Zulfahmi tidak alami kecederaan serius



Zulfahmi Khairuddin berkata beliau tidak mengalami kecederaan serius ekoran terlibat dalam insiden kemalangan ketika beraksi di Litar Le Mans.

Pelumba berusia 21 tahun itu berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN), kecederaan yang dialaminya termasuk kecederaan lama pada pergelangan tangan kirinya tidak serius dan tidak perlu dilakukan pembedahan.

"Saya telah membuat x-ray di ISN semalam. Alhamdulillah tiada apa-apa. Saya yakin pada perlumbaan akan datang, semua okay," katanya selepas membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di sini Rabu.

Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan baharunya, Red Bull KTM Ajo Racing Team musim ini, mengakui masih tidak serasi dengan jentera baharunya itu, namun yakin anggota pasukannya sedang bekerja keras bagi memastikan beliau dapat mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan akan datang.

"Pada setiap sesi latihan saya berada pada kedudukan ke-11 dan 12, namun pada hari perlumbaan saya mendapat 'extra motivation' untuk menduduki petak (kedudukan) yang lebih baik.

"Saya harap pada perlumbaan akan datang, saya akan mendapat 'better position grid' semasa sesi latihan dan kelayakan serta mencatat kedudukan terbaik pada hari perlumbaan," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Khairy, Zulfahmi berkata beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Circuit International (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali telah membincangkan mengenai pelan pembangunan sukan pemotoran negara.

"Saya yakin dengan program KBS dalam pembangunan sukan pemotoran negara pada masa akan datang. Program pembangunan dua tahun lepas sangat membantu pelumba-pelumba negara," kata Zulfahmi yang juga Ikon Belia Negara.- Bernama

0 comments:

Post a Comment