Lima beradik kongsi satu isteri

New Delhi: Seorang ibu muda semalam mendedahkan dia mempunyai lima suami.

Lebih menarik lagi, kelima-limanya adalah adik-beradik.

Rajo Verma, 21, tinggal dalam sebuah rumah satu bilik dengan kelima-lima suaminya dan tidur bersama suami berbeza setiap malam mengikut giliran.

Suri rumah itu juga tidak tahu siapa bapa bayi lelakinya.

Rajo berkata: “Pada awalnya, ia rasa agak pelik. Dan saya tidak mempunyai suami kegemaran.” Suami pertamanya, Guddu, 21, menegaskan: “Kami semua melakukan seks dengannya tetapi saya tidak cemburu. Kami sebuah keluarga besar yang bahagia.” Pasangan itu berkahwin mengikut istiadat Hindu yang diatur keluarga mereka empat tahun lalu dan dia menjadi satu-satunya suami Rajo yang sah. Tetapi adat di kampung mereka mewajibkan Rajo turut mengambil adik-beradik suaminya sebagai suami. Mereka ialah Bajju, 32, Sant Ram, 28, Gopal, 26, dan Dinesh — yang dikahwininya tahun lalu ketika pemuda itu mencecah usia 18 tahun.

Abang sulung Bajju berkata: “Saya menganggap Rajo sebagai isteri saya dan tidur bersamanya sebagaimana adik saya yang lain.” Rajo memasak, mengemas dan menjaga bayinya, Jay yang berusia 18 bulan ketika semua suaminya pergi bekerja di Dehradun, utara India.

RAJO Verma mendukung bayinya Jay bersama lima suaminya (dari kiri) Sant Ram, Bajju, Gopal, Guddu 
dan Dinesh di depan rumah mereka.

RAJO memasak, mengemas rumah dan menjaga anak ketika kelima-lima suaminya pergi bekerja.

Rajo berkata mengenai tradisi purba bergelar poliyandri: “Ibu saya turut berkahwin dengan tiga beradik. Bila saya berkahwin saya tahu saya terpaksa menerima semua lelaki itu sebagai suami.” “Saya tidur dengan mereka mengikut giliran. Kami tiada katil, kecuali beberapa selimut. “Yang menariknya, saya mendapat lebih perhatian dan kasih sayang daripada kebanyakan isteri lain.” - Agensi

Jamalul Kiram III arah lancar perang gerila

Jamalul Kiram

SHAH ALAM - Individu yang menabalkan dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram III kelmarin mengarahkan tentera dan penyokongnya di Sabah melancarkan perang gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Beliau turut menarik balik arahan gencatan senjata sebelah pihak seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Phillipine Star, Jamalul bertegas bahawa pengunduran  atau menyerah diri tenteranya dari Sabah bukan satu pilihan kerana katanya Sabah adalah tanah air mereka.

“Mereka sudahpun berada di tanah air mereka, mengapa perlu pulang semula?” kata Jamalul kepada wartawan di kediamannya di Bandar Taguig, Manila.

Sementara itu, jurucakap kepada Jamalul, Abraham Idjirani berkata, penentangan di Sabah akan diteruskan.

Beliau berkata, arahan gencatan senjata yang ditawarkan oleh kesultanan telah ditarik balik dan tentera Kiram diarahkan untuk menjalankan operasi ‘serang dan lari’ ke atas pasukan keselamatan Malaysia.

Jamalul juga mengakui adiknya, Azzimudie Kiram masih lagi berada di Sabah, berbeza dengan laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang mengatakan ketua militan itu telah melarikan diri ke Selatan Filipina.

Idjirani dilaporkan telah bercakap dengan Azzimudie pada malam Sabtu lalu dan diberitahu bahawa kumpulan mereka masih kuat.

Menurut akhbar Filipina, Idjirani berkata, pengikut kesultanan yang berjumlah 170 orang berpecah kepada tiga kumpulan untuk mengelak daripada dijejaki pesawat pengintip Malaysia yang berlegar-legar di udara sekitar Lahad Datu.

Selain itu, media Filipina melaporkan melalui sumber kerajaan mengatakan bahawa Azzimudie tiba di Kepulauan Sulu bersama pengiring terdiri dari pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Sumber itu menyebut Azzimudie kemungkinan berjaya melepasi kepungan tentera melalui Lahad Datu ke Sandakan sebelum tiba di Pulau Sibutu dan Sitangkai.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Filipina telah memintas dua bot membawa 35 pengikut Sulu bersenjata berhampiran di Kepulauan Taganak dan menempatkan mereka di pangkalan tentera laut di Bato-bato, Panglima Sugala. Kumpulan ini dipercayai tiba dari Sabah.

Sejak 1 Mac lalu, 10 anggota keselamatan negara terbunuh dan 62 militan Kiram berjaya ditembak mati.

Malaysia melancarkan Op Daulat sejak 5 Mac lalu bagi menghapuskan kira-kira 200 pengikut Jamalul Kiram yang menuntut Sabah dari Malaysia atas alasan wilayah tersebut ‘disewa’ kepada negara.

Militan lebih kejam daripada komunis

Hamza Taib
SELEPAS 10 hari membuat liputan di Lahad Datu, akhirnya kami dapat mendekati antara individu yang paling sibuk memantau Op Daulat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, dengan riak wajah yang sentiasa tenang menyifatkan pengganas bersenjata selatan Filipina lebih kejam daripada komunis yang pernah menyerang negara.

Melihat tindakan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan terhadap anggota dan pegawai polis semasa operasi mengesan mereka di Kampung Simunul, Semporna 2 Mac lalu, beliau tidak dapat menggambarkan betapa kejamnya pengganas itu.

Sungguhpun begitu kami yakin semangat anak buahnya langsung tidak pernah pudar untuk memastikan pengganas berkenaan gugur dari setiap inci permukaan bumi Malaysia.

Beliau yang pernah terlibat dengan operasi membanteras komunis di Raub, Pahang yakin pasukan keselamatan akan menumpaskan pengganas walaupun tidak menetapkan tempoh masa tertentu.

“Cuba lihat apa dilakukan oleh mereka ini, lebih kejam daripada komunis!” Nada suaranya teras menyatakan kepada kami dalam pertemuan di Felda Residen Sahabat, semalam.

Difahamkan, anggota keselamatan yang maut di Kampung Simunul, Semporna 2 Mac lalu dibunuh kejam.

Mereka yang terkorban adalah Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud di Kampung Tanduo.

Manakala di Semporna adalah Superintendan Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Micheal Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Azrul Tukiran.

Dua lagi adalah Koperal Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Sg Nyamuk dan Koperal Ahmad Farhan Roslan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu - Cenderawasih.

Beliau berkata, gugurnya 10 wira negara dalam Op Daulat langsung tidak mematahkan semangat anak-anak buahnya dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami yakin dapat menyelesaikannya kerana kawasan pengganas telah dikepung pasukan keselamatan," katanya.

Sebelum ini, Hamza juga menegaskan, pihak berkuasa tidak sekali-kali mempercayai apa yang ditawarkan Azzumudie Kiram, katanya, “Sejak hari pertama kami tidak mempercayainya.”

Penduduk namakan 'Jalan Wira Negara Koperal Azrul'

Anggota Rela tertarik melihat papan tanda jalan tertera 'Jalan Wira Negara Kpl Azrol' 
berhampiran kediaman keluaraga Allahyarham Koperal Azrul Tukiran. - Foto Bernama

KLANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarah keluarga Koperal Mohd Azrul Tukiran, yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lepas, di Kampung Rantau Panjang di sini.

Najib, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau dan isteri kemudian menghadiri Perhimpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Rakyat di Padang SMK Meru, kira-kira 25 kilometer dari kampung itu.

Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Tukiran Ahamad berkata Perdana Menteri menasihatkan mereka sekeluarga supaya bersabar kerana perkara yang berlaku tidak diduga dan memberi jaminan akan memberikan segala bantuan yang dijanjikan.

Tukiran, yang melahirkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kesudian Perdana Menteri berkunjung ke rumah mereka, turut berkata Najib juga bertanya berkaitan arwah dalam kunjunan singkat itu.

Sementara itu, ibu Mohd Azrul, Sa'diah Md Amin berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan menghalang jika ada anak dan cucunya yang berhasrat menyertai pasukan keselamatan.

Ini adalah kali kedua ibu bapa Mohd Azrul bertemu Perdana Menteri, pertama kali semasa menyambut ketibaan jenazah Allahyarham di Pangakalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 4 Mac lepas.

Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap sekumpulan pengganas bersenjata di perkampungan air itu pada 8 malam 2 Mac lepas.

Sementara itu, penduduk kampung menamakan jalan masuk ke rumah keluarga Allahyarham sebagai 'Jalan Wira Negara Koperal Azrul'. - Bernama

Malaysia tumpas kepada Arab Saudi


Arab Saudi berjaya menewaskan Malaysia 4-1 di Stadium Shah Alam dalam perlawanan persahabatan pada Ahad malam.

Perlawanan bermula dengan Arab Saudi mengawal permainan dan mereka berjaya membuka tirai pada minit ke-7 selepas Yousef Alsalem menanduk masuk hantaran dari sayap kiri.

Malaysia hampir-hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatan Amri Yahyah dari luar kotak tersasar.

Arab Saudi menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke-29 apabila penjaga gawang Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat gagal untuk menahan rembatan sengit Yahya Alsheri.

Arab Saudi mempunyai peluang yang baik untuk menjaringkan gol ketiga mereka sebelum separuh masa tetapi Khairul Fahmi dan Mahali Jasuli membuat pertahanan yang hebat untuk memastikan pasukan tuan rumah masih mempunyai harapan untuk bangkit.

Malaysia membuat beberapa penukaran di separuh masa, termasuk membawa masuk penjaga gawang Norazlan Razali dan ketua pasukan Safiq Rahim.

Mereka memulakan separuh masa kedua dengan lebih semangat tetapi mensia-siakan tiga peluang yang baik untuk menjaringkan gol pertama mereka.

Malaysia akhirnya menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-70 apabila Safiq Rahim merembat bola melepasi penjaga gawang Arab Saudi selepas Manaf Mamat menggelecek masuk ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola kepada pemain Johor Darul Takzim itu.

Namun harapan untuk Malaysia menyamakan kedudukan lesap selepas Naif Hazazi menjaringkan gol ketiga Arab Saudi sebelum Hamdan Alhamdan menjaringkan gol terakhir untuk pasukan lawatan.