Pesawat MAS ke Beijing dilapor hilang


KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines yang sedang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang termasuk dua bayi bersama 12 kru dilaporkan hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ini.

MAS berkata penerbangan MH370, yang dikendalikan pesawat B777-200 berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.

Penerbangan MH370 itu dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang telah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu akan menyediakan perkembangan terkini berhubung keadaan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03 7884 1234 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Syarikat pembangun Candy Crush mahu apungkan saham


LONDON: Pembangun permainan video popular Candy Crush, King Digital Entertainment hari ini mengumumkan hasrat untuk menawarkan terbitan saham awam (IPO), sekali gus menyenaraikan syarikat itu di Bursa Saham New York.

Lebih sejuta pengguna terdiri daripada remaja mahupun pesara menggunakan aplikasi permainan video itu yang memerlukan pemain menyusun tiga gula-gula berbentuk sama pada paparan skrin komputer dan telefon pintar masing-masing.
Syarikat berkenaan sudah menyerahkan cadangan penyenaraian IPO itu kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu berhasrat menyenaraikan saham di papan utama Bursa Saham New York menggunakan simbol KING.

Berdasarkan kepada jangkaan yang dikeluarkan SEC, syarikat itu berharap dapat melonjakkan sahamnya kepada AS$500 juta.

Candy Crush bermula sebagai satu daripada permainan di laman sosial, Facebook pada 2012 yang boleh dimainkan secara dalam talian atau di telefon pintar.

Permainan ini boleh dimuat turun secara percuma tetapi pemain boleh membayar untuk ciri tambahan bagi membantu mereka melepasi halangan hingga peringkat ke-500 permainan.

Penganalisis permainan video di firma perundingan dan penyelidikan digital (IDATE), Laurent Michaud, berkata ia adalah perniagaan bersaiz sederhana, dengan model perniagaan global.

“Perniagaan mereka sudah berkembang dengan pesat. Tawaran Awam Permulaan (IPO) adalah hasil kepada pembangunan antarabangsa mereka,” katanya.

Berdasarkan kepada kajian IDATE, Candy Crush merekodkan kira-kira 700 juta sesi permainan dan jualan harian syarikat itu meningkat kepada AS$850,000.

Menurut soal selidik terhadap pemain Candy Crush tahun lalu, 30 peratus daripadanya mengakui ketagih dengan permainan itu manakala 67 peratus menyatakan bahawa ia memberi kesan terhadap cara kehidupan mereka.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan firma Ask Your Target Market mendapati suku daripada jumlah pemain membelanjakan wang mereka untuk permainan itu. - AFP

Facebook beli WhatsApp RM52 bilion


MENLO PARK - CALIFORNIA. Facebook telah membeli aplikasi WhatsApp dengan nilai RM52.71 bilion ($16 bilion).

Ia termasuk RM13 bilion ($4 bilion) tunai dan kira-kira RM39 bilion ($12 bilion) saham Facebook.

Perjanjian dibuat termasuk menyediakan tambahan ($3 bilion) di unit saham terhad sebagai jaminan kepada pengasas dan kakitangan WhatsApp yang akan diberikan tempoh lebih empat tahun untuk penutupan, kata Facebook dalam satu kenyataan medianya.

WhatsApp telah menguasai perkhidmatan pesanan mobil dengan lebih 450 juta penggunaan setiap bulan.

Pengambilalihan ini berkongsi misi untuk membawa lebih sambungan dan utiliti kepada dunia dengan menyampaikan perkhidmatan internet teras dengan cekap dan mampu milik.

"WhatsApp dalam rangka untuk menyambungkan 1 bilion orang. Perkhidmatan yang mencapai kejayaan yang sangat berharga.

"Saya telah mengenali Jan (Jan Koum) sejak dulu dan saya teruja untuk bekerjasama dengan beliau serta pasukannya bagi membuka dunia lebih luas," kata pengasas Facebook, Mark Zuckerberg.

Pengasas WhatsApp, Jan Koum berkata, pihaknya juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mark dan Facebook.

Direjam gara-gara Facebook

Sekadar gambar hiasan

DAMSYIK - SYRIA. Seorang remaja perempuan direjam hingga mati oleh kumpulan pelampau di Syria kerana mempunyai akaun laman sosial Facebook.

Mahkamah Syariah di Al- Reqqa menjatuhkan hukuman mati kepada Fatoum al-Jassem ekoran perintah di negara itu yang menganggap pemilik akaun Facebook tergolong dalam kumpulan komuniti tidak bermoral.

Media tempatan melaporkan, mangsa dibawa ke mahkamah oleh militan Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap menggunakan rangkaian laman sosial tersebut.

"Mahkamah yang berada di bawah bidang kuasa ISIS memutuskan mereka yang mempunyai akaun Facebook berhak dihukum dengan cara yang sama seperti kesalahan melakukan zina," menurut laporan itu. - Dailymail

'Khianat' bukan penyebab Schumacher jatuh

Schumacher

PENDAKWARAYA Perancis yang menyiasat kemalangan membabitkan Michael Schumacher mengesahkan, tiada bukti  melibatkan salah laku dalam insiden itu dan siasatan kes telah ditutup.

Patrick Quincy berkata, keterangan dan maklumat yang diberikan pihak resort Meribel di mana kemalangan itu berlaku adalah mematuhi undang-undang Perancis, lapor BBC.

Pemain lagenda Formula 1 Jerman yang berusia 45 tahun itu telah dirawat di unit rawatan rapi selepas  kepalanya mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan ketika sedang bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, Perancis.

Penyiasat mendapati, batu yang menyebabkan beliau jatuh berada 10.4 meter (34 kaki) dari dari batu yang terhantuk di kepalanya.

Kedua-dua batu-batu lebih daripada 4 meter dari tepi trek ski itu.

Juara dunia tujuh kali itu ketika ini masih berada di hospital di Grenoble.

Jurucakap beliau berkata pada 30 Januari lalu, pasukan perubatan telah mengurangkan ubat pelali sebagai persiapan untuk membawanya keluar dari keadaan koma.

Schumacher bersara dari dunia Formula 1 pada tahun 2006 selepas menjuarai 5 kejuaraan dunia berturut-turut bersama Ferrari dan dua kejuaraan dunia sebelumnya bersama Benetton.

Selepas berehat selama empat tahun, Schumacher kembali beraksi dalam sukan kegemarannya itu pada tahun 2010 bersama pasukan Mercedes namun kembali bersara semula tahun lalu selepas tidak berjaya bersama pasukan barunya itu.