KIM SWEE (kiri) lebih mengutamakan misi untuk memburu pingat emas acara bola sepak
pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
|
TAHUN lalu, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menerima hadiah hari jadi paling bermakna apabila skuad kendaliannya berjaya mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia.
Setahun dari sekarang, tidak mustahil skrip yang lebih kurang sama juga bakal dialami Kim Swee menjelang Sukan SEA di Myanmar.
Apa yang pasti, tarikh 11 Disember 2013 pastinya menjadi hari yang cukup istimewa buat beliau jika anak-anak buahnya berjaya melakar hatrik pada temasya dwitahunan itu.
Sedar ia sesuatu yang cukup indah, Kim Swee, 42, sebaliknya enggan memikirkan sentimen peribadi dan kekal fokus untuk memburu emas bola sepak yang ketujuh buat Malaysia sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959 (dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP).
“Jika melihat jadual asal acara bola sepak bagi temasya 2013, memang sekitar waktu itu (11 Disember) perjuangan Harimau Muda bermula bagi mempertahankan emas.
“Sudah tentu ia hadiah hari jadi yang cukup istimewa buat saya jika kami sekali lagi mengulangi kejayaan seperti mana tahun lalu.
“Cuma bagi saya, ia lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia jika kami berjaya mempertahankan pingat emas dan bukan semata-mata kerana saya seorang.
“Jadi, ada baiknya saya kekal fokus memburu emas untuk Malaysia, bukan untuk diri saya sendiri,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini berjaya menggenggam ‘ibu’ segala emas itu pada temasya 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011.
Skuad Thailand pula masih merupakan pemenang emas terbanyak dalam acara bola sepak temasya terunggul di rantau Asia Tenggara itu apabila muncul juara sebanyak 13 kali, selain turut memegang rekod muncul juara lapan kali berturut-turut dari edisi 1993 hingga 2007.
Mengulas lanjut, Kim Swee sekali lagi menegaskan, kemampuan sebenar anak-anak buahnya melakar sejarah hatrik bakal diketahui kira-kira tiga bulan sebelum temasya bermula.
“Tidak ada lagi eksperimen pemain ketika tiga bulan terakhir, sebaliknya ketika itu saya yakin sudah mengenal pasti sistem atau kelemahan pasukan sebelum memulakan misi di Myanmar.
“Reputasi selaku juara bertahan juga bukan jaminan kerana skuad kali ini bukan lagi skuad yang sama seperti mana tahun lalu.
“Jadi, saya harap kesinambungan kejayaan mempertahankan emas Sukan SEA mampu direalisasikan dengan syarat pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan,” tegas Kim Swee.
0 comments:
Post a Comment