Showing posts with label MotoGP. Show all posts
Showing posts with label MotoGP. Show all posts

Zulfahmi belum ada sasaran


PELUMBA kelas Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi  Khairuddin belum mahu menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014 bersama  pasukan baharu Ongetta Air Asia.

Beliau tidak lagi memacu jentera KTM sebaliknya akan menunggang jentera  Honda.

“Sejujurnya saya belum menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014. Saya belum menguji sepenuhnya jentera yang akan digunakan itu. Pada November lepas, saya ada melakukan ujian jentera di Litar Almeria (Sepanyol) tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan kerana keadaan cuaca yang kurang elok,” katanya  ketika ditemui pada majlis pelancaran motosikal KTM 1290 Super Duke di Litar  Sepang, semalam.

Menurut Muhammad Zulfahmi, beliau akan menguji jentera berkenaan sekali lagi pada sesi ujian rasmi pada 13 Februari depan.

“Saya yakin dengan ketua krew dan jurutera-jurutera yang ada dalam pasukan ini. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk berlumba dengan baik dalam musim  akan datang,” katanya.

Mengenai kecederaan yang dialaminya pada musim 2013, Muhammad Zulfahmi berkata beliau kini sudah 90 peratus pulih.

“Saya masih lagi menjalani latihan fisiologi dan menerima rawatan di ISN (Institut Sukan Negara). Saya banyak membuat latihan bagi menguatkan tangan  saya,” katanya.

Muhammad Zulfahmi ketika bersama pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas mengumpul 68 mata untuk musim ini berbanding di tempat ketujuh dengan 128 mata pada 2012.

Sujud syukur Hafizh

Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah tidak perlu diperkenalkan lagi. Dalam usia 18 tahun, dia telah mencipta nama sebagai antara penunggang paling cemerlang dalam saingan Moto2. Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia ini adalah juara CP115 (2009), CP130 (2010), SuperSports 600cc ARRC di Qatar dan juara CEV Buckler di Sepanyol.

Kenapa setiap kali memenangi perlumbaan, terutama di saingan CEV Buckler dalam saingan GP 2 di Sepanyol , anda terus bersujud. Apakah maknanya pada anda? 

Saya sentiasa berdoa agar selamat dan memberikan persembahan terbaik setiap perlumbaan. Berkat usaha dan doa, saya dapat me menangi perlumbaan. Saya bersu jud tanda syukur.



Apa yang anda fikirkan setiap kali menunggang dengan kelajuan tinggi? Atau adakah anda me mang tidak terlintas apa-apa ketika itu? 

Saya hanya berfikir untuk pergi lebih laju dan strategi untuk ke podium.

Bagaimana rasanya apabila me ngambil selekoh dengan kepala hampir mence cah litar? 

Tidak ada rasa apa-apa. Saya hanya memikirkan 'marker' yang sudah saya tentu kan pada setiap selekoh. Le bih hampir dengan 'marker', le bih balik.

Apa yang kerap atau menjadi amalan anda lakukan sebelum keluar ke litar untuk berlumba? 

Saya sentiasa berdoa untuk memberi yang terbaik setiap kali sebelum keluar ke litar. Saya juga mendengar lagu-lagu kegemaran saya untuk menenangkan diri.

Ketika terjatuh atau terbabas pada kelajuan yang tinggi, apa yang pertama terlintas difikiran anda? 

Saya hanya memikirkan kese lamatan diri saya dan kenapa saya terjatuh.

Kadangkala bila mengambil se lekoh, nampak tayar belakang an da sedikit tergelincir, apa pera saan anda ketika itu atau adakah ia sudah menjadi perkara biasa bagi anda? 

Itu adalah perkara biasa. Adalah menjadi tugas saya untuk kembali mengawal motosikal. Kadangkala, 'sliding' akan membantu saya lebih laju di selekoh.

Kenapa memilih jentera beroda dua, bukan kereta yang memung kinkan anda untuk beraksi dalam saingan formula satu (F1) dan pen dapatannya juga lebih lumayan? 

Pada saya lebih mencabar me milih jentera beroda dua.

Apa perasaan anda bila sudah me makai sut lumba berbanding ber pakaian biasa.

Saya berasa tidak sabar untuk keluar ke litar dan lebih bersedia dan bersemangat.

Setiap kali menaiki jentera anda, apa perasaan anda? 

Saya berasa teruja. Ini adalah ke gemaran saya dan saya ingin sen tiasa memberikan aksi yang ter baik.

Ketika berlumba, adakah anda nampak objek di kiri dan kanan anda? 

Saya sentiasa fokus semasa menunggang. Sasaran saya ialah ingin berada di depan. Memang saya tidak nampak apa-apa selain litar.

Azlan pahat nama

Kuala Lumpur: Azlan Shah Kamaruzaman mencatat sejarah membanggakan apabila bergelar juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.

Penunggang Musashi Boon Siew Honda Racing itu muncul pelumba kedua Malaysia memenangi gelaran SuperSports 600cc di pentas Asia selepas kali terakhir dimenangi Chia Tuck Cheong pada 2000 dan 2001.

Selain itu, Azlan turut menamatkan saingan musim 2013 dengan kejayaan manis apabila meraih kejayaan berganda dengan memenangi kedua-dua perlumbaan akhir.

Dua kemenangan pada pusingan terakhir meletakkan Azlan di tangga teratas dengan mengumpul 235 mata, sekali gus turut mengekalkan gelaran yang dimenangi rakan sepasukan musim lalu, Ryuichi Kiyonari.



“Saya masih tidak percaya mampu memenangi gelaran ini. Sukar untuk digambarkan perasaannya dan kemenangan ini amat istimewa buat saya dan seluruh pasukan,” jelas Azlan yang turut menangis kegembiraan ketika lagu Negaraku didendangkan dan Jalur Gemilang dikibarkan di pentas podium.

Bermula dari petak pertama, saingan Perlumbaan 1 menyaksikan Azlan mencatat kemenangan mudah apabila menamatkan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 32 minit 20.579 saat, 7.964 saat di depan pencabar utama, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) yang berada di tempat kedua dengan 32:28.543s sambil rakan senegara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) ketiga 32:28.543s.

Meskipun sekadar memerlukan satu mata bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan, Azlan tidak memandang mudah saingan Perlumbaan 2 apabila dia sekali lagi bergelar juara selepas menamatkan saingan dengan masa 27:56.248s meninggalkan pelumba gantian Akeno Speed Racing, Broc Parkes di tempat kedua manakala Fujiwara sekadar di tempat ketiga, masing-masing dengan masa 27:56.428s dan 27:49.440s.

Kemenangan itu menyaksikan Azlan turut menamatkan musim 2013 dengan kejayaan menamatkan semua perlumbaan di podium.

“Perlumbaan 2 lebih sukar buat saya. Walaupun hanya perlu sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tempat ke-15, saya bersedia mengambil risiko untuk memastikan sekali lagi dapat berada di podium.”

Hafizh hampiri kelompok tiga penunggang terbaik

Hafizh kini hanya dibezakan tujuh mata daripada penghuni tangga kedua dan 27 mata di belakang pendahulu.

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kini semakin hampir untuk menamatkan saingan CEV Repsol Sepanyol 2013 di kelompok tiga terbaik dengan perlumbaan akhir musim di Jerez hujung minggu ini menjadi penentu.

Penunggang Petronas Raceline Malaysia itu kelmarin menamatkan perlumbaan di tangga pertama di Valencia - untuk mencuri 25 mata berharga daripada dua pesaing utama yang kini menghuni tangga pertama dan kedua di kedudukan carta keseluruhan.

Dengan 25 mata itu, Hafizh kini hanya dibezakan tujuh mata daripada penghuni tangga kedua, Alejandro Marinelarena Mutiloa dari pasukan Targobank Motorsport (Sepanyol) dan 27 mata di belakang pendahulu Roman Ramos Alvaro (Stratos Team).

Saingan sengit

Jumlah perbezaan mata yang kecil itu secara matematiknya akan membenarkan Hafizh untuk menamatkan musim sekurang-kurangnya di podium kedua - itupun sekiranya dapat menamatkan perlumbaan di Jerez di petak pertama dan dalam masa sama mengharapkan Alejandro Marinelarena mengakhiri perlumbaan di petak ketiga.

Namun pastinya saingan antara ketiga-tiga pelumba itu sengit, apa lagi tumpuan sudah pasti tertumpu terhadap dua pelumba dari Sepanyol itu yang kini merebut takhta gelaran juara dengan jurang antara mereka hanya dibezakan dengan 20 mata.

“Saya harap dapat mengekalkan keputusan seperti ini di Jerez nanti,” kata Hafizh yang pernah menggegar Moto2 di Grand Prix Malaysia tahun lalu dengan meraih tangga ke-4 keseluruhan.

Pada perlumbaan hujung minggu lalu, Hafizh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 31 minit 4.413 saat sekali gus memberikannya kemenangan keduanya musim ini selepas di Navarra, September lalu.

Ongetta-CBC pasukan baru Zulfahmi

Zulfahmi tidak lagi mewakili Red Bull KTM Ajo musim depan.

Kuala Lumpur: Penunggang Red Bull KTM Ajo, Zulfahmi Khairuddin bakal berubah angin ke pasukan baru Ongetta-CBC untuk saingan Moto3 musim depan dengan ikatan kontrak selama setahun.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali sambil menyatakan anak kelahiran Banting, Selangor itu bakal bergandingan dengan pelumba Perancis Alexis Masbou yang menamatkan musim 2013 di tangga kelapan.

Lima terbaik

“Zulfahmi akan bersama Ongetta CBC yang berpangkalan di Mugello, Itali musim depan,” kata Razlan ketika dihubungi semalam.

“Saya meletak harapan supaya tahun depan menjadi tahun lebih baik untuk Zulfahmi dan dapat melakukan yang lebih baik dari tahun ini. Saya harap dia dapat bersaing untuk meletakkan dirinya antara kelompok lima terbaik musim depan.”

Razlan juga berkata, Zulfahmi yang menamatkan perlumbaan di GP Valencia di tangga ke-13 dengan catatan 40 minit 43.129 saat kelmarin bakal menguji jentera Honda barunya di Almeria, penghujung bulan ini.

Retak tangan

Musim 2013 bukan tahun terbaik buat Zulfahmi apabila berdepan kecederaan retak pergelangan tangan kanan di GP Aragon hujung September lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan kecil.

Ekoran dari pembedahan yang memerlukan masa untuk pulih, Zulfahmi terpaksa menarik diri daripada perlumbaan GP Malaysia, Oktober lalu namun kembali memasuki litar perlumbaan di GP Australia - menamatkan perlumbaan di tangga ke-11.

Pada musim 2012, Zulfahmi menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan dengan 128 mata - hasil daripada dua penamat di podium di GP Malaysia dan GP Valencia.

Hafizh Syahrin isi slot wildcard MotoGP Valencia

Hafizh Syahrin
PELUMBA muda negar, Hafizh Syahrin Abdullah dipilih untuk mengisi slot 'wildcard' dalam kategori Moto2 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Valencia, Sepanyol dari 8 hingga 10 November ini.
 
Penyertaan dalam saingan itu adalah wildcard keempat bagi pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu, tahun ini.
 
Selaku pelumba wildcard , Hafizh Syahrin, 19, menampilkan prestasi terpuji dalam tiga perlumbaan sebelum ini, iaitu pada MotoGP Perancis di Litar LeMans, MotoGP Sepanyol di Litar Catalunya dan MotoGP Malaysia di Litar Sepang.
 
Sepanjang tiga penyertaan wildcard itu, beliau mencatat keputusan memberangsangkan dengan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-22 di LeMans, Catalunya (18) dan Malaysia (16).
 
"Pada masa ini, saya hanya memberi tumpuan untuk merebut gelaran di Kejuaraan Sepanyol dan pada masa sama mahu mencatat keputusan terbaik di Valencia (MotoGP) minggu depan.
 
"Saya mahu mendapatkan keputusan wildcard terbaik pada tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Petronas Motorsports hari ini.
 
Penampilan Hafizh Syahrin pada saingan MotoGP semusim penuh pada tahun depan menjadi perbualan hangat selepas mengukir kejayaan terutama pada perlumbaan CEV-Repsol di Sepanyol, tahun ini.  - Bernam

Azlan ke-20 terbaik di Litar Philip Island

Azlan berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 20 terbaik pada saingan Kejuaraan MotoGP di Litar Philip Island Australia.
PELUMBA kelas Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 20 pelumba terbaik dalam pada saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Phillip Island, Australia, semalam.

Pelumba Honda Team Asia itu menamatkan 13 pusingan perlumbaan di kedudukan ke-19 dengan masa keseluruhan 20:56.318s selepas pertarungan sengit diantara barisan pelumba Asia, Doni Tata, Kohta Nohzane dan Rafid Topan Sucipto bersama-sama

Mattia Pasini dan Steven Odendall bagi memburu satu mata kejuaraan yang akhirnya menjadi milik Doni Tata setelah pelumba Indonesia itu berjaya menamatkan saingan di tempat ke-15.

Gelaran juara menjadi milik pendahulu keseluruhan dari pasukan Tuenti HP 40, Pol Espargaro, manakala tempat kedua dimenangi pelumba Interwetten Paddock Moto2 Thomas Luthi dan Jordi Torres dari pasukan Aspar Team Moto2.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Saya bergelut untuk mendapatkan pelarasan terbaik sepanjang minggu dan pada masa sama perlu cepat menyesuaikan diri dengan litar Phillip Island. Meskipun begitu, semuanya baik pada waktu perlumbaan sebenar dan dapat beraksi dengan lebih kompetitif,” katanya yang menamatkan saingan di tempat ke-22 pada saingan MotoGP di Sepang, minggu lalu.

Sementara itu, Pengurus Honda Team Asia, Tadayuki Okada turut berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Azlan.

“Dia bermula agak perlahan dan terpaksa mengejar pencabar Moto2 yang lain. Kami akan mencuba yang terbaik di perlumbaan seterusnya di Motegi nanti,” katanya.

Cuaca panas, litar kering sebabkan Hafizh tewas

Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin ketika beraksi dalam kategori Moto2 pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang , hari ini. Hafizh mendapat tempat ke-16 dengan masa 26 minit 14.780 saat. - Foto Bernama
SEPANG - Cuaca panas dan litar kering tidak menyebelahi nasib pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah pada perlumbaan Moto2 Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang hari ini.

Pelumba Petronas Raceline itu, yang bermula di petak ke-18, menamatkan saingan di posisi ke-16 dengan catatan masa 26 minit 14.780 saat.

"Permulaan tadi, semua berjalan lancar, saya dapat memecut sehingga di posisi ke-11, saya cuba konsisten dengan penataan pada bahagian tayar tetapi tidak begitu baik.

"Saya juga tertekan pada permulaan tadi ketika bermula di petak ke-18, selepas ini saya perlu cepat memperbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada tahun lepas, Hafizh Syahrin yang lebih dikenali sebagai 'Pescao' atau 'ikan kecil' dalam bahasa Sepanyol, menamatkan perlumbaan di tempat keempat ketika beraksi di litar basah.

Pada perlumbaan Moto2 hari ini, pelumba pasukan Tuenti, Esteve Rabat dan Pol Espargaro dari Sepanyol meraih dua tempat teratas.

Rabat melakar kemenangan ketiga menerusi catatan 25 minit dan 45.411 saat diekori Espargaro dengan jarak 1.563s, iaitu 25:46.974s.

Pelumba Switzerland Thomas Luthi dari pasukan Interwetten Paddock Moto2 Racing di tempat ketiga dengan catatan 25:48.321s.

Seorang lagi pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia menamatkan saingan Moto2 di posisi ke-22 dengan catatan masa 26:25.868 saat. - Bernama

Terpaksa tarik diri saat akhir

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Zulfahmi Khairuddin hanya mampu melambai tangan kearah penyokongnya selepas beliau menarik diri dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - Jaguh lumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin menarik diri daripada perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang hari ini kerana tidak mahu kesakitan di pergelangan tangan kanannya menjadi bertambah teruk.

Selepas menerima tujuh suntikan ubat menahan sakit pagi tadi, beliau tetap merasa sakit semasa membuat satu pusingan semasa sesi memanas badan pagi tadi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulfahmi berkata, memandangkan beliau masih berasa sakit dan tidak mahu menanggung risiko mencederakan pelumba lain ketika perlumbaan nanti, beliau memutuskan untuk tidak beraksi.

"Sebenarnya selepas sesi kelayakkan semalam, saya berasa sakit di bahagian tangan. Sekiranya saya meneruskan perlumbaan hari ini, mungkin akan membahayakan keselamatan pelumba lain dan kecederaan saya juga akan bertambah teruk," kata
pelumba Moto3 dari pasukan Red Bull KTM AJO ini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan lebih 80,000 penonton yang hadir untuk memberikan sokongan.

Meskipun hampa tidak dapat meneruskan perlumbaan, Zulfahmi tetap turun ke trek dan melambai tangan ke arah penyokongnya.

Zulfahmi mengalami keretakan kecil pergelangan tangan kanan ketika beraksi di Litar Aragon minggu lepas.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pergelangan tangan kirinya terpaksa dibedah selain bahagian pinggangnya bengkak.

"Buat masa ini saya hanya fikir untuk cepat sembuh. Pada tahun depan, dengan fizikal yang cergas, saya akan memberikan perlumbaan yang baik untuk penyokong saya," kata Muhamad Zulfahmi yang sepatutnya memulakan perlumbaan pada petak
ke-14 hari ini.

Sementara itu, dua pelumba wild card dari pasukan Touchline-SIC-AJO, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik yang beraksi pada saingan Moto3 hari ini tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas tersasar dari trek.

Amirul Hafiq hanya mampu membuat tiga pusingan sahaja manakala Husni Aizat hanya menghabiskan satu pusingan sahaja daripada 18 pusingan.

Bagi Amirul Hafiq, beliau kecewa tidak dapat memberikan perlumbaan terbaik sejak sesi latihan pertama diadakan pada Jumaat lepas.

"Pelumba lain (Moto3) sangat berpengalaman dan hebat, saya memang perlu banyak belajar lagi," kata pelumba berusia 16 tahun ini.

Seorang lagi pelumba, Husni Aizat berkata, biarpun berada pada kedudukan tercorot namun beliau menganggap peluang berlumba di Litar Sepang adalah pengalaman berguna untuk kariernya. - Bernama

Hafiz capai sasaran

Hafiz tonjol peningkatan dalam sesi kelayakan masa, semalam.
PELUMBA Petronas Raceline Malaysia, Hafiq Syahrin Abdullah berpuasa hati dengan catatan masa 2’08.441 yang meletakkan dirinya di kedudukan ke-18 untuk memulakan aksi dalam kategori Moto2, hari ini.

Anak jati Kuala Lumpur ini yang mencatatkan masa 2’09.529 pada ujian bebas ketiga dan 2’09.000 ujian bebas kedua terus cemerlang pada seisi kelayakan.

Jelasnya, catatan masa pada seisi kelayakan merupakan yang terbaik apatah lagi beraksi di laman sendiri menaikkan semangat untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik.

“Tidak mengecewakan malah ia mencapai sasaran walaupun pada mulanya saya berada di kedudukan ke-14, namun perubahan dari segi tunggangan jentera memberi kesan tapi tetap berpuas hati.

“Segalanya mungkin berubah pada litar kerana ada kalanya pelumba begitu cemerlang dalam catatan masa namun perlumbaan sebenar sebaliknya berlaku,” katanya.

Juara kategori Moto2 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) Navara September lalu lebih memilih aksi dalam litar basah berbanding kering kerana ia satu kelebihan buat dirinya.

“70 peratus bersedia untuk litar basah namun litar kering tidak begitu sukar, saya perlukan pelumba di hadapan yang mampu menaikkan semangat untuk mengejar mereka dan percaya mampu memberikan cabaran dalam perlumbaan.

“Jika litar basah sasaran pastinya 10 hingga lima tapi jika kering berada dalam 15 terbaik juga menakjubkan,” katanya.

Pedrosa memukau

Sepang: Dani Pedrosa mengekalkan kemenangan yang diraih musim lalu apabila sekali lagi muncul juara pada saingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus kemenangan ketiga diraih musim ini.

Selepas melalui detik sukar pada Grand Prix Aragon apabila gagal menamatkan perlumbaan akibat terjatuh, pelumba Repsol Honda itu memulakan perlumbaan dengan baik meskipun sekadar bermula di petak kelima.

Podium kedua pula menjadi milik rakan sepasukan Marc Marquez yang terpaksa bersaing sengit dengan pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo.

Juara bertahan itu sekadar berpuas hati dengan tempat ketiga selepas jenteranya tidak begitu kompetitif.

PEDROSA (No 26) cemerlang dengan merangkul tempat pertama di Sepang.
“Inilah kemenangan yang saya mahukan selepas melalui minggu yang cukup sukar di Aragon.

Zulfahmi sasar 10 terbaik

Zulfahmi memulakan perlumbaan di petak ke-14 hari ini.
PELUMBA negara dalam kategori Moto3,  Zulfahmi Khairudin akan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-14 selepas mencatat masa 2’15.474 dalam seisi kelayakan masa Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kedudukan petak yang diraih pelumba negara ini dianggap satu perkembangan positif memandangkan Zulfahmi masih bertarung dengan kesakitan di bahagian belakang pinggang dan pergelangan tangan kanannya.

Menurut Zulfahmi, segalanya berjalan dengan lancar dengan beberapa penambahbaikan berjaya dilakukan pasukan dan berada dikedudukan ke -14 sesuatu yang memberangsangkan.

“Walaupun pada mulanya litar agak basah hingga menjejaskan sedikit catatan masa sebelum kami mengambil keputusan untuk menunggu litar kering dan catatan masa 2’15.474 dianggap bagus berbanding semalam.

“Saya masih bertarung dengan kesakitan namun, saya gagahkan kerana ingin mencuba yang terbaik, masih banyak boleh diperbaiki terutamanya ketika mengambil selekoh namun percaya esok mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran untuk aksi hari ini, Zulfahmi mahu memastikan dua pusingan awal mampu meletakkan dirinya berada dalam kedudukan terbaik selain menamatkan perlumbaan di kalangan 10 terbaik .

“Perlu tahu kemampuan diri saya pada masa ini,  kesakitan memang masih dirasai namun mengharapkan ia berkurangan dan tidak melarat.

“Sasaran peribadi sudah pastinya 10 terbaik dan yakin mampu melakukannya jika dilihat prestasi jentera dan kemampuan pasukan,” katanya.

Selain Zulfahmi, dua pelumba muda negara, Amirul Hafiq Azmi turut beraksi dalam kategori yang sama dan berada dipetak 32 (2’17.757) manakala Husni Aizat petak 33 (2’17.814).

Bergelut cari rentak

Sepang: Prestasi sederhana dipamer pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada dua sesi latihan bebas semalam sebenarnya menyaksikan dia berlumba dalam kesakitan dan agak bergelut mencari rentak tunggangan terbaik kerana belum pulih sepenuhnya daripada proses pemulihan berikutan kemalangan di Grand Prix Aragon, dua minggu lalu.

Pada sesi pagi latihan bebas pertama, pelumba Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 16.852 saat untuk menduduki tempat ke-20 manakala pada sesi kedua yang berlangsung selepas hujan, Zulfahmi melakar masa 2:18.610s, juga di tempat ke-20.

Pada sesi latihan kedua, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu hanya memasuki litar kira-kira tujuh minit sebelum tamat sesi latihan 40 minit.

“Sebenarnya pada sesi latihan pertama, memang sakit akibat bengkak di bahagian bawah pinggang belakang. Ia berlaku terutama ketika saya tunduk di laluan lurus.

“Saya rasa betul-betul sakit. Sebab itu pasukan ambil keputusan untuk saya berehat lebih lama di pit dan hanya melakukan tujuh pusingan penuh.

“Kami mahu fokus kepada sesi latihan kedua, tapi ketika itu hujan dan litar pula basah. Keputusan diambil untuk saya buat dua pusingan penuh saja pada hujung sesi.

Zulfahmi Khairuddin

“Tidak banyak boleh saya katakan mengenai prestasi jentera sebab fokus utama adalah sesuaikan diri saya dengan motosikal,” katanya.

Zulfahmi berkata, dia memang rasa terkejut kerana kesakitan di bahagian belakang lebih memberi masalah berbanding pembedahan di pergelangan tangan kanannya yang selama ini menjadi tumpuan utama.

“Sakit di bahagian belakang sama ketika terjatuh di Aragon. Cuma tumpuan sebelum ini lebih kepada tangan saya,” katanya.

Apapun, dia sudah bersedia untuk turun berlumba walaupun terpaksa menahan kesakitan.

“Saya sudah 70 peratus sedia untuk turun berlumba dan cuba mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan esok (hari ini),” katanya.

Hafizh mahu 10 terbaik

Hafizh Syahrin Abdullah (kiri) melayani peminatnya selepas menamatkan sesi latihan Grand Prix Malaysia di Sepang.
SEPANG - Pelumba muda berbakat besar negara, Hafizh Syahrin Abdullah meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada sesi kelayakan Moto2, Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Kata Hafizh, jenteranya kini berfungsi dengan baik selepas melakukan pelarasan pada enjin, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Hafizh yang mewakili pasukan Petronas Raceline Malaysia pada Kejuaraan Dunia itu turut memberitahu, sasaran 10 terbaik tersebut lebih realistik berikutan perlu bersaing dengan ramai jaguh Moto2.

"Hari ini (semalam) saya puas hati dengan prestasi jentera terutama pada sesi latihan bebas kedua malah dapat merasai banyak perubahan besar pada jentera selepas melakukan pelarasan pada enjin.

"Jika saya dapat meraih kedudukan 10 terbaik ia sudah dianggap satu pencapaian baik kerana beza masa antara setiap pelumba tidak terlalu jauh," kata Hafizh.

Pada sesi latihan kedua, semalam Hafizh melakukan catatan masa 2 minit 9 saat untuk berada di tempat ke-14 terpantas dan ketinggalan 1.679s di belakang pelumba terpantas pada hari pertama GP Malaysia, Esteve Rabat daripada pasukan Tuenti HP 40.

Dua lagi pelumba negara yang beraksi pada Moto2 kali ini iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi tidak berupaya mengikut jejak Hafizh yang menamatkan sesi latihan bebas dengan catatan masa sekitar 2:09s.

Azlan yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia tidak mampu memperbaiki catatan masa 2:10.469s selepas mengalami kemalangan pada sesi ujian bebas kedua, manakala Zaqhwan yang beraksi untuk Technomag Carxpert hanya mampu berada di kedudukan ke-27 terpantas pada sesi ujian bebas kedua dengan catatan masa 2:10.831s.

Sementara itu, dua pelumba wildcard Moto3 daripada pasukan Touchline-SIC-Ajo mengakui masih memerlukan pelarasan maksimum pada jentera untuk membolehkan mereka berlumba dengan baik pada Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

Pada aksi pertama, semalam, dua pelumba tersebut iaitu Amirul Hafiq Mohd. Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik mempamer tunggangan memberangsangkan apabila menamatkan sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa sekitar 2:17s.

Namun, prestasi kedua-dua mereka yang baru pertama kali beraksi di Kejuaraan Dunia itu menurun di sesi latihan kedua di sebelah petang yang sedikit basah selepas hujan dengan masing-masing berada di tangga ke-29 dan ke-32.

Amirul Hafiq, 16 tahun, berkata, sesi latihan bebas ketiga yang berlangsung hari ini perlu dimanfaatkan dengan baik selain berharap jenteranya dapat berfungsi dengan lebih bagus.

"Pelarasan motosikal tidak berada baik lagi kerana apabila brek tidak stabil (sesi latihan bebas 1) namun pada baki-baki terakhir kami menukar pelarasan dan motosikal berada dalam keadaan lebih bagus.

"Namun di sesi latihan bebas 2, keadaan litar basah jadi ia agak sukar buat saya tetapi untuk sesi esok (hari ini) saya yakin mampu meningkat lebih baik," kata Amirul Hafiq.

Husni Aizat pula berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki terutama corak tunggangan di selekoh laju seperti di selekoh 5 dan 12.

"Catatan masa pada sesi latihan bebas pertama (2:17.865s) mencapai sasaran saya dan sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik esok (sesi latihan bebas ketiga)," jelas Husni Aizat.

'Saya boleh berlumba'

Bekas juara dunia, Valentino Rossi (kiri) bertanya keadaan kesihatan Zulfahmi pada sidang akhbar Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - "Saya sudah pulih dan cukup cergas untuk aksi hujung minggu ini."

Itu tegas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada sidang akhbar Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kata Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, doktor perlumbaan MotoGP telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan mengesahkan bahawa dia sudah boleh berlumba kembali biarpun sebelum ini ada pihak menyuarakan kebimbangan terhadap prestasinya selepas menjalani pembedahan di pergelangan tangan kanan di Sepanyol, baru-baru ini.

Tambah Zulfahmi, kini fokusnya adalah untuk memastikan tunggangannya pada perlumbaan hujung minggu ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Saya kini sudah boleh menggerakkan tangan dengan baik serta amat gembira apabila doktor yang merawat saya pagi tadi (semalam) memberitahu saya boleh beraksi tanpa apa-apa yang perlu dibimbangkan.

"Dapat beraksi di laman sendiri adalah sesuatu yang dinantikan oleh saya dan saya sentiasa memandang ke hadapan dalam setiap perlumbaan yang saya sertai," kata Zulfahmi.

Pada 29 September lalu, Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol.

Kecederaan pelumba itu mendapat reaksi pelbagai pihak, malah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz turut menasihatkan Zulfahmi agar berehat dan tidak berlumba di Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Zulfahmi tetap dengan pendiriannya untuk terus beraksi di Litar Antarabangsa Sepang sebelum memperoleh pengesahan daripada doktor perlumbaan di sini.

Sementara itu, Zulfahmi turut berharap pada sesi latihan bebas hari ini tiada lagi rasa sakit dirasai pada pergelangan tangannya.

"Sekiranya rasa sakit dapat di atasi sudah tentu semuanya akan berlangsung dengan baik selain dapat membuat catatan masa yang bagus.

"Dalam masa sama juga saya ingin berterima kasih kepada ISN kerana banyak memberikan bantuan dan prihatin terhadap kecederaan yang saya alami ini," kata Zulfahmi.

Rossi intai peluang

ROSSI (dua dari kiri) bertekad untuk mencipta satu lagi kejayaan di Litar Sepang Ahad ini.
JUARA dunia tujuh kali, Valentino Rossi menjelaskan bahawa peluangnya untuk melakar satu lagi kejayaan pada Kejohanan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 Shell Advance di Litar Sepang minggu ini masih cerah, namun bergantung jika hujan tidak turun pada hari perlumbaan Ahad ini.

Kali terakhir Rossi menaiki podium di Sepang bersama pasukan Yamaha ialah pada edisi 2010 sebelum dia mengharungi musim yang mengecewakan bersama Ducati selama dua tahun.

Setelah kembali ke Yamaha musim ini, pelumba dari Itali tersebut mula mempamer peningkatan prestasi dan hampir ke tahap sebenarnya ketika saingan MotoGP musim ini berbaki empat pusingan lagi.

“Litar Sepang adalah litar yang sangat hebat, saya amat sukakan litar ini dan ia adalah antara litar kegemaran saya.

“Bagaimanapun, saya jamin semua pelumba juga amat gemar dengan litar ini. Mereka mampu mencatat prestasi yang baik dan sangat laju apabila beraksi di litar ini. Jadi, saya rasa minggu ini akan menjadi minggu yang sukar kepada saya.

“Hujan juga mampu menambahkan lagi cabaran kepada kami seperti tahun lepas. Jadi, kami lihat saja kalau-kalau situasi yang sama (hujan) akan berlaku lagi minggu ini,” jelas Rossi pada sidang media di Sepang semalam.

Rossi yang kini di kedudukan keempat dalam kejuaraan dunia dengan 185 mata, 93 mata di belakang pendahulu dari Honda, Marc Marquez, menjelaskan dia gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan pada dua perlumbaan terakhir di GP San Marino dan GP Aragon bulan lalu.

Pelumba berusia 34 tahun itu menduduki tempat keempat pada perlumbaan GP San Marino 15 September lepas manakala berjaya menaiki podium di tempat ketiga pada GP Aragon, 29 September kemudian.

“Saya dapat rasakan peningkatan ketika menuju ke penghujung musim ini, terutamanya pada dua saingan GP yang lepas.

“Saya mahu mencatat lebih banyak peningkatan. Saya masih berusaha untuk mengurangkan jurang mata dengan tiga pelumba teratas,” tambah Rossi.

Zulfahmi bawa khabar gembira

Pelumba Moto 3, Zulfahmi Khairuddin bercakap ketika sidang media di SIC sempena
Grand PrixMoto GP Malaysia 2013.
BERITA gembira buat peminat sukan permotoran tempatan apabila jaguh motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengalami kecederaan dalam perlumbaan di Alcaniz, Sepanyol bakal beraksi pada Grand Prix Malaysia hujung minggu ini.

Zulfahmi berkata, rawatan pemulihan kesan dari kecederaan dialami menunjukkan peningkatan positif yang memberikannya peluang untuk beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Rawatan pemulihan kesan kecederaan menunjukkan kesan positif dan pakar perubatan sendiri mengesahkan saya boleh beraksi hujung minggu ini.

“Hari ini saya akan menjalani latihan ringan menunggang motosikal sambil diselia doktor perubatan sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media di SIC Sepang, semalam.

Jelasnya, sokongan peminat tempatan memenuhi SIC Sepang semasa perlumbaan diadakan hujung minggu ini amatlah diharapkan bagi menaikkan semangat pelumba tempatan.

“Sudah tentu kehadiran penonton akan menaikkan semangat pelumba tempatan, kami akan  melakukan yang terbaik demi negara dan peminat,” katanya yang menduduki tempat kedua pada perlumbaan musim lalu.

Selain Zulfahmi (Red Bull KTM Ajo) yang akan beraksi dalam Moto3 bersama Husni Aizat Abdul Malik (Touchline SIC Ajo) dan Amirul Hafiq Mohd. Azmi (Touchline SIC Ajo).

Peminat tempatan juga bakal melihat Azlan Shah Kamarulzaman (Musashi Boon Siew Honda), Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline Malaysia)  dan Mohd. Zaqhwan akan bersaing Moto 2.


Rossi tidak sabar beraksi

Valentino Rossi

PELUMBA Yamaha, Valentino Rossi tidak sabar untuk bersaing dengan Jorge Lorenzo, Dani Pedrosa dan Marc Marquez pada perlumbaan MotoGP di Aragon hujung minggu ini.

Menyedari dirinya sentiasa di belakang pelumba-pelumba tersebut, dia yakin dengan peningkatan prestasi motosikalnya setelah menjalani ujian di MotoGP San Marino.

"Selepas melakukan ujian tersebut, saya tidak sabar hendak beraksi pada perlumbaan akan datang.

"Sasaran saya adalah untuk mengalahkan ketiga-tiga pelumba ini," katanya.

Di Aragon sebelum ini, Rossi menamatkan saingan di tempat keenam bersama Yamaha pada 2010 dan tempat ke-10 dan kelapan pada tahun 2011 dan 2012 bersama Ducati.

Rossi kini menduduki tempat keempat dengan 169 mata, manakala Lorenzo dan Pedrosa memungut 219 mata dan pelumba Repsol Honda, Marquez unggul di hadapan dengan 253 mata.

Okada kagum kesungguhan Azlan

Okada (kanan) berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Azlan.

SELEPAS mempamerkan prestasi baik dengan menamatkan saingan di tempat ke-24 pada aksi pertama saingan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia di San Marino, Azlan Shah Kamaruzaman kini lebih bersedia untuk menghadapi perlumbaan keduanya di Litar Aragon, Sepanyol, hujung minggu ini.

Sebaik perlumbaan di San Marino tamat, Azlan dan seluruh pasukan Honda Team Asia telah kembali ke pangkalan mereka, Litar Ales di Perancis dan di sana, Azlan melakukan pelbagai latihan kecergasan termasuk berlatih di litar motorcross bersama pemilik pasukan, Tadayuki Okada.

Selain itu, pasukannya turut mengatur dua hari sesi latihan di litar Ales bagi membolehkan Azlan menyesuaikan diri dan mendalami karakter jentera yang digunakannya.

Dalam satu temu bual selepas perlumbaan di San Marino, Okada menjelaskan dia cukup tertarik dengan gaya agresif yang ditunjukkan Azlan sepanjang perlumbaan pertamanya.

“Dia tidak mudah mengalah dan cepat berputus asa. Kami tahu perlumbaan pertama di San Marino cukup sukar buat Azlan. Dia begitu keletihan selepas menamatkan dua perlumbaan Kejuaraan Asia dan kemudiannya terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke San Marino.

"Pada masa sama, dia terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan litar dan jenteranya namun ini semua tidak menjadi satu halangan kepada Azlan.

“Sewaktu perlumbaan akhir pula, Azlan merupakan antara pelumba yang paling kerap memintas pelumba di hadapannya. Dia mempunyai ciri-ciri seorang pelumba sejati dan berani,” jelas Okada.

MotoGP: Rossi raih pendapatan tertinggi

Rossi muncul antara atlet yang terima pendapatan tertinggi.

VALENTINO Rossi tetap menerima pendapatan tertinggi dalam bidang MotoGP meskipun rela dipotong gajinya selepas memutuskan kembali ke pasukan Yamaha.

Menurut majalah Forbes, Rossi berada dalam senarai teratas daripada daftar atlet dengan pendapatan terbesar sebanyak RM69 juta.

Jumlah itu membolehkan Rossi berada pada posisi 51 atlet menerima bayaran tertinggi pada tahun ini.

Pelumba Itali itu juga muncul satu-satunya penunggang MotoGP yang berada di posisi 100 terbaik dunia.

Berbanding musim lalu, kedudukan Rossi merosot dan hanya terima RM94 juta semasa mewakili pasukan Ducati.