Kuala Lumpur: Azlan Shah Kamaruzaman mencatat sejarah membanggakan apabila bergelar juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.
Penunggang Musashi Boon Siew Honda Racing itu muncul pelumba kedua Malaysia memenangi gelaran SuperSports 600cc di pentas Asia selepas kali terakhir dimenangi Chia Tuck Cheong pada 2000 dan 2001.
Selain itu, Azlan turut menamatkan saingan musim 2013 dengan kejayaan manis apabila meraih kejayaan berganda dengan memenangi kedua-dua perlumbaan akhir.
Dua kemenangan pada pusingan terakhir meletakkan Azlan di tangga teratas dengan mengumpul 235 mata, sekali gus turut mengekalkan gelaran yang dimenangi rakan sepasukan musim lalu, Ryuichi Kiyonari.
“Saya masih tidak percaya mampu memenangi gelaran ini. Sukar untuk digambarkan perasaannya dan kemenangan ini amat istimewa buat saya dan seluruh pasukan,” jelas Azlan yang turut menangis kegembiraan ketika lagu Negaraku didendangkan dan Jalur Gemilang dikibarkan di pentas podium.
Bermula dari petak pertama, saingan Perlumbaan 1 menyaksikan Azlan mencatat kemenangan mudah apabila menamatkan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 32 minit 20.579 saat, 7.964 saat di depan pencabar utama, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) yang berada di tempat kedua dengan 32:28.543s sambil rakan senegara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) ketiga 32:28.543s.
Meskipun sekadar memerlukan satu mata bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan, Azlan tidak memandang mudah saingan Perlumbaan 2 apabila dia sekali lagi bergelar juara selepas menamatkan saingan dengan masa 27:56.248s meninggalkan pelumba gantian Akeno Speed Racing, Broc Parkes di tempat kedua manakala Fujiwara sekadar di tempat ketiga, masing-masing dengan masa 27:56.428s dan 27:49.440s.
Kemenangan itu menyaksikan Azlan turut menamatkan musim 2013 dengan kejayaan menamatkan semua perlumbaan di podium.
“Perlumbaan 2 lebih sukar buat saya. Walaupun hanya perlu sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tempat ke-15, saya bersedia mengambil risiko untuk memastikan sekali lagi dapat berada di podium.”
0 comments:
Post a Comment