Kuala Lumpur: Pengurus pasukan Red Bull KTM Ajo, Aki Ajo percaya nasib masih belum menyebelahi Zulfahmi Khairuddin untuk berada di podium selepas Pusingan 5 Kejuaraan Dunia di GP Itali hanya menyaksikan anak didiknya itu berada di tangga ke-11 keseluruhan.
Baginya, pelumba dari Banting, Selangor itu sudah menunjukkan peningkatan sejak awal musim perlumbaan, cuma mungkin tuah masih belum memihak kepada Zulfahmi sejak menyertai Moto3.
“Mungkin keputusan masih belum memihak kepada dirinya,” kata Aki semalam. “Tetapi dia dan pasukan sangat gembira kerana kami melihat ada peningkatan dan kami sebenarnya berada di landasan yang betul.
Boleh lakukan lebih baik
“Kami tahu dan percaya bahawa pasukan semakin hampir dengan apa yang diingini. Kami perlu meningkatkan lagi latihan, kerana jurang perlumbaan ketika ini sangat bagus,” katanya yang turut gembira apabila seorang lagi pelumbanya, Luis Salom menjuarai GP Itali, kelmarin.
Salom meraih kemenangan keduanya musim ini selepas di GP Qatar untuk meraih 102 mata - 4 mata di belakang pendahulu, Maverick Vinales (pasukan Team Calvo). Zulfahmi kini di tangga ke-8 keseluruhan berkongsi 33 mata dengan pelumba Mahindra Racing, Miguel Oliveira.
Sementara itu, Zulfahmi berkata: “Sekarang ini, kami perlu fokus kepada hasil kerja ketika sesi latihan terutama sesi kelayakan. Pada sesi latihan pertama, kami sentiasa bermula dengan baik tetapi apabila masuk hari kedua, kami gagal mendapat posisi yang bagus.
“Jika berjaya memulakan perlumbaan di posisi hadapan dan terus kekal bersama kelompok pendahulu, saya boleh melakukan yang lebih baik lagi,” kata Zulfahmi yang mempunyai rekod dua penamat di podium tahun lalu - di GP Malaysia dan GP Valencia.
0 comments:
Post a Comment