Ceroboh Sabah: Laporan positif media perkasa ATM

Sabah diceroboh
MELAKA - Laporan positif media mengenai kejayaan pasukan keselamatan mematahkan konflik penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Sabah telah memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di persada dunia.
 
Panglima Angkatan Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor berkata ATM menjadi terkenal dan dihormati di luar negara disebabkan laporan media yang positif terhadap perjuangan pasukan keselamatan dalam menewaskan penceroboh secara efektif.
 
Beliau berkata hasil laporan positif media itu telah meyakinkan negara luar untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia dalam bidang ketenteraan.
 
"Imej ini bukan untuk dalam negara sahaja malahan untuk luar negara juga, kerana melalui media, hubungan ATM dan negara luar bertambah erat.
   
"Ia juga merupakan satu nilai tambah kepada ATM dalam mewujudkan kolaborasi dengan negara luar," katanya kepada pemberita selepas program Hari Media bersama Kementerian Pertahanan di Pusat Latihan Peperangan Khusus di Kem Sungai Udang di sini, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu itu, media bertungkus-lumus membuat liputan yang mutakhir dan tepat di sana.
 
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan saya yakin ia berjaya dibuat oleh pengamal media," katanya.
 
Pencerobohan itu bermula pada 11 Feb lepas apabila 150 pengganas Sulu dari selatan Filipina dikesan memasuki dan berkubu di Kampung Tanduo, 120 kilometer dari Lahad Datu.
 
Pada 5 Mac lepas, pasukan keselamatan terdiri daripada ATM dan Polis Diraja Malaysia melancarkan Operasi Daulat membanteras penceroboh berkenaan melalui strategi Lautan Biru setelah rundingan tiga minggu gagal.
 
Kejayaan gerakan ofensif itu menyaksikan  68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain.
 
Namun, lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban dalam insiden itu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment