Kuala Lumpur: Walaupun gagal menaiki podium selepas enam perlumbaan musim ini, tetapi prestasi Zulfahmi Khairuddin masih mendapat sanjungan dan pujian daripada pengurusan pasukannya, Red Bull KTM Ajo.
Pengurus pasukan Red Bull KTM Ajo, Aki Ajo menyifatkan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu sudah mempamerkan peningkatan prestasi memberangsangkan sejak dua tahun lalu dan berada di landasan tepat untuk muncul pelumba yang disegani.
“Fahmi (Zulfahmi) menyertai pasukan ini sejak 2011 selepas musim sukar dalam kelas 125cc dan dia sememangnya sedang meningkat, berjaya menamatkan perlumbaan dalam 10 pelumba terbaik.
“Dalam tempoh berkenaan, dia juga menunjukkan peningkatan dramatik dengan meraih dua penamat di podium,” kata Ajo. “Tahun ini Moto3 menjadi satu kelas yang sangat sengit, tetapi ia perkara biasa untuk seorang pelumba meningkat dari tahun ke tahun tetapi bukan dengan terlalu mendadak.
Kekal tenang
“Saya percaya, catatan masa dilakukannya mungkin pantas atau lebih kurang saja, jadi dia perlu selesa dengan beberapa aspek mengenai jentera barunya itu. Bagi saya Fahmi sedang meningkat. Dia harus terus berusaha keras dan terus tenang saja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam perlumbaan di Grand Prix (GP) Catalunya minggu lalu, Zulfahmi menamatkan perlumbaan dengan berada di tangga kesembilan sekali gus melonjakkan dirinya ke tangga ke-7 keseluruhan dengan 40 mata.
Selain Zulfahmi, Red Bull KTM Ajo yang mula menyertai Kejuaraan Dunia pada 2001 memiliki dua lagi pelumba iaitu Arthur Sissis dari Australia dan pendahulu kempen Moto3 ketika ini, Luis Salom dari Sepanyol.
0 comments:
Post a Comment