Tulang belakang merujuk kepada susunan ruas tulang di bahagian belakang yang bertindak memberi sokongan kepada tubuh untuk berada dalam keadaan tegak. Ia merupakan susunan ketulan tulang yang merupakan susunan ketulan tulang yang membentuk tulang belakang yang terdapat pada semua vertebra.
Vertebra adalah bahagian yang menyokong badan dan melindungi saraf tunjang. Terdapat cakera di vertebra yang bertindak sebagai penyerap hentakan di antara vertebra.
Biasanya terdapat tiga puluh tiga (33) ruas tulang belakang (vertebra) pada manusia, termasuk lima yang bergabung bagi membentuk sakrum yang lain terpisah oleh ceper intervertebra dan empat tulang koksiks yang membentuk ekor. Tiga kawasan atas berdiri dari baki 24, dan di kelompok di bawah nama serviks (7 vertebra), toraks (12 vertebra) dan lumbar (5 vertebra) menurut kawasan didudukinya.
Penjagaan tulang belakang yang betul melalui kaedah mengangkat barang, postur duduk, postur berdiri, kaedah tidur dan cara berjalan yang baik dapat memastikan kesihatan tulang belakang anda.
Mengangkat barang
Cara Betul
- Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh anda. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.
- Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.
Cara Salah
- Elakkan membongkok atau memusing pinggang anda semasa mengangkat beban yang berat.
- Elakkan mengangkat beban terlalu jauh dari badan.
- Jangan mengangkat beban melebihi paras bahu. Keadaan ini menyebabkan ketegangan yang melampau kepada tulang belakang anda.
- Elakkan dari mengangkat secara pergerakan mengejut.
Duduk
Cara Betul
- Rapatkan punggung dan sandarkan belakang anda pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.
- Pastikan ketinggian tempat duduk anda sesuai dan kedudukan paha anda selari dengan lantai.
- Campurkan aktiviti anda dengan senaman/regangan/berjalan.
Cara Salah
- Elakkan duduk terlalu jauh dengan meja kerja anda dan elakkan duduk di atas kerusi yang terlalu tinggi.
- Elakkan membongkok ketika duduk.
- Pastikan anda tidak menggelongsor ketika duduk.
Memandu
Cara Betul
- Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut anda selaras dengan pinggang.
- Sokong bahagian bawah belakang anda menggunakan tuala yang digulung atau penyokong lumbar jika perlu.
Cara Salah
- Elakkan memandu terlalu lama tanpa berehat.
- Menekan pedal dan memegang stereng terlalu jauh akan menyebabkan ketegangan otot.
Tidur
Cara Betul
- Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.
- Apabila anda tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya lutut bersentuhan atau apabila anda tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut anda.
Cara Salah
- Elakkan tidur meniarap kerana ia akan menyebabkan sakit belakang.
- Elakkan tidur di atas sofa di ruang tamu untuk jangka masa yang panjang.
Berdiri dan Berjalan
Cara Betul
- Tukarlah posisi berdiri anda dengan kerap jika anda perlu berdiri lama.
- Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan anda.
- Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit yang rendah dan selesa.
Cara Salah
- Jangan berdiri terlalu lama dalam hanya satu posisi. Elakkan membongkok dengan kaki lurus.
- Elakkan memakai kasut tumit tinggi apabila berjalan atau berdiri untuk jangka masa yang lama.
Kesimpulan
Penjagaan tulang belakang yang sempurna dapat menghindarkan dari sakit belakang yang merugikan kita. Gaya hidup yang sihat serta aktiviti senaman dapat membantu mengekalkan tulang belakang yang sihat. Sekiranya anda mempunyai penyakit tulang belakang sila rujuk doktor anda sebelum membuat senaman yang berkaitan.
Terdapat senaman-senaman yang boleh menjaga tulang belakang antaranya adalah seperti berjalan, berbasikal, berenang, senaman menarik lutut sambil baring dan merengangkan pinggul.
Antara faedah mengamalkan penjagaan tulang belakang semasa bekerja adalah:
- Dapat mengekalkan tahap kesihatan dan kecerdasan ketika bekerja khususnya dalam kerja yang melibatkan kerja-kerja yang dilakukan dengan tangan.
- Membantu mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti majikan dengan mengurangkan bilangan hari sakit.
- Mengurangkan kos perubatan yang boleh dielakkan sama ada pada diri sendiri atau majikan.
- Memastikan hari tua yang sihat tanpa penyakit yang disebabkan oleh pekerjaan.
Sumber: Berita Harian