![]() |
Fernando Alonso
|
PELUMBA Ferrari, Fernando Alonso kini ‘terlalu tertekan’ apabila menyaksikan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan Formula Satu semakin terjejas selepas Grand Prix Jepun, menurut pasukan pesaing mereka, McLaren.
Pelumba Red Bull, Sebastian Vettel merapatkan jurang kepada empat mata di belakang Alonso selepas menjuarai perlumbaan di Suzuka, Ahad lalu apabila Alonso gagal menamatkan perlumbaan itu.
Lewis Hamilton dari McLaren ketinggalan 42 mata.
“Fernando kini berada di bawah tekanan sebenar, dia menerima lebih tekanan daripada Sebastian berbanding kami,” kata pengurus McLaren, Martin Whitmarsh.
“Begitupun kami semakin merapatkan jurang dengan hanya baki lima perlumbaan untuk dihabiskan.”

Insiden itu berlaku selepas Alonso menghadapi masalah pada sesi kelayakan, memulakan perlumbaan di petak keenam.
“Sudah pasti kami kecewa dengan apa yang terjadi tetapi kami perlu tenang dan mengambil tindakan susulan,” kata ketua pasukan Ferrari, Stefano Domenicali.
“Kami sedar setiap perlumbaan adalah berbeza dan apa yang terjadi kepada kami boleh berlaku kepada pelumba lain.
“Perkara paling penting adalah sentiasa bersikap rasional dan tidak tewas kepada musuh utama kami iaitu tekanan.
“Ia sesuatu yang penting musim ini dan kami mempunyai peluang untuk menebusnya dalam perlumbaan di Korea Selatan, Ahad ini.”
Ferrari mengakui pembangunan kereta mereka terjejas akibat masalah terowong angin, apabila simulasi penggunaan bahagian baru gagal berfungsi sebaik ia digunakan di litar.
Sebaliknya, Red Bull, memperkenalkan beberapa peningkatan yang berjaya mengatasi masalah awal musim dan kini menjadi kereta yang sukar dikalahkan pasukan lawan.
Alonso berkata selepas perlumbaan di Jepun itu kereta Ferrari yang dipandunya di Suzuka sama seperti enam perlumbaan sebelumnya.
“Anda perlu memahami betapa kecewanya Fernando selepas hujung minggu ini,” kata Domenicali.
“Kereta yang digunakan tidak sama seperti enam perlumbaan terdahulu kerana jika tidak kami akan lebih jauh ketinggalan berbanding pasukan lain yang mempunyai pembangunan jentera yang lebih baik.
“Kami perlu fokus dengan apa yang dilakukan. Kami tidak boleh membuang masa kerana akan berada di trek lain lima hari lagi dan boleh memanfaatkan kelebihan yang ada.”
Ditanya sama ada Ferrari tewas dalam ‘perlumbaan’ pembangunan jentera, Domenicali mengakui tidak tahu mengenainya.
“Kami melihat McLaren mempunyai kepantasan luar biasa di Singapura, semua orang berkata mereka begitu hebat tetapi kami tidak melihat perkara sama berlaku hujung minggu lalu.
“Sudah pasti Red Bull begitu hebat minggu lalu dan kami perlu lihat apa yang perlu dilakukan untuk menyamai tahap pembangunan jentera mereka, atau saya tidak tahu jika keadaan litar memihak kepada mereka.
“Begitupun, kami perlu pastikan bahawa kami mempunyai tekanan positif terhadap jurutera kami untuk memastikan dapat berlumba dengan baik.”
Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner percaya bahawa perebutan kejuaraan tahun ini adalah di antara Alonso dan Vettel.
“Kami perlu sentiasa cuba untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada kereta itu dan kejohanan ini adalah saingan di antara Fernando dan Sebastian dalam lima perlumbaan lagi.
“Saya tidak boleh menafikan peluang pelumba lain tetapi sesiapa yang beraksi cemerlang dalam lima perlumbaan berikutnya akan tampil sebagai juara.”
0 comments:
Post a Comment