KEINDAHAN bunga-bunga semulajadi pasti menenangkan jiwa setiap tetamu resort. |
USAH cerita mengenai lokasi-lokasi menarik sekitar Hulu Langat, Selangor kerana anda pasti akan disambut dengan keindahan air terjun, sungai, kolam air panas dan pastinya hutan yang masih belum terusik dek pembangunan.
Selain itu, daerah ini terkenal dengan hotel, resort, pusat motivasi serta tapak perkemahan yang bertambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, sekiranya anda ingin mencari kelainan, Photon Valley Eco Resort yang terletak di Kampung Kuala Perdik perlu menjadi pengisi diari anda terutamanya semasa cuti persekolahan.
Walaupun baru dibuka pada Oktober lalu, Photon Valley tetap sarat dengan tarikan untuk para pengunjung menghilangkan tekanan bersama keluarga atau pun rakan-rakan.
Usai meneroka keindahan alam semula jadi di resort ini, kru Jurnal dibawa melihat sendiri pelbagai kemudahan seperti penginapan eksekutif, asrama, kawasan perkhemahan, kafeteria, dewan berhawa dingin, kolam renang serta jambatan gantung.
Masih tidak mencukupi, tarikan jambatan gantung, rakit buluh, aktiviti menjelajah, memasang api di hutan memasak makanan dan minuman menggunakan buluh pasti mencabar sudut kreatif anda.
Uniknya, tetamu masih boleh tidur bertemankan bunyi cengkerik, unggas dan deburan air sungai pada waktu malam.
Faktor lokasinya yang hanya terletak 10 kilometer dari Kuala Lumpur itu pasti akan membuai diri tetamu untuk menikmati keindahan bumi hijau di alam rimba.
AKTIVITI berakit turut disediakan. |
Hampir tiada perkataan yang mampu dilafazkan, hati pasti terasa damai.
Bukan sahaja sesuai sebagai lokasi untuk merehatkan minda tatkala mata dijamu kehijauan flora, malah kanak-kanak turut merasai keseronokan bermain air dan berkejaran di kawasan lapang. Mungkin bermain masak-masak sesama sendiri atau bermain perang-perang.
Pengurus
Menurut Pengurus Photon Valley Resort, Hizam Sujairi Muhammad, 34, resort itu lebih menumpukan untuk program berbentuk motivasi.
Tetapi, tidak sesekali meminggirkan tetamu yang datang untuk berbulan madu atau bercuti bersama keluarga.
“Mereka boleh mencuba sendiri memasak nasi, lauk dan air minuman menggunakan buluh.
“Kaedah sebegini satu pembelajaran berguna terutamanya bagi orang bandar semasa berada di dalam hutan,” katanya.
Tutur Hizam, sebenarnya, terdapat kepelbagaian flora dan fauna di dalam hutan yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia.
Selain itu, aktiviti menjelajah hutan pasti menguji adrenalin setiap tetamu resort.
Cerita Hizam, mereka juga menyediakan perkhidmatan berakit menggunakan rakit buluh di kolam buatan di resort seluas 1.4 hektar itu.
Ujarnya, aktiviti itu lebih mencabar kerana menguji pemandunya mengawal rakit itu daripada tenggelam.
Selain itu, Photon Valley tidak menyediakan set televisyen dalam bilik.
“Ini bagi memastikan pengunjung dan peserta motivasi benar-benar bersantai dan menjalankan aktiviti yang diuruskan.
“Namun, pengunjung boleh meminta kepada pihak pengurusan sekiranya ingin menonton televisyen,” tambah Hizam.
KOLAM air buatan bercirikan alam semulajadi. |
Sisi berbeza lain ialah jambatan gantung dan membina khemah di dalam hutan yang pasti meninggalkan pengalaman manis kepada sesiapa sahaja yang menikmatinya.
Pelbagai spesies tumbuhan beriklim tropika dan pokok buah-buahan juga sedia untuk dinikmati semasa musim buah-buahan.
“Pada musim buah-buahan, suasana resort ini akan bertambah meriah. Pengunjung boleh menikmati buah-buahan seperti durian, rambutan, pulasan, langsat, rambai, nangka, manggis, duku dan semua itu percuma.
“Mereka boleh mengait sendiri (dari pokok) ataupun menunggu buah-buahan dihantar di depan bilik,” katanya.
Kayu terpakai
Bukan buah-buahan dan lokasi sahaja yang unik tetapi resort turut mempunyai seni tersendiri.
“Kami turut menggunakan kayu rumah kampung terpakai terutama untuk dewan seminar serta bilik asrama.
“Kami membelinya dengan harga yang murah di kampung sekitar Kelantan untuk membuatkan pelanggan terasa seperti di kampung halaman,” kata Hizam.
Cerita Hizam, terdapat bilik-bilik yang diperbuat menggunakan buluh.
“Sebenarnya dengan menggunakan buluh, suhu bilik agak panas pada waktu siang tetapi sejuk pada waktu malam sehingga tidak memerlukan penggunaan kipas atau pendingin hawa.
“Malah, strukturnya lebih kuat dan kukuh berbanding penggunaan simen,” katanya.
Kolam renang yang terdapat di Photon Valley dihasilkan sendiri.
“Menariknya, ia menggunakan air bukit semulajadi yang telah disaring bagi memastikan pengunjung merasai sendiri keindahan bak kolam semulajadi.
“Penggunaan air di bilik turut menggunakan sumber semula jadi,” jelasnya.
BILIK Photon Valley Resort yang tidak mempunyai televisyen. |
Setiap pakej berkumpulan yang disediakan berharga antara RM85 hingga RM100 termasuk makanan.
“Itu termasuk harga bilik dan makanan pagi, tengah hari, petang dan malam. Untuk masa hadapan kami bercadang membesarkan aliran anak sungai yang mengalir di sini,
“Menggunakan batu-batu sederhana besar anak-anak kecil bermain air sungai dengan santai sehingga keletihan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment