Direjam gara-gara Facebook

Sekadar gambar hiasan

DAMSYIK - SYRIA. Seorang remaja perempuan direjam hingga mati oleh kumpulan pelampau di Syria kerana mempunyai akaun laman sosial Facebook.

Mahkamah Syariah di Al- Reqqa menjatuhkan hukuman mati kepada Fatoum al-Jassem ekoran perintah di negara itu yang menganggap pemilik akaun Facebook tergolong dalam kumpulan komuniti tidak bermoral.

Media tempatan melaporkan, mangsa dibawa ke mahkamah oleh militan Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap menggunakan rangkaian laman sosial tersebut.

"Mahkamah yang berada di bawah bidang kuasa ISIS memutuskan mereka yang mempunyai akaun Facebook berhak dihukum dengan cara yang sama seperti kesalahan melakukan zina," menurut laporan itu. - Dailymail

'Khianat' bukan penyebab Schumacher jatuh

Schumacher

PENDAKWARAYA Perancis yang menyiasat kemalangan membabitkan Michael Schumacher mengesahkan, tiada bukti  melibatkan salah laku dalam insiden itu dan siasatan kes telah ditutup.

Patrick Quincy berkata, keterangan dan maklumat yang diberikan pihak resort Meribel di mana kemalangan itu berlaku adalah mematuhi undang-undang Perancis, lapor BBC.

Pemain lagenda Formula 1 Jerman yang berusia 45 tahun itu telah dirawat di unit rawatan rapi selepas  kepalanya mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan ketika sedang bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, Perancis.

Penyiasat mendapati, batu yang menyebabkan beliau jatuh berada 10.4 meter (34 kaki) dari dari batu yang terhantuk di kepalanya.

Kedua-dua batu-batu lebih daripada 4 meter dari tepi trek ski itu.

Juara dunia tujuh kali itu ketika ini masih berada di hospital di Grenoble.

Jurucakap beliau berkata pada 30 Januari lalu, pasukan perubatan telah mengurangkan ubat pelali sebagai persiapan untuk membawanya keluar dari keadaan koma.

Schumacher bersara dari dunia Formula 1 pada tahun 2006 selepas menjuarai 5 kejuaraan dunia berturut-turut bersama Ferrari dan dua kejuaraan dunia sebelumnya bersama Benetton.

Selepas berehat selama empat tahun, Schumacher kembali beraksi dalam sukan kegemarannya itu pada tahun 2010 bersama pasukan Mercedes namun kembali bersara semula tahun lalu selepas tidak berjaya bersama pasukan barunya itu.

Jet Li 'kung fu master'

Jet Li

SIAPA tidak kenal dengan master Wong Fei-hung? Seorang tabib China yang juga jaguh kung fu.

Kisah Wong Fei-hung diangkat ke layar perak melalui fi lem epik Once Upon a Time in China lakonan hero kung fu China, Jet Li.

Kehebatan pelakon itu juga mendapat perhatian penggiat fi lem Hollywood apabila disambar untuk memegang watak jahat menerusi fi lem Lethal Weapon 4 pada 1998.

Bakat bekas atlet wushu ini juga diketengahkan melalui watak Han Sing dalam Romeo Must Die (2000), Kiss of the Dragon dan Unleashed.

Lakon layar beliau semakin hebat ketika membintangi fi lem The Forbiden Kingdom (2008) dengan Jackie Chan manakala gandingan mantap bersama Sylvester Stallone dipersembahkan melalui filem The Expendables (2010) dan sekali lagi memegang watak jahat menerusi fi lem The Mummy: Tomb Of The Dragon Emperor (2008) bersama Brendan Fraser.

Kehidupan awal, kerjaya wushu

Jet Li atau nama sebenarnya Li Lianjie dilahirkan di Beijing, China pada 26 April 1963 dan pemegang warganegara Singapura.

Beliau adalah anak bongsu dalam lima beradik.

Ketika berusia 2 tahun bapanya meninggal dunia dan kehidupan mereka dibelenggu kemiskinan.

Ketika berusia 8 tahun, keluarganya tidak mampu menanggung yuran persekolahan maka itu dia dihantar ke sekolah wushu kendalian jurulatih Wu Bin dan Li Junfeng.

“Saya dari keluarga miskin. Kami tidak cukup duit untuk ke sekolah formal. Jadi ibu menghantar saya ke sekolah sukan wushu di mana saya diberi makan dan tempat tinggal percuma. Kami hanya perlu berlatih setiap hari,” katanya.

Li menyertai pasukan Wushu Beijing dan meraih kejayaan pertama dalam Kejohanan Wushu Dunia pada usia 11 tahun. Bermula dari itu, beliau menjelajah ke 45 negara sebagai atlet.

Sepanjang bergelar atlet, beliau meraih 15 pingat emas dan satu perak.

Pada 1974, Li terpilih ke Amerika Syarikat untuk menyertai demonstrasi wushu di hadapan Presiden Richard M Nixon.

Selepas itu beliau ditawarkan sebagai pengawal peribadi kepada Presiden itu. Namun, pelawaan itu ditolak.

“Saya tidak mahu melindungi mana-mana individu. Apabila saya besar, saya mahu mempertahankan 1 bilion rakyat di tanah air saya,” katanya.

Dunia lakonan

Beliau bersara dalam dunia sukan wushu ketika berusia 17 tahun kerana mahu mencari kerja bagi membantu keluarganya. Kerjaya pertama beliau adalah sebagai kru belakang tabir.

Melihat ketangkasan aksi kung fu dalam beberapa drama ketika itu, minat beliau terhadap dunia lakonan mula dirasai.

Ketika bekerja di bawah pengarah Chang Hsin Yen, beliau tampil dalam filem pertama Shaolin Temple pada 1982.

Filem itu banyak memberi pendedahan kepadanya tentang dunia lakonan. Pada akhir 1980-an, Li berhijrah ke Hong Kong untuk memberi komitmen penuh dalam dunia lakonan. Antaranya The Once Upon a Time in China, Fist of Legend filem saduran First of Fury dibintangi pelakon Bruce Lee dan Fong Sai Yuk.

Sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan hingga ke hari ini, beliau banyak beraksi dalam watak ganas dan berisiko tinggi.

ilem lakonan beliau menempah kejayaan apabila setiap lakon layarnya mencecah box office di serata dunia.

Kehidupan peribadi

Pada 1987, Li berkahwin dengan atlet wushu Huang Qiuyan. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Si dan Taimi.

Mereka bercerai pada 1990 dan Li berkahwin semula pada 1999 dengan Nina Li Chi wanita kelahiran Shanghai yang juga pelakon Hong Kong.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak perempuan Jane dan Jada.

Ketika tragedi tsunami pada 2004 di Maldives, Li sekeluarga dikatakan meninggal dunia.

Liputan kematian mereka menjadi tajuk utama akhbar. Realitinya, beliau hanya mengalami kecederaan ringan di kaki disebabkan mengalami kemalangan kecil di rumah.

Pada 2009, Li, yang sebelum ini mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat melepaskan kerakyatan itu lalu memohon menjadi warganegara Singapura.

Awalnya, pihak berkuasa Singapura tidak memberikan sebarang pengesahan.

Namun, pada Julai 2009, pengerusi Jit Li One Foundation iaitu yayasan amal Jet Li mengumumkan bahawa pelakon itu sah menjadi rakyat Singapura kerana mahu memberikan pendidikan sempurna kepada dua anaknya.

Yayasan itu ditubuhkan bagi membantu mangsa bencana dan miskin di China.

Pada tahun sama, Li melancarkan program kecergasan Wuji. Program itu memberi fokus kepada seni mempertahankan diri dan yoga.

Ketika waktu lapang beliau gemar bermain badminton, ping pong, bola tampar, berbasikal, membaca dan bermeditasi. Beliau juga suka mengumpul manik Tibet.

Michael Schumacher mungkin takkan sedar dari koma

 Michael Schumacher

KEADAAN juara Formula Satu dunia tujuh kali,  Michael Schumacher dilaporkan berbahaya sekiranya ditinggalkan dalam keadaan vegetatif berterusan walaupun keluarganya masih mengharapkan wira nombor satu itu sembuh seperti sedia kala.

Lagenda F1 Jerman berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan koma selepas kepalanya mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan ketika sedang bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, Perancis, pada Disember lalu.

Menurut laporan Mirror, walaupun keadaan Schumacher stabil, doktor bimbang sekiranya kerosakan otak Schumacher akan menyebabkan beliau mengalami sindrom Apalik.

Laporan itu menyebut, walaupun jika doktor berjaya menyedarkan Schumacher daripada koma, beliau masih tidak dapat bercakap, bergerak atau makan sendiri.

Koma yang dialami Schumacher memerlukan masa untuk sembuh.

Walaupun keluarga dan rakan-rakan Schumacher memberikan sokongan moral, mereka tidak dapat menyembunyikan kebimbangan mereka bahawa keberangkalian Schumacher untuk sembuh adalah tipis, laporan itu menambah.

Didie Alias hamil di usia 40 tahun

Didie Alias

TAHNIAH, diucapkan kepada pelawak serta pelakon popular Didie Alias,40, atas berita kehamilannya.

Didie Alias atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali dilaporkan hamil tiga bulan hasil perkongsian hidup dengan suami keduanya, Norisham Ismail.

Memetik laporan akhbar tempatan, Didie berkata, dia dan suami berasa begitu gembira apabila mengetahui dirinya hamil.

"Alhamdulillah, usia kandungan saya sekarang sudah mencecah usia tiga bulan. Orang yang paling gembira adalah suami saya.

"Selain itu, keluarga mertua turut berkongsi kegembiraan kerana ini merupakan kandungan sulung saya bersama Norisham," kata Didie yang sudah lima tahun berkahwin dengan Norisham.

Mengulas lanjut, Didie menambah, dia dan suami enggan menaruh sebarang harapan berkenaan jantina bayi yang sedang dikandungnya dan menyerahkan segala-galanya kepada rezeki yang diberikan Tuhan.

"Pada mulanya, saya begitu inginkan anak lelaki, tetapi, apa yang dikurniakan oleh ALLAH kelak, kami terima dengan hati yang terbuka," katanya.