Zulfahmi bawa khabar gembira

Pelumba Moto 3, Zulfahmi Khairuddin bercakap ketika sidang media di SIC sempena
Grand PrixMoto GP Malaysia 2013.
BERITA gembira buat peminat sukan permotoran tempatan apabila jaguh motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengalami kecederaan dalam perlumbaan di Alcaniz, Sepanyol bakal beraksi pada Grand Prix Malaysia hujung minggu ini.

Zulfahmi berkata, rawatan pemulihan kesan dari kecederaan dialami menunjukkan peningkatan positif yang memberikannya peluang untuk beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Rawatan pemulihan kesan kecederaan menunjukkan kesan positif dan pakar perubatan sendiri mengesahkan saya boleh beraksi hujung minggu ini.

“Hari ini saya akan menjalani latihan ringan menunggang motosikal sambil diselia doktor perubatan sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media di SIC Sepang, semalam.

Jelasnya, sokongan peminat tempatan memenuhi SIC Sepang semasa perlumbaan diadakan hujung minggu ini amatlah diharapkan bagi menaikkan semangat pelumba tempatan.

“Sudah tentu kehadiran penonton akan menaikkan semangat pelumba tempatan, kami akan  melakukan yang terbaik demi negara dan peminat,” katanya yang menduduki tempat kedua pada perlumbaan musim lalu.

Selain Zulfahmi (Red Bull KTM Ajo) yang akan beraksi dalam Moto3 bersama Husni Aizat Abdul Malik (Touchline SIC Ajo) dan Amirul Hafiq Mohd. Azmi (Touchline SIC Ajo).

Peminat tempatan juga bakal melihat Azlan Shah Kamarulzaman (Musashi Boon Siew Honda), Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline Malaysia)  dan Mohd. Zaqhwan akan bersaing Moto 2.


0 comments:

Post a Comment