Zulfahmi sasar 10 terbaik

Zulfahmi memulakan perlumbaan di petak ke-14 hari ini.
PELUMBA negara dalam kategori Moto3,  Zulfahmi Khairudin akan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-14 selepas mencatat masa 2’15.474 dalam seisi kelayakan masa Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kedudukan petak yang diraih pelumba negara ini dianggap satu perkembangan positif memandangkan Zulfahmi masih bertarung dengan kesakitan di bahagian belakang pinggang dan pergelangan tangan kanannya.

Menurut Zulfahmi, segalanya berjalan dengan lancar dengan beberapa penambahbaikan berjaya dilakukan pasukan dan berada dikedudukan ke -14 sesuatu yang memberangsangkan.

“Walaupun pada mulanya litar agak basah hingga menjejaskan sedikit catatan masa sebelum kami mengambil keputusan untuk menunggu litar kering dan catatan masa 2’15.474 dianggap bagus berbanding semalam.

“Saya masih bertarung dengan kesakitan namun, saya gagahkan kerana ingin mencuba yang terbaik, masih banyak boleh diperbaiki terutamanya ketika mengambil selekoh namun percaya esok mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran untuk aksi hari ini, Zulfahmi mahu memastikan dua pusingan awal mampu meletakkan dirinya berada dalam kedudukan terbaik selain menamatkan perlumbaan di kalangan 10 terbaik .

“Perlu tahu kemampuan diri saya pada masa ini,  kesakitan memang masih dirasai namun mengharapkan ia berkurangan dan tidak melarat.

“Sasaran peribadi sudah pastinya 10 terbaik dan yakin mampu melakukannya jika dilihat prestasi jentera dan kemampuan pasukan,” katanya.

Selain Zulfahmi, dua pelumba muda negara, Amirul Hafiq Azmi turut beraksi dalam kategori yang sama dan berada dipetak 32 (2’17.757) manakala Husni Aizat petak 33 (2’17.814).

0 comments:

Post a Comment