NORA DANISH menafikan laporan terbaharu media yang mendakwa dia kini sedang rapat dengan seorang ahli perniagaan. |
Sering dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki termasuk penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, aktres kacukan Myanmar-Melayu itu pernah berhadapan dugaan paling besar apabila didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga aktor Adi Putra yang juga heronya dalam filem Aku Terima Nikahnya.
Bagaimanapun, apa yang lebih mengelirukan, Nora sering memberi kenyataan yang berbeza sewaktu memberi jawapan tentang kekasih hati baharu.
Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan sedang mengenali seseorang, rapat dengan ahli perniagaan dan mengaku ada kekasih, tetapi selepas semua kenyataan tersebut keluar, Nora sering menafikan hal tersebut. Dia sebaliknya menuding jari dengan mengatakan pihak media kerap membuat andaian kurang benar terhadap kenyataan yang diberikannya.
Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Aku Terima Nikahnya di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, ibu kepada seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli, 4, itu bertindak memberikan jawapan terhadap status dirinya yang sebenar.
Ia sekali lagi jauh menyimpang daripada jawapan tentang dirinya telah dimiliki seperti yang dilaporkan beberapa minggu lalu.
Kosmo!: Sebelum ini Nora ada menyatakan sedang mengenali hati budi seseorang. Namun, Nora pernah juga membuat kenyataan tidak memiliki kekasih. Kemudian baru-baru ini Nora menyatakan sedang rapat dengan seorang ahli perniagaan pula. Boleh jelaskan yang mana satu betul?
NORA: Secara jujurnya saya memang sangat terkejut apabila dikatakan rapat dengan ahli perniagaan, sedangkan saya tidak pernah membuat kenyataan sedemikian sewaktu ditemu bual sebuah akhbar dua minggu lalu. Dalam temu bual tersebut, saya memberitahu buat masa sekarang saya memang berkawan dengan ramai lelaki, namun tidak terfikir untuk memilih salah seorang daripadanya untuk menjadi teman hidup saya.
Jadi, bagaimana boleh timbul kenyataan sedemikian?
Semasa saya memberi penjelasan yang sebenar ketika rakan-rakan wartawan bertanyakan soalan yang menyentuh tentang kehidupan peribadi terutamanya berkenaan teman istimewa, mungkin ada yang memberi interpretasi atau tafsiran berbeza terhadap kenyataan saya itu. Misalnya, apabila saya menyatakan berkawan dengan ramai lelaki, tetapi tidak mustahil salah seorang daripadanya serasi dengan saya. Tiba-tiba saya dikatakan sudah rapat dengan seseorang, sedangkan pada hakikatnya tiada sebarang hubungan istimewa yang wujud.
Setelah empat tahun bergelar ibu tunggal, adakah Nora sudah bersedia menamatkan zaman janda?
Memang saya akui sekarang mempunyai ramai kawan lelaki, namun tiada langsung perancangan untuk berkahwin dan saya selesa dengan keadaan sekarang. Buat masa ini saya mahu lebih fokus kepada kerjaya dan membesarkan Rayqal.
Dalam sebuah akhbar baru-baru ini menampilkan gambar Nora dan aktor Adi Putra dalam keadaan yang sangat romantik. Tidak risau sekiranya peminat kembali membangkitkan isu yang mengaitkan anda sebagai punca berlakunya masalah perkahwinan Adi sebelum ini?
Bagi saya, gambar-gambar tersebut tidak memberi sebarang makna terhadap kontroversi yang pernah berlaku dan tujuannya sekadar untuk mempromosikan filem Aku Terima Nikahnya memandangkan kami berlakon sebagai pasangan suami isteri. Lagipun, kami berdua juga pernah bergandingan menerusi drama bersiri Tentang Dhia, namun tidak timbul pula sebarang cerita yang negatif. Sebagai pelakon, kami perlu bertindak profesional dan saya rasa gambar tersebut tidaklah melampau.
Bagaimana pula dengan gambar Nora yang cukup seksi itu?
Itu semua adalah gambar-gambar lama yang telah diambil sebelum saya mengerjakan umrah dahulu. Saya tahu ada segelintir peminat yang memberi persepsi negatif terhadap gambar berkenaan memandangkan mereka sangat berharap agar saya tidak lagi tampil seksi sekarang.
Apatah lagi, ketika mereka membaca kenyataan yang mengatakan saya akan bertudung. Saya menyatakan hasrat untuk mengubah penampilan memang ada cuma tidaklah terlalu drastik, tetapi tidak pernah pula berkata akan bertudung dalam masa terdekat ini. -KOSMO
0 comments:
Post a Comment