Berlatih hingga ketagih



Siapa sangka kanak-kanak yang dulunya menjual surat khabar di tepi jalan dengan bayaran RM5 setiap dua jam seawal usia 13 tahun dan pernah bekerja sambilan di kedai cat kereta dan makanan segera sehingga berusia 17 tahun, kini muncul sebagai pelumba yang bukan saja dikenali di Malaysia malah di Eropah.

Malah kerana minat yang begitu mendalam dalam sukan permotoran menyebabkan pemilik nama sebenar Muhammad Zulfahmi Khairuddin, 22, mencuba nasib dalam pemilihan Cub Prix ketika berusia 13 tahun menerusi pasukan Aprillia Junior GP. Seterusnya semasa berumur 17 tahun dia mendapat tawaran daripada Modenas untuk berlumba di Cub prix dan sudah semestinya ia peluang yang sangat baik bagi meneruskan cita-cita sebagai pelumba motosikal terkenal dunia.

Langkahnya tidak terhenti di situ, apabila dia mula mencuba menerusi program Wildcard MotoGP Malaysia yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2009 dan terus mengikuti secara sepenuh masa pada 2010 hingga sekarang.

Paling mengagumkan anak sulung daripada empat beradik ini muncul di antara pelumba Moto3 yang mendominasi saingan, kejayaan yang diperoleh remaja ini bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo bukanlah satu perkara mudah untuk dikecapinya. Apatah lagi pada usia yang masih muda dia terpaksa meninggalkan Malaysia dan menetap di luar negara tanpa ditemani keluarga.

Menurut Zulfahmi terpaksa mendalami ilmu sukan pemotoran selama tiga bulan di Itali, itulah kali pertama dia berpisah dengan keluarga dalam tempoh yang lama.

"Saya dihantar ke Itali bersendirian dan terpaksa melaluinya dalam tempoh tiga bulan. Di sana tiada orang yang berbahasa Inggeris. Kawan-kawan saya pula di kalangan orang Eropah. Memang saya rasa sangat susah. Lebih-lebih lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Namun apabila difikirkan itu semua tidak menjadi masalah kerana inilah harga yang perlu dibayar demi memastikan cita-cita saya tercapai," katanya yang hanya dibekalkan duit poket sebanyak RM812 sebulan atau 200 euro.

Menurut Zulfahmi tinggal berdekatan dengan tempat latihan dan bengkel menjadikan rutin harian banyak dihabiskan di litar. Boleh dikatakan setiap hari dia menjalani latihan sehingga ketagih.

"Setiap pagi paling minimum saya berlatih selama dua jam. Tengahari pula minimum tiga jam. Saya juga banyak menghabiskan masa di bengkel dengan mekanik dan jurulatih saya. Jika tiada latihan saya gemar mencipta barang-barang atau mengubahsuai motosikal. Jika tidak saya suka mengikuti aktiviti berbasikal atau lumba motosikal lasak (motorcross)," katanya.

Mendedahkan kisah hidupnya, Zulfahmi mengakui meminati sukan permotoran sejak berusia tujuh tahun ketika menonton perlumbaan motoGP menerusi televisyen. Sejak itulah dia sudah menanam azam menjadi pelumba motosikal suatu hari nanti. Baginya pelumba motor lebih versatil dan bergaya dengan pergerakan badan ketika berlumba berbeza dengan pelumba kereta yang hanya statik saja.

"Apabila menonton perlumbaan saya berasa sangat seronok terutama melihat idola saya Valentino Rossi - Pelumba MotoGP bersaing di litar. Saya berangan-angan menjadi seperti dirinya suatu hari nanti," katanya.

Melihat tubuhnya yang kecil tidak sepadan semangatnya yang kental membara walaupun pernah mengalami kemalangan ketika perlumbaan di sebahagian litar dunia tetapi ia tidak mematahkan semangat Zulfahmi untuk terus berlumba. Malah kecederaan yang tidak serius membuatkan dia masih mampu meneruskan perlumbaan seterusnya.

"Memang saya pernah jatuh, tetapi kemalangan di litar adalah sesuatu yang normal. Sebenarnya kalau diikutkan, sekiranya seseorang pelumba itu mengalami kemalangan dia sepatutnya perlu terus keluar dari litar. Tetapi pada ketika itu, disebabkan pelumba itu tidak keluar dari trek ini menyebabkan dia dilanggar pelumba lain," katanya.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dan ditawarkan melanjutkan pelajaran di Politeknik Shah Alam namun Zulfahmi terpaksa memilih antara dua sama ada Itali atau menyambung pelajaran di Malaysia. Dia memilih Itali kerana baginya peluang datang hanya sekali dan dia tidak mahu melepaskannya.

Namun minat menyambung pelajaran dalam bidang automatif dan reka cipta sentiasa ada. Tambah pula apabila melihat rakan-rakan mempunyai ijazah dalam bidang masing-masing.

"Saya bersyukur sekurang-kurangnya dengan memilih jalan hidup sebagai pelumba saya menjadi lebih matang dan mempunyai banyak pengalaman yang dapat digunakan dalam melayari kehidupan pada masa akan datang. Malah saya bayangkan piala-piala itu juga sebagai ijazah apabila melihatnya," katanya yang berasal dari Banting Selangor sambil tersenyum.

Ujar Zulfahmi, selain mengharumkan nama negara dia juga ingin membantu keluarga terutama ayah yang bekerja sebagai juruteknik. Bagi mencapai cita-cita ini dia perlu sentiasa memberikan yang terbaik dan fokus dalam latihan mahupun perlumbaan. Untuk menjadi pelumba berjaya seseorang itu harus bijak menghadapi cabaran selain mengekalkan tahap disiplin di peringkat paling tinggi.

"Tipu sekiranya saya katakan tidak tertekan namun sebagai pelumba saya harus bijak mengawalnya dan 'enjoy' dengan tekanan yang saya hadapi. Ini kerana jika asyik memikirkannya saya tidak dapat memberikan tumpuan. Sokongan dan harapan semua pihak dapat meningkatkan lagi semangat saya untuk mencapai kejayaan," jelasnya memberitahu dia menggemari litar Sepang yang menyimpan banyak kenangan manis dan Valencia kerana mencipta kejayaan di sana.

Sebagai pelumba Zulfahmi mengakui dia perlu menjaga kesihatan terutama memastikan mengambil makanan berkhasiat dan banyak minum air kosong. Di Barcelona memang mudah mendapatkan makanan sihat kerana pelumba lain juga turut mengikut jadual makanan ditetapkan.

Apa yang penting adalah pengambilan sarapan dengan tiga biji telur separuh masak, tengah hari nasi dan malam dengan daging atau ayam saja. Pada hujung minggu saja dia hanya dibenarkan mengambil apa saja makanan.

"Mujur saya bukanlah jenis kuat makan dan agak memilih makanan. Saya tidak ambil hidangan berminyak dan bergoreng seperti nasi lemak dan roti canai. Ini kerana jika saya makan ketika berlumba akan terasa kesannya," katanya yang nampak saja pendiam tetapi sebenarnya seorang yang kelakar dan periang.

Pada masa hadapan Zulfahmi berharap dia dapat memperbaiki kedudukan dan ingin mengikuti Class Moto2 dan MotoGP dalam masa tertentu. Paling penting dia ingin memiliki pasukan sendiri agar dapat mengukuhkan nama dalam bidang permotoran sama ada di Malaysia mahupun luar negara.


Trivia

  • Zulfahmi menduduki ranking ketujuh dunia serta dua kali mencatat keputusan podium pada musim 2012.
  • Pelumba tunggal Moto3 Malaysia dan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records berikutan kejayaan sulungnya memenangi tempat kedua Kejohanan Dunia MotoGP, Sepang tahun lalu.
  • Mencatat sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia dan Asia yang memulakan perlumbaan di petak pertama dalam kategori Moto3, serta pelumba Malaysia pertama yang menaiki pentas podium dalam mana-mana perlumbaan kelas Grand Prix.
  • Dikurniakan anugerah 'Out-Do Yourself' SAM-100PLUS atas prestasi cemerlang dalam kategori Moto3 dan turut dinamakan sebagai pemenang anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 dalam kategori itu.


Profil:

Nama penuh: Muhammad Zulfahmi Khairuddin
Asal: Banting, Selangor
Tarikh Lahir: 20 Oktober 1991
Adik-beradik: 4 orang
Tinggi: 168 cm
Berat: 57 kg
Pendidikan: SPM
Hobi: Berbasikal, bermain ping pong dan menunggang motosikal
Makanan kegemaran: Sate dan Pizza
Negara yang ingin dikunjungi: USA (New York) dan Indonesia
Muzik pilihan: Pop rock
Pencapaian tertinggi: Menaiki Podium di Malaysia dan di Valencia, Sepanyol

0 comments:

Post a Comment