Raja Muda Sulu mati ditembak

SATU mayat pengganas Sulu ditemui diletakkan atas karpet selepas dipercayai mati dalam pertempuran 
di Kampung Tanduo, Lahad Datu kelmarin.

LAHAD DATU - Saki-baki kumpulan pengganas Sultan Sulu diyakini berada dalam keadaan lemah ekoran Jeneral Raja Muda Azzumuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan di Sabah terbunuh bersama 31 anggotanya dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini.

Sehingga semalam, jumlah musuh yang terbunuh sejak pertempuran bermula pada 1 Mac lalu seramai 52 orang. Bagi pihak pasukan keselamatan pula seramai lapan pejuang negara gugur.

Bagaimanapun, dalam pertempuran terbaharu kelmarin dan semalam, tiada kematian atau kecederaan dialami pihak pasukan keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, 31 daripada pengganas termasuk seorang ketua puak musuh yang berpangkat Jeneral maut dalam pertempuran yang berlaku di Kampung Tanjung Batu petang kelmarin.

Seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati pasukan keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada pukul 11 pagi semalam.

"Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini (semalam) pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan status seorang Jeneral yang terbunuh ialah Azzumuddie yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III.

"Setakat ini kita belum dapat mengesahkan identiti Jeneral yang terbunuh berikutan keadaan yang berisiko dan membahayakan anggota keselamatan bagi mengeluarkan mayat-mayat pengganas yang terbunuh," kata beliau.

Polis: Mayat anggota di Semporna diperlaku dengan kejam


Enam anggota polis yang terbunuh di Kampung Simunul di Semporna pada 2 Mac lalu, ditemui dalam keadaan diperlakukan dengan kejam, kata polis dalam Facebook lewat malam tadi.

Menceritakan kronologi peristiwa krisis Sabah itu, polis juga mendedahkan mereka terpaksa menghantar pasukan
penyelamat ke kampung tersebut sehari kemudian untuk menyelamatkan anggota yang cedera dan mengambil mayat rakan mereka yang maut dalam serangan hendap sekumpulan penceroboh dari selatan Filipina.

Menurut posting Facebook tersebut, polis menghantar satu pasukan ke Kampung Simunul dan Kampung Sri Jaya untuk menyiasat laporan mengenai kehadiran penceroboh Filipina.

"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis itu telah diserang hendap oleh penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang lain cedera. Enam penceroboh bersenjata telah dibunuh oleh pihak polis.

"Pihak polis dihantar pasukan penyelamat untuk mengambil mayat wira-wira kita terkorban dan menyelamatkan anggota
yang terperangkap di Kampung Simunul, Semporna. Pasukan itu berjaya melaksanakan misi tersebut.

"Mayat anggota polis yang terkorban itu ditemui dalam keadaan diperlakukan dengan kejam oleh penceroboh bersenjata tersebut," tambahnya..

Polis menamakan enam anggota yang terkorban sebagai Supt Ibrahim Lebar, ASP Michael padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Abdul Aziz Sarikon, Koperal Salam Togiran dan Lans Korporal Mohd Azrul Tukiran.

Ketua Polis Negara , Tan Sri Ismail Omar sebelum ini enggan mengesahkan laporan bahawa ada mangsa dipenggal dan juga mata mereka dikorek keluar.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merujuk kepada insiden tersebut dalam satu sidang akhbar pada hari Selasa dan menyifatkan tindakan penceroboh itu 'sebagai tidak Islamik'.

Insiden mengerikan itu juga dibangkitkan pada mesyuarat tengah malam antara Setiausaha Luar, Albert del Rosario dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman pada hari Isnin di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina mengeluarkan
satu penjelasan semalam, bahawa del Rosario tidak melabelkan kumpulan Filipina itu sebagai "pengganas", tetapi mengakui kekejaman tersebut, jika benar, dianggap sebagai perbuatan "pengganas".

"Di Semporna, terdapat dakwaan tindakan keganasan. Seperti yang dilaporkan oleh menteri luar Malaysia, selepas pasukan polis terjebak dalam satu serangan hendap dan dibunuh, mayat mereka dipelakukan dengan kejam.

"Jika benar kekejaman ini dilakukan seperti yang dilaporkan kepadanya, kedua-dua setiausaha luar dan menteri luar itu bersetuju bahawa ini adalah tindakan keganasan," kata kenyataan itu.

Kronologi peristiwa yang dikeluarkan pihak polis

12 Februari 2013 - pencerobohan bersenjata berlaku di Lahad Datu di mana kira-kira 150 orang bersenjata berpakaian tentera menceroboh masuk ke Felda Sahabat, Lahad Datu.

Polis mengepung kawasan itu dan mengarahkan kumpulan itu meletakkan senjata mereka dan menyerah diri.

14 - 28 Februari  - Rundingan dijalankan di mana yang penceroboh dikenal pasti dari selatan Filipina, mendakwa ada kaitan dengan 'kesultanan Sulu'.

Terdapat beberapa pusingan rundingan antara penceroboh dan pihak polis untuk mengelak pertumpahan darah.

Tarikh akhir bagi penceroboh untuk pulang secara aman pada 24 Februari lulus tetapi rundingan diteruskan untuk membolehkan mereka untuk berundur.

1 Mac - Insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang
mengakibatkan dua anggota polis Malaysia terkorban akibat serangan mortar. Dua belas penceroboh bersenjata ditembak mati polis.

Risalah digugurkan dari helikopter mengarahkan penceroboh bersenjata yang berkubu di Kampung Tanduo supaya menyerah diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada penceroboh supaya menyerahkan dan jika gagal berbuat demikian pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Presiden Filipina Benigno Aquino III menggesa penceroboh menyerahkan diri tanpa syarat.

2 Mac - Insiden menembak di Kampung Simunul di Semporna di mana enam anggota polis terkorban dan enam lagi penceroboh (foto) terbunuh.

seorang lagi penceroboh bersenjata, yang dikenal pasti oleh penduduk kampung sebagai seorang imam, juga dibunuh di Kampung Sinalang Lama oleh penduduk kampung selepas dia cuba menjadikan mereka sebagai tebusan.

3 Mac - Polis menyelamatkan mereka yang terperangkap dan mengambil mayat.

4 Mac - Tujuh batalion tentera telah dikerahkan ke Sabah. Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian
diisytiharkan sebagai "zon merah" berikutan laporan pendaratan lelaki bersenjata di sana.

Penceroboh dilabelkan sebagai "pengganas" selepas mesyuarat antara menteri luar Malaysia yang asing dan setiausaha luar Filipina di Kuala Lumpur. [Ini telah dipertikaikan oleh Manila].

5 Mac - Tindakan bersama oleh pasukan keselamatan. Najib berkata, pasukan keselamatan telah melancarkan 'Ops Daulat' untuk menamatkan kebuntuan dengan pengganas di Kampung Tanduo untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Ini diikuti dengan operasi memburu dan membersihkan kawasan itu.

6 Mac - Seorang pengganas bersenjata ditembak mati ketika cuba untuk menyerang hendap pasukan keselamatan negara Malaysia. Kawasan operasi diperluaskan. Keadaan keselamatan di bawah kawalan.

Dakwa Jamalul Kiram III

Pasukan antirusuhan Filipina berkawal di hadapan Kedutaan Malaysia di 
Makati, Manila bagi menghalang tindakan penyokong Jamalul Kiram yang 
membuat bantahan, semalam. - Foto AP

Putrajaya: Wisma Putra menggesa Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Jamalul Kiram III ekoran tindakannya mengeluarkan banyak kenyataan berunsur menghasut sehingga menimbulkan kebencian dan keganasan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia menganggap kumpulan diketuai Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu itu adalah pengganas.
“Ini berikutan kekejaman dan keganasan mereka membunuh anggota keselamatan negara termasuk dua di Lahad Datu dan enam di Semporna. Malah Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F Del Rosario bersetuju bahawa kumpulan ini perlu dilabel sebagai pengganas.

“Malaysia juga memerlukan penjelasan mengenai undang-undang yang akan diguna pakai untuk mendakwa pengganas ini di Filipina supaya ia dapat dikaji oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Anifah mengadakan pertemuan dengan Rosario di Kuala Lumpur malam kelmarin membincangkan perkembangan di Lahad Datu dan Semporna.

Jaminan kerajaan Filipina

Beliau berkata, Rosario memberi jaminan Kerajaan Filipina akan mendakwa kumpulan Sulu yang terbabit dalam insiden di Lahad Datu dan Semporna itu bagi mengenakan hukuman maksimum berdasarkan undang-undang sedia ada.
Anifah berkata, dalam pertemuan berkenaan beliau menyatakan Malaysia menghargai pendirian Kerajaan Filipina dan Presiden Benigno Aquino yang menggesa kumpulan pengganas terbabit kembali ke tanah air mereka, walaupun ia tidak diendahkan.

“Kita menyatakan kita juga mencuba yang terbaik untuk memujuk mereka meninggalkan Lahad Datu dan menawarkan penyelesaian damai tanpa pertumpahan darah," katanya.

Seluruh negara berkabung

Malaysia kata Anifah, juga memahami kedudukan Filipina untuk menyelesaikan tindakan kumpulan itu yang mencabar kedaulatan, integriti wilayah dan maruah negara.

“Saya memaklumkan kita (Malaysia) mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan, keselamatan dan keamanan yang kita nikmati sejak merdeka.

“Seluruh negara masih berkabung dengan kehilangan lapan anggota keselamatan dalam insiden ini. Operasi pasukan keselamatan Malaysia masih berjalan dan rakyat negara ini mahu perkara berkenaan tamat secepat mungkin,” katanya.

Gempur pengganas


LAHAD DATU: Empat kilometer persegi di Kampung Tanduo, dekat sini, diisytiharkan sebagai zon pertempuran selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggempur pengganas di kawasan itu, kira-kira 7 awal pagi ini.

Sementara itu, 10 kilometer persegi pula berada dalam kawalan pasukan keselamatan dan laluan masuk ke kampung terbabit turut ditutup bagi menjamin keselamatan orang awam.

Serangan yang dilancarkan itu dipercayai menggunakan dua jet pejuang F18 dan empat jet Hawk bagi menumpaskan pengganas yang sudah berkampung di kawasan berkenaan sejak 12 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, serangan itu dilancarkan selepas pengganas enggan menyerah diri walaupun diberi peluang berbuat demikian sebelum ini.

"Pengganas tidak mahu menyerah diri seperti yang kita minta menyebabkan tindakan terpaksa diambil untuk menjaga keselamatan negara terutama keamanan di Sabah.

"Kawasan operasi serangan juga tertumpu di empat kilometer persegi Kampung Tanduo sementara 10 kilometer persegi berada dalam kawalan pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Sulu, hari ini.

Ismail berkata, sebelum serangan itu, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di semua rumah penduduk sebelum serangan dilakukan bagi memastikan tiada orang awam ketika serangan.

"Ketika serangan itu, kita juga mendapat tentangan daripada pengganas yang melepaskan tembakan. Sehingga ini, kita tidak dapat sahkan jumlah kematian dan yang tercedera di pihak musuh," katanya.

Beliau berkata, dalam serangan itu pasukan keselamatan juga tiada yang kehilangan nyawa dan serangan ke atas pengganas masih berterusan.


Kronologi

7.00 pagi: Jet pejuang mula menggempur Kampung Tanduo dengan menggunakan sekurang-kurangnya empat bom dari udara.

7.30 pagi: Dua helikopter Nuri kelihatan menuju ke arah Felda Sahabat 17.

9.00 pagi: Polis melakukan sekatan jalan raya di semua laluan masuk dalam lingkungan kira-kira 30 kilometer dari Kampung Tanduo.

9.15 pagi: Beberapa ambulans dari Hospital Lahad Datu dilihat menuju ke arah Felda Sahabat 17

Berita Terkini Kes Pencerobohan Lahad Datu (ATM Ambil Alih, Tiada Lagi Kompromi. Gempur!!)


Berita Terkini Kes Pencerobohan Lahad Datu (ATM Ambil Alih, Tiada Lagi Kompromi. Gempur!!) | Dikhabarkan awal pagi tadi iaitu pada jam 1:45 pagi, satu arahan Eksekutif Telah Dikeluarkan dan Berkuatkuasa serta merta. Kini ATM mula mengambilalih situasi Insiden di Lahad Datu, Sabah dengan arahan hapus musnah penceroboh tanah air, tiada lagi rundingan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka melancarkan serangan besar-besaran dalam masa 24 jam bagi menamatkan pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di beberapa daerah di Sabah.

Difahamkan kawasan yang menjadi fokus utama serangan adalah Kampung Tanduo, Lahad Datu di mana ketua penceroboh, Raja Muda Azzumudie iaitu adik kepada Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III bersama lebih 100 pengikutnya berkubu


Ketika ini, anggota penembak tepat Tentera Darat ditempatkan di beberapa lokasi strategik dan tiada lagi sebarang rundingan bakal dibuat sebaliknya misi kali ini adalah menumpaskan ke semua musuh.

Sama-sama kita mendokan supaya kes ini tidak berlarutan, semua penduduk Sabah selamat dari ancaman pemberontak dan juga Pasukan Keselamatan Negara dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dan selamat.