Hati wanita memang secara zahirnya dilahirkan dengan kelembutan dan ketenangan, sehingga mudah cair andai diucap kata-kata manis dan pujuk rayu daripada insan yang mereka sayang.
Namun jangan disebabkan terlalu sayang, sehingga diri terjerat oleh teman lelaki sehingga sanggup menghabiskan duit demi si jejaka hati. Cuba buka mata dan akal sebelum bertindak bodoh. Wanita harus ingat, jangan jadikan alasan bercinta sehingga membuatkan teman lelaki melampau dan pijak kepala.
Kalau dua atau tiga kali bolehlah dianggap membantu, tetapi kalau sudah hampir setiap minggu menagih wang, wanita harus lebih berwaspada!
Jangan digelar pula tidak mempunyai akal untuk bertindak, kalau kena tipu janganlah pula menangis berlutut depan orang tua. Wanita harus lebih tegas dalam menangani isu ini. Lelaki dalam kategori pisau cukur ini akan memberikan seribu satu alasan untuk menjadikan teman wanita sebagai sumber untuk dapatkan wang.
Pisau cukur biasanya akan menjadikan perempuan kaya sebagai mangsa untuk menagih simpati dengan menjual wajah tampan mereka. Kemudian menggunakan kata-kata manis untuk memerangkap supaya mangsa simpati. Hakikatnya hanya penipuan dan lakonan semata-mata.
Apabila sudah menghabiskan wang perempuan pertama, mereka akan mula mencari mangsa yang seterusnya dengan pujukan rayu yang sama. Modus operandi yang sama iaitu duit.
Selama ini ramai berpandangan isu ini lebih kepada kaum wanita yang dianggap suka mengikis harta teman lelaki. Namun janganlah terlalu berfikiran skeptikal kerana lelaki juga ada sikap buruk itu. Malas untuk bekerja juga menjadi punca lelaki meminta wang daripada kekasih.
Lelaki perlu ingat tugas sebagai suami adalah memberikan nafkah zahir dan batin untuk keluarga, mereka perlulah menunjukkan sikap dan komitmen itu sebelum berkahwin.
Biasanya mereka memberikan alasan meminjam wang kerana ingin memulakan perniagaan bagi menjamin masa depan bersama, namun hakikat sebenar pinjam duit sebab ingin keluar bersama perempuan lain.
Apabila hutang bertimbun, membuatkan mereka terdesak untuk meminjam wang. Pinjaman bank atau badan kewangan yang lain, mengambil tempoh yang lama untuk proses tetapi pinjam dengan kekasih, boleh dapat dengan segera.
Gaji atau pendapatan bulanan yang tidak seberapa juga, menjadi punca lelaki kategori ini meminjam daripada teman wanita. Kalau setakat RM100 atau RM200 mungkin wanita boleh tolong, tetapi hampir setiap minggu nak pinjam, memang parah!
Mereka harus fikir wanita juga ada kehendak lain yang perlu dituruti, bukannya menghabiskan wang simpanan itu untuk menyara kehidupan mereka.
Ada juga yang buat onar semasa bekerja dan akhirnya dibuang, lalu buat muka ala-ala minta simpati kepada teman wanita untuk meminjam wang. Bantuan yang kecil pada mulanya, menjadi kerap atas alasan sayang.
Kehidupan yang miskin juga menjadi antara sebab mereka menjadi pisau cukur.
Tidak kurang yang berdendam kepada bekas teman wanita, membuatkan lelaki menipu kaum wanita untuk mendapatkan harta. Habis madu, sepah akan dibuang.
Terikut dengan kawan-kawan yang tergolong dalam kategori ini juga antara punca mereka menjadi pisau cukur. Namun harus ingat, selamat di dunia belum tentu selamat di akhirat.
Lelaki dalam kategori ini juga akan memberikan kata-kata manis, misalnya perempuan yang dikenali itu adalah segala-galanya, namun
6 cara untuk elak menjadi mangsa kekasih pisau cukur
1. Buat muka kering
Walaupun dipujuk rayu dengan kata-kata manis, jangan termakan janji manisnya. Perempuan juga jangan cepat tersentuh hati dengan wajah yang mereka tampilkan kerana lelaki dalam kategori ini mudah dan pandai dalam memujuk rayu.
2. Kenakan syarat ketika keluar
Berikan beberapa syarat kepada teman lelaki untuk keluar dan jangan sesekali memberi muka kepada mereka dengan mengeluarkan wang sendiri. Jika dia yang mengajak keluar biarkan teman lelaki yang mengeluarkan duit untuk berbelanja.
3. Jauhkan diri
Apabila terasa diri ditipu, cubalah belajar berjauhan daripadanya, mungkin ketika itu dia akan berasa perubahan pada diri anda. Lelaki dalam kategori ini juga tidak ikhlas dalam percintaan.
4. Beranikan diri katakan TIDAK
Jika teman lelaki ingin meminjam wang dengan kerap kali, berikan alasan yang munasabah supaya diri tidak terjerat dengan lakonan palsu mereka dan berani suarakan pendapat dan katakan TIDAK andai teman lelaki tidak putus-putus mengganggu urusan seharian kerana ingin meminjam wang.
5. Pura-pura tiada duit
Wanita juga harus bijak dalam berpura-pura, terutama kepada orang lelaki yang suka meminjam duit ini. Jika diri sering kali dipergunakan untuk diminta wang, cubalah berpura-pura tidak mempunyai wang atau berikan seberapa banyak alasan seperti akaun bank ada masalah atau belum terima gaji. Mudah bukan?
6. Putuskan hubungan
Nasihat juga tidak diterima dan tabiat itu masih berleluasa seperti malas bekerja hanya tahu meminta, putuskan saja hubungan dengan mereka, jangan buat diri sendiri terjerat dengan masalah teman lelaki sehingga diri terjebak dengan konflik itu. Mungkin ada yang lebih baik menanti anda di luar sana.
0 comments:
Post a Comment