Daya tarikan eko pelancongan

Kepelbagaian ikan di sungai adalah satu warisan rakyat Malaysia. Usaha konservasi dilaksanakan dalam usaha memastikan spesies ikan air tawar itu terpelihara dan diurus secara lestari di Taman Negara.

Santuari ikan kelah berperanan sebagai inisiatif konservasi in-situ spesies ikan kelah di habitat asalnya. Aktiviti penyelidikan seperti kajian populasi dan habitatnya turut dilaksanakan.

Kejayaan pemuliharaan spesies ikan kelah di santuari yang diwujudkan itu membolehkan populasi ikan bertambah di sungai-sungai Taman Negara dan kawasan perlindungan lain.

Populasi kelah masih wujud di hulu sungai seperti di Lubuk Tenor, Sungai Tahan, Pahang; Sungai Nenggiri dan Sungai Relau, Kelantan; Sungai Petang, Sungai Trenggan, Sungai Tembat dan Sungai Loh, Terengganu serta Sungai Kejor dan Sungai Mangga di Perak.

Ikan yang berhijrah dari santuari ke sungai lain akan menjadi sumber perikanan lestari bagi manfaat masyarakat setempat dan peluang pelancong memerhati dan memberi ikan makan.

Di Taman Negara Pahang terdapat dua santuari ikan kelah iaitu di Sungai Tahan (Santuari Ikan Kelah Lubuk Tenor) dan Sungai Tanum (Santuari Ikan Kelah Kuala Juram).


Di Sungai Tahan, anda boleh bermain dan memberi makan ikan secara bebas dengan pengawalan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Penguasa Taman Negara, Fakhrul Hatta Musa, berkata aktiviti penyelidikan seperti kajian populasi, kajian habitat dan kajian pembiakan ikan kelah dijalankan di santuari itu.

Beliau berkata, kejayaan pemuliharaan spesies ikan kelah membolehkan populasi ikan bertambah di sungai-sungai dalam Taman Negara.

“Santuari ikan kelah menjadi tarikan eko-pelancongan yang dapat memberi manfaat kepada pelancong dalam dan luar negara serta masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, projek pemuliharaan dan pembiakan santuari termasuk penyelidikan secara terancang diri­ntis Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Perhilitan bermula 2001.

Beliau berkata, menerusi program itu, pihaknya mengambil inisiatif membina kolam asuhan ikan kelah berhampiran pejabat Perhilitan Taman Negara.

“Anak-anak ikan kelah di santuari ini akan ditangkap dan dilepaskan untuk membesar di kolam mini. Apabila mencapai saiz sesuai, ia dilepaskan semula ke habitat semulajadi.

“Kolam ikan ini memberi peluang pengunjung Taman Negara melihat spesies itu tanpa perlu ke Lubuk Tenor,” katanya.

Katanya, santuari itu menjadi pilihan utama pengunjung Taman Negara kerana mereka berpeluang memberi makanan kepada pelbagai jenis ikan terutama kelah.

“Ikan kelah dan beberapa spesies ikan lain seperti lampam jawa, jelawat dan kerai akan segera ‘menerpa’ dan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

“Paling menyeronokkan apabila beratus-ratus ikan pelbagai spesies itu menerpa dan berebut palet yang ditabur pengunjung.

“Pengunjung pasti teruja apabila ikan berkenaan menggigit betis dan kaki masing-masing,” katanya.

Katanya, seliar mana pun ‘Raja Sungai’ itu, ia pasti hadir mengerumuni makanan yang ditabur di permukaan air.

Bagaimanapun, tidak semudah menangkap kelah kerana ia dikenali spesies ikan paling liar berikutan pergerakannya yang laju bagaikan ‘torpedo’ berbanding ikan lain.

Jika ada kalangan pengunjung yang bernasib baik dapat menangkap ikan kelah dan memegangnya, ia satu ‘bonus’ kerana kelah di Lubuk Tenor begitu ‘bijak’ mengelak daripada ditangkap.

Senario itu amat memukau bagi pelancong yang baru pertama kali menjejak kaki ke Lubuk Tenor kerana mereka pasti teruja melihat kelah yang berkerumun berebut palet makanan yang ditabur.

Situasi tersebut menjadi lebih gamat di kalangan pelancong yang membawa anak-anak mereka yang terlalu gembira bermain dengan ikan kelah di permukaan air walaupun tidak tidak dapat memegangnya.

Pada musim tertentu, pe­ngunjung yang bernasib baik berpeluang menyaksikan satu lagi fenomena kelah dikenali ‘kelah berlaga terutama di kawasan anak sungai yang berarus dan berbatu.

Perlakuan kelah jantan yang melanggar-langgar badan kelah betina itu bukannya tindakan agresif, tetapi memudahkan pasangannya bertelur.

Sementara itu itu, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussein, berkata pihaknya mewujudkan santuari pemuliharaan ikan kelah di tiga zon utama di Sungai Tembeling sejak lima tahun lalu.

Sepanjang tahun lalu, pihaknya melepaskan 3,720 benih ikan kelah bernilai RM18,600 di beberapa sungai menerusi Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok.

“Kita turut melepaskan 3,450 benih bernilai RM17,250 bagi memastikan pembiakan kelah berterusan,” katanya.

PENGUNJUNG boleh merasai sendiri pengalaman memberi ikan kelah makan.

Terdapat tiga jenis kelah di Malaysia

DIKENALI ‘King of the River’, ikan kelah hanya ditemui di Asia seperti India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Daripada 19 spesies kelah yang ada di seluruh dunia, hanya tiga spesies terdapat di Malaysia iaitu jenis kelah merah.

Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud berkata, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.

Beliau berkata, kelah adalah spesies ikan air tawar yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah batu yang mempunyai aliran air yang deras.

“Ikan itu amat sensitif dan gemar bersembunyi di lubuk berair agak gelap yang dipenuhi batu-batu pejal, banir pokok atau batang balak tumbang selain daun mati di dasarnya.

“Faktor persekitaran ini yang mempengaruhi bentuk badan ikan kelah yang lebih lonjong atau lebar bahkan mempengaruhi jenis warna termasuk kepekatan warna sisik,” katanya ketika ditemui di PPA, Perlok, Jerantut, baru-baru ini.

Beliau berkata, ikan kelah yang boleh membesar dengan berat mencecah lebih 50 kilogram (kg) mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan selain mempunyai sisik yang besar dan cantik.

“Jumlah sisik di bahagian garisan lateral ikan dewasa antara 20 hingga 30 keping.

“Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor) dan lebihan daging di bawah dagunya berbanding ikan lain selain memiliki bibir dan mulut yang besar,” katanya.

Katanya, ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.

“Biasanya ikan itu mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit, di antara 15,000 dan 30,000 biji telur tetapi daripada jumlah itu hanya 10 peratus membesar dengan sempurna atau menjadi induk.

“Bagaimanapun, pengeluaran telur ini bergantung kepada kesediaan ikan untuk bertelur, tidak diganggu atau tekanan kepada persekitaran.

“Bila dalam tertekan, warna kelah bertukar menjadi lebih gelap daripada warna asal dan memerlukan sedikit masa untuk ‘pulih’,” katanya.

Menurutnya, ikan kelah betina akan bertelur sepanjang tahun dan kerap pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di kawasan sungai.

Beliau berkata di PPA Perlok, spesies Tor Tambroides yang beratnya tujuh kilogram pernah mengeluarkan sehingga 10,000 biji telur.

“Mudah membezakan antara kelah jantan dan betina kerana permukaan pipi kelah jantan lebih kesat berbanding kelah betina yang lebih licin manakala sirip ikan betina lebih bulat berbanding ikan jantan yang tirus,” katanya.

Timun untuk kecantikan

TIMUN, sejenis sayuran yang murah dan mudah didapati di pasar serta sering terdapat di rumah hampir setiap individu. Ia boleh dimakan mentah begitu saja atau dimasak bersama hidangan lain.

Selain digunakan dalam masakan, ramai mengenali timun sebagai bahan kecantikan semula jadi untuk mata yang mana ia dapat memberi kesegaran kepada pancaindera itu yang kepenatan dan mempunyai lingkaran gelap.

Namun sebenarnya faedah kecantikan yang boleh didapati daripada timun melangkau lebih daripada itu. Timun juga mempunyai banyak kebaikan yang boleh digunakan untuk tujuan penjagaan kecantikan kulit wajah wanita mahupun lelaki.

Bukan setakat murah, ia bersifat semula jadi dan tidak mengandungi bahan kimia berbahaya yang mampu mengancam nyawa sekiranya digunakan secara kerap dalam jangka masa panjang.

Sebelum itu, mari berkenalan dengan keluarga timun dan mendapat sedikit fakta mengenai sayur berkenaan. Seperti juga sayuran lain, walaupun kelihatan serupa, timun sebenarnya mempunyai beberapa variasi mengikut tempat asalnya.

Antara jenis timun adalah dosakai, iaitu timun berwarna kekuningan, berbentuk bulat dan banyak didapati di beberapa bahagian di India. Ia sering dimasak bersama kacang dal dan dijadikan jeruk.

Selain itu, timun Inggeris mempunyai kandungan biji yang sedikit dan boleh tumbuh sehingga mencapai panjang dua kaki manakala timun Mediterranean pula mempunyai kulit halus dengan hampir tiada biji serta mempunyai rasa yang lebih lembut.

Sementara itu, timun Jepun berwarna hijau gelap dengan kulit yang menggerutu dan sering digunakan dalam hidangan salad.

Timun juga kaya dengan silika iaitu bahan galian yang memegang tisu penghubung dan menyumbang kepada kekuatan tisu berkenaan seterusnya membantu memberikan penampilan lebih muda pada kulit.

Silika juga sudah terbukti mampu menghalang penuaan tisu berkenaan yang mana kekurangannya serta asid hyaluronic boleh mempercepatkan proses penuaan kerana tisu penghubung tidak lagi dapat memegang air dengan cekap.

Kandungan silika dalam timun didapati mampu menggalakkan penghasilan kolagen yang memberikan kulit lebih muda dan segar. Timun juga adalah rawatan yang baik untuk kulit bermasalah seperti rosak akibat selaran matahari, jerawat atau kering.

Sayur berkenaan mengandungi 90 peratus air menyebabkan ia juga dikenali sebagai ejen penyejuk hingga digunakan untuk memberi kesegaran pada mata yang sembap dan keletihan.

Timun juga mampu mengurangkan pengumpulan air pada kawasan bawah mata yang menyebabkannya kelihatan letih dan tidak bermaya kerana ia sarat dengan kebaikan asid ascorbic atau lebih dikenali sebagai vitamin C.

Mereka yang berasa letih selepas penat seharian bekerja boleh mengamalkan penggunaan timun yang dipotong nipis dan diletakkan pada kedua-dua mata sambil berehat.

Keberkesanannya memang sudah terbukti sehingga ia antara rejimen kecantikan semula jadi yang paling banyak digunakan di pusat kecantikan di seluruh dunia.

Selain mata, timun yang mengandungi paras hidrogen yang sama dengan kulit mampu memberi kebaikan pada kulit wajah dengan membantu menenangkan dan melembutkannya.

Ia membantu merawat wajah yang bermasalah kerana kesan menyejukkan yang ada padanya selain kandungan pembersih yang mampu mencuci seterusnya meninggalkan kulit yang lembut dan gebu.

Antara cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan kulit cantik adalah dengan mengisar timun yang sudah dikupas bersama putih telur dan disapu pada wajah, biarkan hingga kering sebelum dicuci.

Cara lain yang boleh dilakukan adalah dengan memicit timun dan menyapu jus yang keluar pada wajah dan biar ia menyerap ke dalam kulit. Ia mampu menyerikan wajah jika dilakukan secara konsisten, tanpa perlu bergantung kepada produk mahal.

Jus timun juga membantu untuk mengurangkan penampilan warna kulit tidak sekata dengan menyapunya ke seluruh wajah dan biar selama 15 minit sebelum dicuci.

Tiada masalah untuk melakukannya setiap hari kerana ia bahan semula jadi dan tidak memudaratkan.

Kulit yang sering terdedah kepada matahari hingga ‘terbakar’ juga boleh mendapat manfaat daripada timun kerana ia mempunyai bahan yang mampu menyejukkan dan mengurangkan kesan selaran matahari hanya dalam masa singkat.

Timun juga boleh bertindak sebagai penyegar dengan menyapunya pada wajah dan mencuci selepas 10 minit bagi menghasilkan kulit lebih bercahaya.

Bagi mendapatkan kesan lebih baik, timun juga boleh dijadikan pupur dengan mengisar timun bersama daun pudina dan putih telur menjadi puri. Sapu pada wajah dan biarkan 15 minit atau sehingga kering sebelum dibasuh.

Mendapatkan kulit lebih cerah juga tidak sukar dan ia boleh dicapai dengan menggunakan timun yang dicampur bersama air kelapa. Ia dapat memudarkan bintik noda pada wajah.

Mereka yang mempunyai parut pada wajah akibat masalah jerawat boleh mendapat manfaat daripada timun dengan mencampurkan jus timun bersama jus limau nipis dan disapu pada jerawat atau parutnya.

Chong Wei juara Terbuka Korea

Lee Chong Wei mempertahankan gelaran juara Terbuka Korea di Olympic Gymnasium 2 di Seoul semalam.

Pemain pilihan utama dan pemenang pingat perak Olimpik London 2012 ini hanya mengambil masa 42 minit untuk menundukkan pemain pilihan keempat Du Pengyu dari China 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan itu.

Tahun lepas, Chong Wei mengalahkan pesaing utamanya Lin Dan dari China untuk meraih gelaran juara kali kedua Terbuka Korea melalui perlawanan rubber set, 12-21, 21-18 21-14, manakala gelaran juara kali pertama kejohanan ini diraihnya pada 2010 setelah mengalahkan pemain Denmark Pete Gade Christensen.

Sementara itu, China dan negara tuan rumah masing-masing muncul juara dalam dua kategori.

Beregu wanita nombor lima dunia Yu Yang/Wang Xiaoli dari China mengalahkan rakan senegara mereka Ma Jin/Tang Jinhua, 21-17, 21-13 untuk muncul juara dalam kategori wanita.

China meraih gelaran juara kedua melalui Zhang Nan/Zhao Yunlei, yang mengalahkan rakan senegara mereka Xu Chen/Ma Jin, 13-21, 21-16, 21-13 pada perlawanan akhir beregu campuran.

Pemain bukan pilihan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan membuat kejutan dengan mengalahkan pemain pilihan keempat Wang Shixian dari China dengan mata 21-12, 22-20 untuk menjuarai kategori perseorangan wanita.

Beregu pilihan keenam Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan pula muncul juara setelah menumpaskan beregu lelaki nombor satu dunia Mathias Boe/Cartsen Mogensen dari Denmark 19-21, 21-13, 21-10 dalam perlawanan selama sejam.

Pemenang kategori beregu menerima hadiah AS$79,000 (RM238,619), juara perseorangan AS$75,000 (RM226,537), manakala naib juara bagi semua kategori menerima hadiah AS$38,000 (RM114,779). - Bernama

Laut Sabah bertukar merah


DIKENALI sebagai Negeri Di Bawah Bayu disebabkan kedudukannya yang berada di luar zon ribut yang sering melanda utara perairannya, Sabah sememangnya sebuah negeri yang unik.

Ia terletak di utara kepulauan Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia selain diliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi.

Melihat aspek geografinya, Sabah memiliki pantai sepanjang 14,400 kilometer di samping keindahan lebih 40 buah pulau yang menghiasi sekelilingnya.

Dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan, sewajarnya perairan Sabah dihuni pelbagai hidupan laut yang penuh misteri.

Dari aspek positif, kelebihan itu menjadikan Sabah sebuah destinasi pelancongan air yang wajib dikunjungi, ditambah dengan variasi makanan laut yang tiada batasan.

TOMPOKAN merah dikesan di perairan pantai barat Sabah sejak dua bulan lalu.

Beracun

Bagaimanapun, kehadiran sejenis mikroorganisma di perairan Sabah yang hidup bebas dan telah dikesan sejak tahun 1976 membawa kepada cerita yang menakutkan.

Dengan saiz 25 mikrometer dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop, hidupan ini, Pyrodinium bahamense var compressum mampu mencetuskan fenomena air merah sehingga dianggap sebagai pembunuh senyap kepada nyawa manusia.

Dalam fenomena terbaharu, dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Sabah dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik yang berpunca daripada fenomena air merah yang bermula dua bulan lalu.

WATER Sampler atau alat penyampelan air digunakan pegawai Jabatan 
Perikanan Sabah untuk mengukur kandungan sel beracun di perairan 
negeri itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata, Pyrodinium bahamense var compressum merupakan plankton mikroskopik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Katanya, apabila spesies beracun itu telah mencapai satu jumlah yang besar, air laut akan membentuk tompok-tompok merah yang akhirnya dikenali sebagai fenomena air merah atau red tide.

"Mengikut rekod Jabatan Perikanan Sabah, plankton ini dikesan buat pertama kali pada tahun 1976 dengan 202 kes keracunan kerang paralitik dan telah mengakibatkan tujuh kematian.

"Mikroorganisma yang juga pengeluar racun atau toksik kumpulan keracunan kerang-kerangan paralitik ini menyerang hidupan laut terutamanya hidupan jenis kerang-kerangan selain ikan-ikan pelagik," katanya.

Antara kerang-kerangan yang disahkan beracun semasa fenomena ini ialah kerang, kupang, siput sudu, tiram, remis dan siput tarik.

Hakikatnya kata Rayner, kejadian air merah biasa berlaku di perairan pantai barat meliputi perairan Kudat di bahagian utara Sabah sehinggalah ke Labuan.

PENOLONG Pegawai Jabatan Perikanan Sabah, Calvin Moris menunjukkan kerang 
jenis beliung yang dicemari toksik.

Bermusim

Ia berlaku secara bermusim iaitu pada penghujung tahun dan awal tahun. Fenomena ini biasa terjadi selepas hujan lebat pada musim kemarau atau kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.

"Air laut akan kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan dinoflagellate bertoksik kerana pertambahan nutrien dalam air laut," ujar Rayner.

Justeru kata beliau, segala bentuk kerang-kerangan selain ikan pelagik seperti ikan tamban dan ikan basung adalah antara hidupan yang dicemari.

"Pada masa 30 minit pertama, mangsa yang memakan hidupan laut yang telah dicemari akan berasa kebas pada bibir, muka dan seterusnya bahagian leher.

"Mangsa juga akan berasa seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan dan kaki, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit," jelasnya.

Bagi kes yang teruk, ujar beliau, mangsa akan mengalami kelumpuhan otot, sukar bernafas dan rasa tercekik.

"Dalam kes yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua hingga 23 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak berfungsi," tambahnya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa hanya sebilangan hidup laut yang menjadi toksin dalam fenomena air merah, beliau menjelaskan, ia berhubung kait dengan sistem pemakanan hidupan laut itu selain jenis ikan pemakan plankton.

SEL beracun yang dikenali sebagai Pyrodium Bahamense Var Compressum.

"Plankton yang toksin akan terkumpul dalam organ hidupan laut itu semasa proses penapisan makanan. Apabila hidupan laut itu dimakan pula oleh manusia, toksik itu berpindah masuk ke dalam tubuh manusia sekali gus memudaratkan kesihatan," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Makmal Ride Tide, Jabatan Perikanan Sabah, Ainah Poyong menjelaskan, apabila analisis toksin dalam kerang-kerangan menunjukkan keputusan 400 unit Mouse (MU), maka satu pengumuman setempat akan dibuat melibatkan kawasan terbabit sahaja.

JIKA jari kaki berasa seperti dicucuk jarum selepas menikmati hidangan laut, anda 
mungkin telah terkena racun.

"400MU itu dianggap had terendah kepada tahap berbahaya untuk manusia. Namun, jika analisis toksin mendapati kandungan telah melebihi 400MU, maka satu pengumuman awam akan dilakukan," katanya.

Untuk rekod, katanya, analisis toksin ke atas beberapa contoh kerang-kerangan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan peringkat setinggi 6,900MU di kawasan Putatan, 4,010MU (Papar) dan 3,300MU di Tuaran.

"Pihak kami menjalankan dua kaedah pemantauan untuk mengenal pasti kandungan toksin ini iaitu menerusi sampel kerang-kerangan dan ikan-ikan pelagik serta sampel air laut.

"Pemantauan akan dibuat sepanjang tahun iaitu sekali dalam tempoh dua minggu," ujar Ainah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan kes air merah.

Tambahnya, isi kerang-kerangan dan sampel air yang diambil dari perairan laut akan dibawa ke makmal untuk diekstrak bagi menentukan kandungan toksin.

"Dari situ kita akan tahu kawasan mana yang mempunyai toksin yang tinggi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, sehingga kini belum ada bahan penawar yang khusus untuk rawatan keracunan akibat memakan kerang-kerangan.

"Langkah terbaik adalah mengelak daripada memakan semua kerang-kerangan serta ikan jenis pelagik," katanya. -kosmo

KBS terima tindakan anak Misbun keluar BAM

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
KEMENTERIAN Belia dan Sukan akur dengan keputusan Misbun Ramdan Misbun yang nekad keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Isnin lalu dan menghormati keputusan pemain muda itu.
 
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya menerima keputusan itu dan akur dengan kemahuan Misbun Ramdan yang ingin mendapatkan bimbingan daripada ayahnya, Misbun Sidek di Kelab Nusa Mahsuri.
 
"Misbun sudah membentuk sistem yang berbeza dari apa yang dikendalikan BAM kemungkinan dapat membuahkan sesuatu yang baik ataupun tidak, kurang baik atau seimbang dengan apa yang dibuat BAM... jadi bagi kita perlukan banyak lagi akademi-akademi badminton yang akhirnya akan membuahkan lagi banyak nama-nama baharu.
 
"Kalau Misbun boleh lahirkan Chong Wei, maka kali ini adalah cabaran baharu bagi Misbun untuk lahirkan Chong Wei lain sama ada anak beliau atau orang lain melalui Nusa Mahsuri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ramdan yang keluar dari BAM selepas seminggu melakar sejarah memenangi Grand Prix (GP) Final Kebangsaan di Alor Setar.
 
Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 114 mangsa banjir di Kampung Kuala Tayor di sini, semalam.
 
Ramdan berbuat keputusan demikian kerana mahu mendapat bimbingan daripada Misbun di kelab Nusa Mahsuri, lebih-lebih lagi bapanya itu terbukti berjaya melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei.
 
Sepanjang menjadi jurulatih, Misbun turut berjaya memimpin adiknya Rashid memenangi pingat perak Olimpik Atlanta, menaikkan nama adik-beradik Roslin dan Hafiz Hashim, membimbing Wong Choong Hann memenangi perak Kejohanan Dunia 2003 serta perak dalam Olimpik Beijing.
 
Mengulas mengenai Malaysian Open pada 15 hingga 20 Jan depan, Ahmad Shabery yakin Lee Chong Wei akan mempertahankan kejuaraannya dan berharap penyokong dari seluruh negara dapat memberi sokongan kepada pemain nombor satu negara itu.
 
"Walaupun Chong Wei baru berkahwin, ia tidak menjadi halangan kepada beliau untuk mengungguli kejuaraan tersebut dan seterusnya beliau akan menjadi sumber inspirasi kepada banyak lagi pemain lain," katanya. - Bernama