Hafizh Syahrin Abdullah (kiri) melayani peminatnya selepas menamatkan sesi latihan Grand Prix Malaysia di Sepang. |
Kata Hafizh, jenteranya kini berfungsi dengan baik selepas melakukan pelarasan pada enjin, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk merealisasikan sasaran tersebut.
Hafizh yang mewakili pasukan Petronas Raceline Malaysia pada Kejuaraan Dunia itu turut memberitahu, sasaran 10 terbaik tersebut lebih realistik berikutan perlu bersaing dengan ramai jaguh Moto2.
"Hari ini (semalam) saya puas hati dengan prestasi jentera terutama pada sesi latihan bebas kedua malah dapat merasai banyak perubahan besar pada jentera selepas melakukan pelarasan pada enjin.
"Jika saya dapat meraih kedudukan 10 terbaik ia sudah dianggap satu pencapaian baik kerana beza masa antara setiap pelumba tidak terlalu jauh," kata Hafizh.
Pada sesi latihan kedua, semalam Hafizh melakukan catatan masa 2 minit 9 saat untuk berada di tempat ke-14 terpantas dan ketinggalan 1.679s di belakang pelumba terpantas pada hari pertama GP Malaysia, Esteve Rabat daripada pasukan Tuenti HP 40.
Dua lagi pelumba negara yang beraksi pada Moto2 kali ini iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi tidak berupaya mengikut jejak Hafizh yang menamatkan sesi latihan bebas dengan catatan masa sekitar 2:09s.
Azlan yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia tidak mampu memperbaiki catatan masa 2:10.469s selepas mengalami kemalangan pada sesi ujian bebas kedua, manakala Zaqhwan yang beraksi untuk Technomag Carxpert hanya mampu berada di kedudukan ke-27 terpantas pada sesi ujian bebas kedua dengan catatan masa 2:10.831s.
Sementara itu, dua pelumba wildcard Moto3 daripada pasukan Touchline-SIC-Ajo mengakui masih memerlukan pelarasan maksimum pada jentera untuk membolehkan mereka berlumba dengan baik pada Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
Pada aksi pertama, semalam, dua pelumba tersebut iaitu Amirul Hafiq Mohd. Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik mempamer tunggangan memberangsangkan apabila menamatkan sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa sekitar 2:17s.
Namun, prestasi kedua-dua mereka yang baru pertama kali beraksi di Kejuaraan Dunia itu menurun di sesi latihan kedua di sebelah petang yang sedikit basah selepas hujan dengan masing-masing berada di tangga ke-29 dan ke-32.
Amirul Hafiq, 16 tahun, berkata, sesi latihan bebas ketiga yang berlangsung hari ini perlu dimanfaatkan dengan baik selain berharap jenteranya dapat berfungsi dengan lebih bagus.
"Pelarasan motosikal tidak berada baik lagi kerana apabila brek tidak stabil (sesi latihan bebas 1) namun pada baki-baki terakhir kami menukar pelarasan dan motosikal berada dalam keadaan lebih bagus.
"Namun di sesi latihan bebas 2, keadaan litar basah jadi ia agak sukar buat saya tetapi untuk sesi esok (hari ini) saya yakin mampu meningkat lebih baik," kata Amirul Hafiq.
Husni Aizat pula berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki terutama corak tunggangan di selekoh laju seperti di selekoh 5 dan 12.
"Catatan masa pada sesi latihan bebas pertama (2:17.865s) mencapai sasaran saya dan sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik esok (sesi latihan bebas ketiga)," jelas Husni Aizat.
0 comments:
Post a Comment