Fernando Torres meraikan jaringannya ketika Chelsea menentang Aston Villa di Stamford
Bridge, semalam. - AFP |
LONDON - Rafael Benitez mengorak langkah penting dalam usaha untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Chelsea membelasah Aston Villa 8-0 semalam dan naik ke tangga ketiga liga.
Fernando Torres memulakan pesta gol dengan menjaringkan gol ketujuh daripada enam penampilan.
Frank Lampard yang beraksi buat kali ke-500 dalam EPL, tidak ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring.
Ramires menjaringkan dua gol, manakala satu gol masing-masing oleh David Luiz, Branislav Ivanovic, Eden Hazard dan Oscar.
Kemenangan itu amat menggembirakan Benitez terutama apabila Torres meneruskan sentuhan jaringannya.
Bagi Aston Villa kekalahan semalam iaitu yang terbesar pernah mereka alami, merupakan satu tamparan setelah menunjukkan peningkatkan sejak beberapa minggu lalu.
Walaupun menang besar, Benitez berkata masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukannya.
Ketika Chelsea menjaringkan 13 gol dalam dua perlawanan setelah pulang dengan tangan kosong dari kejohanan Piala Dunia Kelab di Jepun dua minggu lalu, Benitez menuntut lebih daripada para pemainnya.
"Saya melihat peningkatan dalam pasukan ini
"Namun kami boleh terus meningkatkan lagi prestasi. Saya berkata demikian selepas kami menang dengan lapan gol.
"Para pemain benar-benar fokus sejak saya tiba di sini. Para pemain sedar mereka mempunyai pengurus baru dan mereka perlu menunjukkan kecemerlangan," kata Benitez.
Menjadi penyandang juara pertama yang tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, diikuti kegagalan menjulang trofi Piala Dunia Kelab, tekanan semakin dirasai Benitez.
Chelsea masih lagi di belakang pendahulu Manchester United, ketinggalan 11 mata dan tujuh mata di belakang Manchester City.
"Menang dengan jaringan sebegini memang istimewa dan mentaliti pemain juga amat bagus," kata Benitez. - Agensi
0 comments:
Post a Comment