PELUMBA kelas Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin belum mahu menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014 bersama pasukan baharu Ongetta Air Asia.
Beliau tidak lagi memacu jentera KTM sebaliknya akan menunggang jentera Honda.
“Sejujurnya saya belum menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014. Saya belum menguji sepenuhnya jentera yang akan digunakan itu. Pada November lepas, saya ada melakukan ujian jentera di Litar Almeria (Sepanyol) tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan kerana keadaan cuaca yang kurang elok,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran motosikal KTM 1290 Super Duke di Litar Sepang, semalam.
Menurut Muhammad Zulfahmi, beliau akan menguji jentera berkenaan sekali lagi pada sesi ujian rasmi pada 13 Februari depan.
“Saya yakin dengan ketua krew dan jurutera-jurutera yang ada dalam pasukan ini. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk berlumba dengan baik dalam musim akan datang,” katanya.
Mengenai kecederaan yang dialaminya pada musim 2013, Muhammad Zulfahmi berkata beliau kini sudah 90 peratus pulih.
“Saya masih lagi menjalani latihan fisiologi dan menerima rawatan di ISN (Institut Sukan Negara). Saya banyak membuat latihan bagi menguatkan tangan saya,” katanya.
Muhammad Zulfahmi ketika bersama pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas mengumpul 68 mata untuk musim ini berbanding di tempat ketujuh dengan 128 mata pada 2012.
0 comments:
Post a Comment