Buaya terjerat


SARATOK: Sangkaan seorang nelayan dia menangkap ikan besar ketika menarik jaring dipasang di Sungai Krian, di sini, kelmarin meleset sebaliknya dikejutkan dengan kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

Zipni Jali, 42, berkata, ketika menarik jaringnya dengan dibantu anaknya, Faizal, 18, dia terasa sesuatu yang berat tersangkut pada peralatan menangkap ikan itu.

Katanya, pada mulanya dia menyangka ikan besar tersangkut pada jaring, namun terkejut apabila melihat seekor buaya katak terjerat dalam jaring berkenaan. “Saya amat terkejut kerana sepanjang umur hidup ini pertama kali buaya terjerat dalam jaring yang saya pasang,” katanya ketika ditemui.

Menurut Zipni, Sungai Krian menjadi lubuk buaya terutama di sekitar Tanjung Kelimah namun setakat ini belum ada kes serangan ke atas penduduk dilaporkan.

Ketika ditanya apa yang dilakukan kepada buaya itu, Zipni berkata, buaya yang masih hidup itu dilepaskan sejurus jaring yang tersangkut pada mulut buaya itu dilucutkan.

“Saya tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan dan saya tidak membunuhnya kerana saya percaya reptilia ini bersifat pendendam,” katanya.

Kim Swee kunci mulut


NAMA pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika ini cukup laku bagaikan ‘pisang goreng panas’ dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ia ekoran pengendali kelahiran Melaka itu dikatakan calon paling sesuai mengambil alih tugas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ekoran kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini sebaik ditewaskan Thailand menerusi agregat 1-3 pada peringkat separuh akhir di Stadium Supachalasai Bangkok, minggu lalu.

Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mempercayai kredibiliti Rajagobal sehingga kontraknya berakhir pada Disember 2013, sebahagian besar penyokong tempatan dilihat sudah mula kurang sabar dan mendesak supaya Rajagobal meletak jawatan ataupun dipecat serta-merta.

Pada masa sama, rata-rata mereka mahu Harimau Malaya diambil alih oleh Kim Swee berdasarkan reputasi jurulatih itu mempertahankan ibu emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia tahun lalu.

Begitupun, Kim Swee lebih gemar mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’, selain membayangkan mahu kekal menerajui Harimau Muda bagi mempertahankan emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.

“Biarlah beliau (Rajagobal) teruskan dahulu kerja beliau (selaku jurulatih).

“Senang cerita, fokus utama saya ialah mempertahankan emas Sukan SEA,” kata Kim Swee ringkas kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! Ahad melaporkan kedudukan Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya masih terjamin sekurang-kurangnya sehingga kontraknya tamat penghujung tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan berkata, Rajagobal perlu diberikan sokongan biar pun gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini.

Dalam pada itu, Kim Swee yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 pada 11 Disember lalu menegaskan, beliau sentiasa akur dengan arahan yang dikeluarkan FAM berhubung perkara itu.

“Saya hanya ikut arahan FAM,” jelas Kim Swee.

Pengadil tak adil!

KEKANG...Norshahrul (kiri) dikawal setiap penjuru padang.

“BAGI saya keputusan pengadil itu tidak betul,” kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil, Lee Min Hu melayangkan kad merah kepada Mohd Fadhli Shas pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF malam tadi.

Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan itu memberi kesan kepada strategi Rajagobal yang menyaksikan Harimau Malaya terpaksa beraksi 10 pemain lebih 45 minit sebelum tewas 0-2.

Menurut Rajagobal, beliau tetap bangga dengan persembahan anak buahnya dan yakin keputusan mungkin boleh berubah sekiranya Fadhli kekal di atas padang.

“Kami bermain baik pada awal babak pertama meskipun Thailand melancarkan serangan mencari gol awal. Tapi segala-galanya berubah apabila Fadhli menerima kad merah, bukan mudah apabila kami kehilangan tonggak utama pertahanan.

“Keputusan perlawanan ini mungkin berbeza jika Fadhli tidak dibuang padang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai malam tadi, Malaysia terpaksa melupakan misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu apabila Thailand meledak dua gol menerusi jaringan Teerasil Dangda dan Teerathon Bunmathan pada minit ke-60 dan 65.

Gol itu hadir selepas Fadhli menerima kad kuning kedua pada minit ke-42 kerana didakwa bertelagah dengan Datsakorn Thonglao.

“Bagi saya, pengadil seharusnya lebih tahu dengan situasi itu dan beliau membuat keputusan yang salah.” Menurutnya, biarpun pasukannya beraksi dengan 10 pemain, Thailand hanya berjaya menjaringkan gol pertama atas kesilapan Amar Rohidan dan gol kedua yang menyusul selepas itu menyukarkan mereka untuk bangkit.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer pula enggan mengulas insiden kad merah itu sebaliknya hanya mahu memuji barisan pemainnya yang berjaya menempah tiket ke final bertemu Singapura.

“Saya tidak mahu komen, pada perlawanan pertama di Malaysia, saya dibuang padang sedangkan tidak bercakap dengan pengadil,” katanya yang sekadar menyaksikan perlawanan malam tadi dari bangku penonton.

“Kami pasukan lebih baik dan saya yakin kami boleh menewaskan Singapura di final.”

Thailand optimis mampu akhiri misi Harimau Malaya

SCHAFER (kanan) berjabat tangan dengan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal 
pada sidang akhbar di Hotel Golden Tulip Sovereign, Bangkok semalam.

BANGKOK - 'Wajah sebenar' pengendali Thailand, Winfried Schafer akhirnya terdedah.

Ternyata kata-kata manis beliau memuji penyokong Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu sekadar satu sandiwara.

Semalam, Schafer secara terbuka mengutuk penyokong Harimau Malaya, selain optimis pasukannya mampu menyambar slot final biarpun tanpa kehadiran beliau di bangku simpanan gara-gara rayuannya tidak dilayan oleh pihak penganjur.

Ketika aksi separuh akhir pertama lalu, Schafer diperintah meninggalkan padang kerana didakwa mempertikai keputusan pengadil dari Iran, Torki Mohsen Ramezanali.

Menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai malam ini, Schafer memberitahu, penyokong di Thailand jauh lebih profesional berbanding penyokong Malaysia.

"Di sini, tidak akan ada pancaran laser dan balingan mercun seperti di Malaysia.

"Penyokong mereka (Malaysia) tidak profesional, penyokong kami jauh lebih baik," kata Schafer pada sidang akhbar di Hotel Golden Tulip Sovereign di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan beliau bakal memberikan kelebihan buat Harimau Malaya, Schafer menafikan perkara itu.

Menurut Schafer, pembantu jurulatih Thailand, Mano Polking akan mengambil alih tempat beliau, seterusnya merancang strategi yang dirancangnya.

"Kami bukan bermain untuk seri, sebaliknya mahu menewaskan Malaysia di sini.

"Pasukan saya tidak pernah tewas setiap kali saya tiada di tepi padang, jadi saya tidak perlu bimbang," katanya.

Padang atau bendang?

Skuad negara terpaksa menjalani latihan ringan di atas padang yang ditakungi air di Stadium 
Express-way semalam.

Pengurusan Harimau Malaya buat aduan mengenai layanan buruk tuan rumah

Pihak pengurusan pasukan kebangsaan membuat aduan kepada penganjur Piala Suzuki, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) serta tuan rumah, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengenai keadaan padang latihan Harimau Malaya, yang didapati becak dan layak dipanggil bendang.

“Saya sudah buat aduan kepada pihak penganjur dan FAT. Harap esok (hari ini) dapat padang lebih elok. Tapi anggap ini semua dugaan untuk berjaya,” kata pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya di padang Jaran Buraprat, kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan skuad negara, petang semalam.

Kami amat kecewa dengan padang yang macam bendang padi, tempat pemain salin pakaian pun tiada, jaring gol koyak rabak dan orang awam boleh tengok secara terbuka," Subahan Kamal, Pengurus Harimau Malaya

Layanan yang diterima Harimau Malaya agak berbeza dengan layanan lima bintang disediakan Malaysia kepada Thailand ketika berkunjung ke ibu negara untuk perlawanan separuh akhir pertama Ahad lalu termasuk menyediakan padang latihan tertutup dan anggota keselamatan.

Macam bendang padi

Skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan tindakan penganjur Piala Suzuki AFF dan tuan rumah, FAT hanya menyediakan padang awam sebagai tempat latihan di Bangkok, petang semalam.

Biarpun lokasinya hanya satu kilometer dari hotel Golden Tulip Sovereign, keadaan padang Jaran Buraprat itu sepatutnya tidak layak dijadikan padang latihan untuk kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.
“Kami amat kecewa dengan padang yang macam bendang padi, tempat pemain salin pakaian pun tiada, jaring gol koyak rabak dan orang awam boleh tengok secara terbuka. Jika di Malaysia, main peringkat kampung pun tidak seperti tahap ini.

“Sedangkan ketika skuad Thailand datang ke Kuala Lumpur tempoh hari, kita beri layanan begitu baik, jagaan pihak polis dan padang latihan tertutup (Kompleks Latihan Maybank, Bangi) supaya mereka dapat buat latihan sulit tanpa gangguan,” katanya.

Ditanya adakah ini salah satu taktik atau strategi Thailand untuk melunturkan semangat juang Harimau Malaya, Subahan berkata: "Saya tak tahu. Apa pun, yang berlaku ini tidak menunjukkan semangat kesukanan. Patut layanan lebih baik dan kita sudah rugi sehari tidak dapat menjalani latihan penuh."