Jins Shamsudin lupa, SM Salim menangis

WAKIL Yayasan Artis 1 Malaysia melawat dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni ini.

TATKALA umur sudah mencecah angka emas, ingatan adalah segala-galanya. Bukan wang ringgit yang mereka cari sebaliknya perhatian sebagai tanda ingatan.

Itu yang ketara kelihatan di wajah dua Tan Sri yang sudah menabur jasa dan keringat dalam dunia seni masing-masing. Tan Sri Jins Shamsudin ialah anak kelahiran Perak yang sebati dalam dunia lakonan.

Begitu juga dengan Tan Sri SM Salim yang sehingga kini menjadi penghibur jiwa dengan suaranya yang tersendiri. Kini mereka sedang meniti hari tua bersama keluarga dengan keadaan kesihatan yang seiring usia.

Jins hilang memori

Jins masih berdiri tegap manakala pakaiannya kemas melekat pada tubuhnya. Berkemeja dan berseluar panjang, lelaki yang berumur 78 tahun itu tersenyum tatkala disapa tetamu yang hadir ke rumah.

Dahulu, riuh rumah Jins dengan suaranya mengalu-alukan kedatangan tetamu namun kini hanya tetamu menyapa namanya. Tiada balasan selain senyuman dan jemputan masuk. Dia jelas sudah hilang memori terhadap nama-nama yang pernah rapat dengan dirinya.

Mewakili Yayasan 1 Malaysia, nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk DJ Dave, Datuk M. Daud Kilau, Nancie Foo dan Nash, mereka meluangkan waktu bertemu dengan seseorang yang sesuai digelar guru.

Mereka juga menjadi wakil bagi menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni yang mereka hormati sejajar dengan penubuhan Yayasan itu sejak 11 November 2012.

AIR MATA ini jatuh bukan kerana wang ringgit sebaliknya ingatan rakan-rakan seperjuangan membuatkan SM Salim terharu dan rasa dihargai.

Walaupun nama para tetamunya sudah luput daripada ingatan Jins, mereka tetap bergurau seperti biasa dan mendengar kata-kata yang hanya sekali sekala keluar daripada mulut aktor yang sinonim dengan watak ejen perisik Jefri Zain.

Selebihnya sang isteri, Puan Sri Halijah Abdullah, 54, kini menjadi suara Jins lantaran beliau diserang penyakit Alzheimer. Sekali sekala, anaknya, Hang Nadim menambah fakta sekiranya Jins yang terdiam, memandang dengan pandangan kosong.

"Dia tidak cam walaupun muka sendiri di kaca televisyen. Katanya nama orang yang di dalam televisyen itu lain dengan dirinya. Tempoh hari, Noorkumalasari datang pun dia tidak ingat sedangkan itu kegemaran dia," ujar Halijah tentang suaminya.

Disoal tentang tahap kesihatan Jins, Halijah tersenyum sambil memanjat syukur. Penghulu keluarga mereka itu sedang diuji Allah. Cuma sebulan sekali, Jins dibawa ke Temerloh, Pahang untuk urutan di bahagian tangan.

"Aktivitinya pagi-pagi kami akan berjalan di sekitar kawasan rumah selama 15 minit. Bawa naik bukit dan kena cahaya matahari pagi. Kemudian dia akan tengok televisyen atau berbaring. Jins juga gemar membaca surat khabar dan akan mengambil masa sejam untuk membaca semua berita. Sekali sekala Nadim akan bawa dia menonton wayang. Dia tonton tapi dalam pandangan yang kosong," tambah Halijah.

Kesibukan dan terlampau fokus kepada kerja menjadi penyumbang kepada kehilangan memori Jins kepada peristiwa silam. Yang diingati adalah zaman Jalan Ampas dan Finas, selebihnya memorinya terendam bersama waktu berlalu.

"P. Ramlee itu guru saya," tiba-tiba Jins bersuara sekali gus membuat semua memandangnya. Dia kemudian menyambung renungan entah ke mana.

Jins pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School pada tahun 1970-1972 dan menerima diploma dengan kelas pertama.

Pada tahun 1999, dia menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.

Pada 24 Mac 2010 pula, Jins menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23.

"Begitulah dia, cakapnya memang sedikit dan memang sejak azali begitu. Dia tidak mahu bercakap kalau bukan hal yang mustahak. Dia lebih gemar membaca. Dulu kalau diajak bercuti pun dia enggan. Saya bersyukur dengan kesihatannya. Melihat pada satu sudut, walaupun diserang Alzheimer tetapi sekurang-kurangnya kami sudah dapat dia kembali. Dulu selalunya dia tiada di rumah," senyum Halijah sebelum tetamu beredar langkah.

Mahu menyanyi

Sedikit berbeza dengan Jins, SM Salim menyambut tetamunya dengan air mata. Air mata SM Salim jatuh tatkala sampul surat berserta cek sampai di tangannya.

SM Salim tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas kunjungan rakan seperjuangannya tatkala dia kini berkerusi roda.

Tidak lama dia menyimpan emosi itu kerana tidak mahu semua yang hadir hanyut dalam tangisan. Dia tersenyum menyambung lawak jenaka. Ujar Datuk DJ Dave, SM Salim tidak pernah gagal membuat semua yang dekat dengan dirinya ketawa dan sikap itulah sebenarnya yang membuatkan penyanyi berusia 84 tahun itu terus sihat dan kelihatan segar.

WALAUPUN uzur, SM Salim tetap gemar membuatkan para tetamunya terhibur dengan jenakanya.

"Saya ni sihat-sihat orang tua. Tangan dan kaki susah sedikit nak digerakkan. Jadi kalau mahu makan, kena pakai sudu," kata Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros yang mencipta tapak dalam dunia seni sebagai penyampai radio.

"Saya sangat berbesar hati dengan rombongan ini. Saya fikir orang tidak ingat dan saya tidak sangka akan dapat duit banyak. Ingatkan semua dah tak peduli," katanya yang terharu dengan rombongan Yayasan Artis 1 Malaysia yang hadir ke rumahnya di Sering Ukay, Ampang, Kuala Lumpur.

Didampingi nama-nama yang sama-sama berjuang atas nama seni, SM Salim sempat meluahkan rasa. Keinginannya untuk menyanyi semula disuarakan.

"Saya sebenarnya gian mahu menyanyi. Magisnya bila menyanyi sahaja keadaan saya terus jadi baik. Aktiviti saya sekarang kalau duduk sendiri, saya akan pasang balik lagu-lagu saya dan dengar di mana salah saya menyanyi dalam rakaman tersebut," luahnya yang ketara kedengaran rindu dengan dunia nyanyian pentas dan rakaman.

Sudah darah anak seni, segala yang terjadi dalam cabang dunianya menjadi perhatian dan tatapan. Dari atas kerusi roda, SM Salim menjadi pemerhati. Ujarnya penuh ikhlas akan kekhilafan yang dilakukan penyanyi sekarang yang jelas di matanya.

"Penyanyi sekarang banyak nyanyi tidak betul. Lirik tidak kena dan begitu juga suara. Kalaulah bukan kerana cetak rompak dulu, sekarang kita sudah kaya raya. Filem pun sama juga pergerakannya," luah hati seorang biduan yang sudah berangkai ratusan lagu-lagunya dalam rakaman.

"Saya kalau menyanyi sambil duduk, nyanyian saya bagus. Tetapi kalau berdiri tidak bagus," jujurnya yang ketara memang mahu menyanyi dan menghibur semula.

Sebelum tetamu berundur pulang, dia memberi hadiah istimewa walau sekejap cuma. Bait-bait lagu Pasir Roboh dinyanyikan seketika. Sesekali dia berhenti sebelum menyambung nyanyian. Jelas dia rindu, serindu pencinta suaranya.

“Abah dah ninggal”


Ipoh: “Abah gi (pergi) Sabah... abah dah ninggal (meninggal),” itu ayat pertama yang keluar dari mulut anak sulung Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, Mohamad Akmaruddin, 5, ketika disapa wartawan pada majlis penyerahan bantuan di Mes Pegawai Kanan, Pasukan Gerakan Am, Briged Utara, Hulu Kinta, Rabu lalu.

Tidak banyak maklumat diperoleh daripada kanak-kanak itu kerana dia seolah-olah cuba menyembunyikan perasaan sedih mengenai pemergian arwah bapanya.

Ketika ditemui, Mohamad Akmaruddin tidak berbeza daripada kanak-kanak lelaki sebayanya yang aktif dan suka bergurau, malah wartawan turut diajak bermain dan dipeluknya.

Dia mungkin belum mengerti pemergian insan tersayang dalam hidupnya.

KELETAH Akmaruddin (kiri) dan adiknya Akhil menyentuh jiwa.

Perbualan singkat dengannya mungkin sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar memori yang sempat dikongsi kanak-kanak itu.

Minum teh boleh elak kanser

Minum teh dengan kerap juga menurunkan risiko menghidap ketumbuhan.
- Foto AGENSI

Penyelidik Belanda kaji 892 lelaki tunjuk kesan baik minuman

Amsterdam: Lelaki yang minum sekurang-kurangnya dua cawan teh sehari boleh mengurangkan risiko diserang barah prostat sehingga lebih satu pertiga.
Minum teh dengan kerap juga menurunkan risiko menghidap tumor sebanyak 37 peratus berbanding mereka yang minum kurang sekali seminggu.

Tahun lalu, sebagai contoh, kajian di Universiti Glasgow mendapati, peminum tegar teh lebih berisiko mendapat penyakit. Ia mengesan kesihatan lebih 6,000 sukarelawan lelaki sepanjang 37 tahun dan mendapati mereka yang minum teh lebih tujuh cawan sehari berisiko 50 peratus mendapat barah prostat berbanding yang minum secara sederhana dan tidak minum langsung.

Namun, faedah sama tidak diperoleh daripada kopi, menurut kajian saintis di Universiti Maastricht, Belanda.

Hampir 40,000 kes barah prostat dikesan setiap tahun di United Kingdom dan 10,000 lelaki maut akibatnya – bersamaan dengan lebih seorang dalam masa sejam.

Risiko itu meningkat dengan usia, dengan lelaki berusia lebih 50 tahun lebih berkemungkinan menghidap tumor dan ada elemen genetik padanya. Seperti juga jenis barah lain, diet menjadi faktor utama dalam perkembangan penyakit.

Minuman popular 
Pada masa sama, ada juga percanggahan bukti mengenai peranan minuman popular itu.

Tahun lalu, sebagai contoh, kajian di Universiti Glasgow mendapati, peminum tegar teh lebih berisiko mendapat penyakit. Ia mengesan kesihatan lebih 6,000 sukarelawan lelaki sepanjang 37 tahun dan mendapati mereka yang minum teh lebih tujuh cawan sehari berisiko 50 peratus mendapat barah prostat berbanding yang minum secara sederhana dan tidak minum langsung.

Begitupun, penyelidik mengakui mereka tidak pasti jika teh benar-benar menjadi faktor risiko, atau peminum berada pada usia penyakit itu lebih kerap menyerang.

Dalam kajian terbaru, pengkaji Universiti Maastricht membandingkan 892 lelaki dikesan ada barah prostat dengan bilangan sama lelaki sihat, menilai tabiat pemakanan dan minuman mereka.

Kajian dilakukan ke atas penduduk lelaki di Amerika Syarikat, yang menyaksikan kopi lebih popular. Cuma satu dalam lima sukarelawan minum sekurang-kurangnya secawan teh sehari, berbanding hampir 60 peratus yang lebih gemar kopi.

Hasil kajian disiarkan jurnal Cancer Causes Control menunjukkan dua cawan atau lebih teh sehari seperti mempunyai kesan antibarah, manakala kopi tidak. - AGENSI

FAKTA NOMBOR
40,000 kes barah dikesan di Britain setiap tahun

AR Badul: 'Lahad Datu buat saya rasa nak berperang'

AR Badul

Filem Darah Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan kita di Sabah. Wartawan Sinar Harian, HASLI NA KAMALUDIN dan NOR FAIZAL GHAZALI bersama jurufoto ZULFADHLI ZAKI mendapatkan reaksi Badul mengenai insiden ini

Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?

Idea ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah tentera. Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang tersayang pergi berjuang di medan perang. Selain berlakon, saya bertindak sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.

Salah satu babak dalam filem Darah Satria

Bagaimana dengan pra-perfileman, memandangkan ia berkaitan tentera?

Kita sangat bertuah dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan yang memberi sepenuh sokongan terhadap filem ini. Penggambaran dilakukan dalam kem dan di hutan Gombak. Pegawai tentera ketika itu memberi tunjuk ajar serta latihan kepada kami sebelum memulakan penggambaran. Kami juga dibenarkan menggunakan senjata, lokasi, pakaian sebenar seorang tentera. Kami juga direkrut pegawai khas sepanjang penggambaran.

Berapa kos filem dan berapa lama penggambaran di dalam hutan?

Untuk filem Darah Satria, kos filem mencecah RM100,000. Ia jumlah yang besar pada ketika itu dan merangkumi semuanya termasuk promosi. Kami berkampung selama dua minggu di hutan. Kami melalui kehidupan seperti tentera seperti mengalami sendiri pengalaman tidur dalam khemah, makanan dan semua perkara yang dilakukan tentera. Bukan senang kerana selain daripada pelakon tambahan yang ramai, kami juga menggunakan senjata sebenar. Berat dan kami perlu berhati-hati. Semua ini demi untuk memastikan filem ini sukses.

Apakah kesukaran dalam menyiapkan filem tersebut?

Kami diberi peluang untuk menggunakan helikopter dalam beberapa babak. Kebanyakan aksi dilakonkan pelakon sendiri. Aksi paling sukar adalah situasi di dalam helikopter. Pelakon perlu turun dari helikopter menggunakan tali. Bukan sahaja tinggi, malah angin yang kuat juga menambah kesukaran. Kami hanya diberi latihan terjun tiga hari. Tetapi segala-galanya berjalan lancar. Selain itu, memegang senjata sebenar juga adalah masalah besar buat kami. Kami risau takut perkara yang tidak diingini berlaku.

Adakah pada ketika itu mahu menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia?

Pada asalnya, kita hanya ingin tukar tajuk sahaja. Tapi, apabila ditayangkan, mendapat sambutan kerana genre berbeza, ia secara langsung memberi impak positif kepada penonton dan lebih patriotik daripada biasa.

Selain Darah Satria, anda turut terlibat dalam filem ala tentera iaitu Prebet Lapok.

Ya, filem Prebet Lapok, saya diberi peranan utama. Masih mengisahkan hidup ala tentera. Ia juga disampaikan secara ringan iaitu bagaimana kehidupan tentera di kem. Ada juga tentera keluar malam, masalah disiplin dan sebagainya. Filem ini berjaya menarik ramai anak muda ketika itu untuk menyertai tentera. Untuk jadi tentera, hanya perlu ada semangat, disiplin dan rela berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara.  

Melihat situasi sebenar tentera berperang di Lahad Datu, apakah anda boleh digambarkan?

Pertama, ia mengingatkan kenangan saya berlakon di hutan dulu. Walaupun hanya berlakon, tetapi bukan mudah. Beg dan senjata yang berat. Kami perlu fokus. Melihat apa yang berlaku di depan mata kita ini membuatkan saya terasa ingin berjuang bersama mereka. Saya dapat rasakan betapa sukarnya mereka menjaga keamanan negara kita dan bagaimana mereka perlu berdepan dengan musuh sebenar. Semangat mereka ada dengan saya. Tapi, apa yang boleh, saya hanya doakan yang terbaik. Mereka adalah tentera terlatih. Saya bangga dengan mereka.

Khabarnya, ada antara ahli keluarga anda juga seorang tentera?

Ya, anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga tentera.

Apakah kewajaran untuk pengarah filem menghasilkan filem patriotik pada masa sekarang?

Kita sebenarnya tidak banyak sejarah perang, soal buat filem itu terserah kepada produser. Pada masa sekarang perlu buat filem yang melambangkan kedaulatan negara dan keperkasaan tentera kita. Jangan buat filem 'pak turut dan pak sangkut' saja yang akan merosakkan institusi Malaysia.

Apakah anda akan menghasilkan filem patriotik?
Kalau ada permintaan saya akan pertimbangkan untuk mengarah.

Apa komen anda mengenai persepsi yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu?

Negara kita jarang berperang. Kerana itu, mereka seperti tidak ada perasaan kasih sayang. Sudah macam hilang akal dengan melemparkan pelbagai tohmah dan kata-kata negatif. Sedangkan kalau ada berlaku kemalangan jalan raya pun kita rasa simpati. Inikan pula tentera yang ingin mempertahankan kedaulatan negara. Seharusnya mendengar tentera perlu bertugas ke Lahad Datu itu pun kita sudah sugul dan sedih. Apabila kena tembak, mengapa tergamak mengatakan ini sandiwara. Mereka tidak fikir orang lain. Cuba kalau saudara mereka ditembak. Pasti sedih. Inilah yang berlaku apabila wujud pihak-pihak yang tidak pernah fikir perasaan orang. Seolah-olah dalam otak mereka ada 'cip' yang ikut sahaja cakap beberapa pihak yang mengaitkan isu ini dengan politik.

Apakah situasi tentera hari ini melawan Sulu lebih teruk daripada zaman melawan komunis dulu?

Bagi saya, Sulu ni komunis moden. Ada duit, kedudukan dan penyokong. Jika mereka berjaya, mereka akan dapat habuan dan bahagian tertentu. Komunis tidak kerana mereka ada fokus. Saya lihat Sulu tiada fokus. Kenapa mereka mahu Sabah? Mereka muncul tiba-tiba dalam keadaan dan saat sekarang (musim Pilihan Raya).

Bagaimanakah pandangan anda dengan moral rakyat Malaysia terhadap anggota keselamatan?

Pasukan keselamatan perlulah dihormati. Mereka ini harga yang tidak ternilai kepada negara. Sekiranya negara menghadapi perang, merekalah benteng utama, bukan bomba atau jururawat. Tanpa mereka habislah kita. Saya sangat bersimpati kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Masyarakat perlu menghargai jasa dan tanggungjawab mereka bukan menghina.

Apakah harapan anda terhadap insiden Lahad Datu ini?

Saya tahu ini adalah detik sukar untuk semua warga Malaysia dan pasukan keselamatan kita. Perkara ini sudah pasti memakan masa agak lama untuk berakhir. Tetapi, saya berharap tidak akan ada lagi kata-kata negatif terhadap pasukan keselamatan. saya berdoa perkara ini akan dapat ditamatkan dengan penuh diplomasi.

Perlukah kisah Lahad Datu difilemkan sebagai pengajaran kepada generasi akan datang?

Saya rasa ia tidak perlu menjadi filem. Lebih baik dijadikan dokumentari. Pada saya, siapa juga yang nak buat filem, ia tidak lari daripada nak dapat untung. Kalau dokumentari ia akan lebih diberi perhatian. Minta maaf cakap, filem hanya untuk untung.

Apakah pandangan mengenai seniman atau artis yang memilih politik?

Pada saya, mereka ini tidak jujurlah. Mereka kena tahu apa tujuan masuk politik? Tidak perlu hipokrit. Kalau artis itu mahu bersihkan diri dan dekatkan diri dengan agama, mereka tidak semestinya kena masuk politik. Sepatutnya mereka perlu belajar dulu. Bila mereka masuk platform politik, secara tidak langsung kita akan mengata orang juga, baik masuk pondok. Kita mahu berdakwah, kenalah sedar standard diri kita. Contohi Ustaz Akhil Hayy, belajar dulu betul-betul lepas itu bolehlah nak berceramah dan berdakwah.

Ada sesetengah pihak dilihat terlalu ekstrem dengan politik, bagaimana anda melihat situasi ini?

Pada saya kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam hal politik. Mana yang elok kita turut, tak perlu ekstrem mana-mana parti politik. Siapa pun yang memerintah negara, saya tetap macam ini juga. Kita perlu terbuka, jangan terlalu terikut dengan apa yang orang cakap. Jadi kita ikut mana yang elok, mana yang kita rasa betul. Satu hal lagi, mengapa jika ada pihak yang menghina negara diberi muka? Kenapa kita terlalu berlembut? Minta maaf, paling tidak saman. Kalau orang minum air ketum kita lempang pula. Ini orang yang sah-sah hina negara.

Orang ‘Imam Tua’ tumpas

Lahad Datu: Seorang lagi pengganas paling dikehendaki berjaya ditembak mati selepas lelaki berusia 60-an itu cuba menetak seorang anggota pasukan keselamatan dalam operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, lelaki terbabit yang bersenjatakan barong (pedang Suluk) menyerang dan menetak anggota keselamatan yang menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di perkampungan atas air itu. Namun, anggota keselamatan terbabit terselamat dan hanya cedera ringan kerana tetakan pengganas itu mengenai baju kalis peluru dipakainya.

Pengganas yang mati itu dikenal pasti sebagai pengawal dan pembantu kepada ‘Imam Tua’ iaitu seorang daripada pengganas yang ditembak mati selepas menyerang hendap sepasukan anggota keselamatan di Kampung Sri Jaya pada 2 Mac lalu, menyebabkan enam anggota polis terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam kejadian pagi semalam, pengganas terbabit meluru keluar dari sebuah rumah di kampung itu dan terus menetak di depan dan belakang badan anggota pasukan keselamatan itu.

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am bersiap sedia di Kampung Simunul, Semporna.

“Biarpun ditetak berkali-kali, anggota keselamatan dapat melepaskan tembakan menyebabkan pengganas itu terbunuh, manakala anggota kita tidak mengalami kecederaan serius,” katanya pada sidang media Op Daulat di Felda Residence Sahabat, di sini, semalam.