Zulfahmi Khairuddin |
KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin (gambar) semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama Red Bull KTM Ajo selewat-lewatnya pada hujung Disember ini.
Anak muda kelahiran Banting, Selangor itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata, dia masih belum menandatangani sebarang perjanjian dengan pasukan juara dunia itu dan bakal berbuat demikian dalam masa terdekat ini.
"Saya hanya boleh katakan status saya untuk menyertai Red Bull KTM Ajo sudah mencapai 80 peratus dan kontrak akan ditandatangani dalam tahun ini juga," katanya.
Zulfahmi bakal bergandingan dengan naib juara musim 2012, Luis Salom dari Sepanyol dan pelumba Australia, Arthur Sissis.
Menurut Zulfahmi, ketiadaan Sandro Cortese dan Danny Kent yang akan berlumba pada kejuaraan dunia Moto2 musim depan, membuka laluan kepada dirinya untuk menyertai Red Bull KTM Ajo.
Mengulas mengenai Salom yang menamatkan saingan 2012 di kedudukan kedua di belakang Cortese, Zulfahmi memberitahu, dia tidak begitu mengenali Salom dan sukar untuk menilai hubungannya dengan rakan sepasukan barunya itu nanti.
"Kita lihat sahaja apabila musim baru bermula pada April tahun depan di Qatar. Secara peribadi saya memang tidak begitu mengenali Salom dan harap semua berjalan dengan baik," ujarnya.
Ketika ditanya hubungannya dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang telah memperkenalkannya ke dalam kejuaraan dunia, pelumba berusia 21 tahun itu berkata, kariernya akan tetap diuruskan oleh SIC, sekalipun dia bakal menyertai pasukan baru.
"Saya masih bersama SIC dan urusan karier saya akan tetap diletakkan di bawah pengurusan SIC sekali pun saya bersama Red Bull KTM Ajo," tegasnya.
Zulfahmi turut mengharapkan musim 2013 akan memberi harapan yang lebih cerah untuknya dan sekali gus mencatat keputusan yang lebih baik berbanding musim ini.
"Saya harap KTM dapat menyediakan jentera 2013 yang lebih laju dan mantap, lebih bagus daripada tahun ini," tambahnya.
Kalendar kejuaraan motosikal dunia 2013 telah pun diumumkan, Jumaat lalu dengan Grand Prix Qatar bakal menjadi perlumbaan pembuka tirai pada 7 April tahun depan.
Grand Prix Malaysia pula akan dilangsungkan pada 13 Oktober iaitu perlumbaan ke-15 daripada 18 pusingan keseluruhan pada kalendar 2013.
0 comments:
Post a Comment