F1: Raikkonen menang Grand Prix Abu Dhabi

Kimi Raikkonen meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Abu Dhabi di litar Yas Marina,
semalam. - REUTERS
ABU DHABI - Pemandu Lotus-Renault, Kimi Raikkonen mencipta kejutan pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Abu Dhabi semalam apabila mengetepikan Fernando Alonso dan Sebastian Vettel untuk meraih kejuaraan sulungnya pada musim ini.

Malahan kejayaan itu juga merupakan yang pertama buat Lotus sejak kemenangan mendiang Aryton Senna sewaktu GP Amerika Syarikat pada 1987.

Biarpun disaingi oleh Fernando Alonso pada enam pusingan terakhir, Raikkonen, juara dunia 2007 mengekalkan pemanduan yang tenang sebelum melintasi garisan penamat sekali gus menghampakan pemandu Ferrari itu yang dalam misi memburu kejuaraan dunia.

Vettel yang bermula dari petak paling belakang, menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk berada pada tempat ketiga iaitu kedudukan podium setelah memintas pemandu McLaren, Jenson Button ketika berbaki lima pusingan.

Alonso bagaimanapun mungkin boleh menarik sedikit nafas lega kerana mampu merapatkan jurang di belakang Vettel dalam kejuaraan dunia dari 14 mata ke 10 mata dengan perlumbaan hanya tinggal berbaki dua pusingan yang tinggal pada musim ini iaitu di Amerika Syarikat dan Brazil.

Vettel kini memungut 255 mata berbanding Alonso, 245 mata manakala Raikkonen naik pada tangga ketiga keseluruhan iaitu dengan 198 mata.

Lewis Hamilton yang memimpin awal perlumbaan gagal menamatkan cabaran apabila jenteranya mengalami masalah pada pusingan ke-20.

Insiden penuh dramatik berlaku apabila pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan pemandu Hispania, Narain Karthikeyan berlanggar dan hampir menyebabkan kemalangan teruk.

Kereta Rosberg terkena bahagian tepi belakang Karthikeyan ketika kedua-dua pemandu itu memecut 310 kilometer sejam sehingga menyebabkan kereta Rosberg melayang mengenai kereta Karthikeyan sebelum melanggar tembok litar tetapi kedua-dua pemandu terselamat. - AGENSI

0 comments:

Post a Comment