Simone Del Nero |
Kelibat Del Nero sebagai pemain tengah untuk pasukan Harimau Selatan itu mencuri tumpuan lebih 7,000 penyokong Johor yang hadir memberi sokongan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunus, Larkin.
Aksi menarik serta kualiti yang ditampilkan bekas pemain Lazio itu membuktikan bahawa dia masih berbisa biarpun sudah kurang beraksi sebelum ini ekoran dibelenggu kecederaan.
Sambil menyifatkan aksi Del Nero sebagai lumayan, pengurus pasukan yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad turut berpuas hati dengan persembahan ditonjolkan anak buahnya yang menundukkan SMFC 4-0 pada perlawanan itu.
Menurutnya, Del Nero memberikan persembahan baik dengan banyak membuka ruang bagi pasukan Johor mendapatkan bola selain sering melakukan hantaran dan umpan yang baik terutama apabila berjaya membantu menghasilkan gol pertama pasukan.
"Persembahan dia hebat hari ini. Dia juga seorang yang kreatif serta hantaran yang dilakukan sangat baik dan sudah tentu kita gembira dengan prestasi ditunjukkan bukan sahaja Del Nero tetapi seluruh pasukan," katanya kepada pemberita di sini.
Bagaimanapun, Fandi berkata, kecergasan Del Nero belum mencapai 100 peratus, namun beliau yakin dengan latihan yang diikuti pemain berusia 31 tahun itu mampu berada pada prestasi terbaiknya.
Tambahnya, Del Nero yang pernah membantu skuad Bawah 21 Itali merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Eropah pada 2004 juga menunjukkan kesungguhan untuk berlatih bersama pasukan apabila bercadang menyambut perayaan Hari Krismas di negeri ini.
Dalam pada itu, Fandi memberitahu, lima pemain kebangsaan yang bakal bermain untuk Johor musim depan dan kini bersama skuad kebangsaan mempertahankan Piala Suzuki AFF akan diberi cuti rehat selama tiga hari sebelum menyertai pasukan.
"Insya-Allah kalau Malaysia masuk final kita bagi mereka rehat selama tiga hari maksimum. Kita juga akan buat latihan persendirian untuk mereka dengan memberi tumpuan kepada taktikal dan persefahaman," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment