R3 Motorsport apabila kedua-dua pemandunya, Alister McRae dan Juha Salo menaiki podium pada Rali Longyou, China kelmarin.

McRae sekali lagi mengesahkan kemenangan pada Rali China untuk kali ketiga berturut-turut manakala Salo sekadar meraih tempat ketiga.

Tempat kedua pula diraih pendahulu keseluruhan musim ini, Christopher Atkinson yang memandu jentera pasukan MRF.

Begitupun, kejayaan yang dilakarkan kedua-dua pemandu tersebut sekadar mengesahkan Proton di tangga kedua bagi kedudukan keseluruhan kategori pengeluar dengan 159 mata.

Skoda mendahului tangga pertama dengan 179 mata, Mitsubishi di tempat ketiga (109), manakala Subaru meraih kedudukan keempat (52).

Saingan perlumbaan sejauh 124.48 kilometer yang berlangsung di Muchen, Maojiapu dan Luojia itu ternyata menguji tahap kestabilan jentera Proton Satria Neo S2000.

Permukaan yang tidak konsisten seperti laluan batu kelikir kasar, jalan sempit dan laluan bertar yang panas menjadikan peringkat tersebut sebagai kejohanan paling mencabar untuk semua pemandu.

Begitupun, McRae berjaya membuktikan kehebatan jentera Proton dengan mengungguli gelaran tanpa menunjukkan sebarang masalah sejak dari awal hingga ke peringkat akhir kelmarin.

"Pasukan telah melakukan satu tugas cemerlang. Jentera dan tayar berfungsi dengan amat baik pada rali ini," kata McRae yang turut memenangi Rali Langyou pada 2010 dan 2011.

Sementara itu, aksi APRC bagi kategori 2WD turut didominasi Proton apabila para pemandu menamatkan perlumbaan dengan cemerlang untuk menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga.

Kejayaan itu turut menyaksikan Karamjit Singh meraih trofi kemenangan APRC 2WD untuk kali kedua berturut-turut selepas mengungguli musim lalu.

Tempat kedua diraih rakan sepasukan, Akira Bamba manakala Kenneth Koh mengakhiri perlumbaan tersebut di tangga ketiga.

Kemenangan yang dicatatkan kedua-dua pemandu muda tersebut ternyata berbaloi kerana Akira Bamba dinobatkan sebagai juara keseluruhan 2WD junior, diikuti Kenneth Koh di tempat kedua.

0 comments:

Post a Comment