Hafizh hampiri kelompok tiga penunggang terbaik

Hafizh kini hanya dibezakan tujuh mata daripada penghuni tangga kedua dan 27 mata di belakang pendahulu.

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kini semakin hampir untuk menamatkan saingan CEV Repsol Sepanyol 2013 di kelompok tiga terbaik dengan perlumbaan akhir musim di Jerez hujung minggu ini menjadi penentu.

Penunggang Petronas Raceline Malaysia itu kelmarin menamatkan perlumbaan di tangga pertama di Valencia - untuk mencuri 25 mata berharga daripada dua pesaing utama yang kini menghuni tangga pertama dan kedua di kedudukan carta keseluruhan.

Dengan 25 mata itu, Hafizh kini hanya dibezakan tujuh mata daripada penghuni tangga kedua, Alejandro Marinelarena Mutiloa dari pasukan Targobank Motorsport (Sepanyol) dan 27 mata di belakang pendahulu Roman Ramos Alvaro (Stratos Team).

Saingan sengit

Jumlah perbezaan mata yang kecil itu secara matematiknya akan membenarkan Hafizh untuk menamatkan musim sekurang-kurangnya di podium kedua - itupun sekiranya dapat menamatkan perlumbaan di Jerez di petak pertama dan dalam masa sama mengharapkan Alejandro Marinelarena mengakhiri perlumbaan di petak ketiga.

Namun pastinya saingan antara ketiga-tiga pelumba itu sengit, apa lagi tumpuan sudah pasti tertumpu terhadap dua pelumba dari Sepanyol itu yang kini merebut takhta gelaran juara dengan jurang antara mereka hanya dibezakan dengan 20 mata.

“Saya harap dapat mengekalkan keputusan seperti ini di Jerez nanti,” kata Hafizh yang pernah menggegar Moto2 di Grand Prix Malaysia tahun lalu dengan meraih tangga ke-4 keseluruhan.

Pada perlumbaan hujung minggu lalu, Hafizh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 31 minit 4.413 saat sekali gus memberikannya kemenangan keduanya musim ini selepas di Navarra, September lalu.

0 comments:

Post a Comment