Bergelut cari rentak

Sepang: Prestasi sederhana dipamer pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada dua sesi latihan bebas semalam sebenarnya menyaksikan dia berlumba dalam kesakitan dan agak bergelut mencari rentak tunggangan terbaik kerana belum pulih sepenuhnya daripada proses pemulihan berikutan kemalangan di Grand Prix Aragon, dua minggu lalu.

Pada sesi pagi latihan bebas pertama, pelumba Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 16.852 saat untuk menduduki tempat ke-20 manakala pada sesi kedua yang berlangsung selepas hujan, Zulfahmi melakar masa 2:18.610s, juga di tempat ke-20.

Pada sesi latihan kedua, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu hanya memasuki litar kira-kira tujuh minit sebelum tamat sesi latihan 40 minit.

“Sebenarnya pada sesi latihan pertama, memang sakit akibat bengkak di bahagian bawah pinggang belakang. Ia berlaku terutama ketika saya tunduk di laluan lurus.

“Saya rasa betul-betul sakit. Sebab itu pasukan ambil keputusan untuk saya berehat lebih lama di pit dan hanya melakukan tujuh pusingan penuh.

“Kami mahu fokus kepada sesi latihan kedua, tapi ketika itu hujan dan litar pula basah. Keputusan diambil untuk saya buat dua pusingan penuh saja pada hujung sesi.

Zulfahmi Khairuddin

“Tidak banyak boleh saya katakan mengenai prestasi jentera sebab fokus utama adalah sesuaikan diri saya dengan motosikal,” katanya.

Zulfahmi berkata, dia memang rasa terkejut kerana kesakitan di bahagian belakang lebih memberi masalah berbanding pembedahan di pergelangan tangan kanannya yang selama ini menjadi tumpuan utama.

“Sakit di bahagian belakang sama ketika terjatuh di Aragon. Cuma tumpuan sebelum ini lebih kepada tangan saya,” katanya.

Apapun, dia sudah bersedia untuk turun berlumba walaupun terpaksa menahan kesakitan.

“Saya sudah 70 peratus sedia untuk turun berlumba dan cuba mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan esok (hari ini),” katanya.

0 comments:

Post a Comment