Rakan mangsa tidak dapat menahan sebak melihat jenazah Ishak yang maut dalam
kemalangan semalam.
|
PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai konvoi Cop Bikers Kota Tinggi, Johor Bahru maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.6, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), pagi semalam.
Mangsa, Ishak Jaafar, 53, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sementara empat penunggang dan pembonceng lain mengalami cedera parah.
Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku selepas sebuah kereta jenis Honda CRV memintas kumpulan konvoi yang ketika itu berada di laluan sebelah kanan dari arah Shah Alam menuju ke Subang Jaya dari arah utara.
Kereta itu dipercayai brek mengejut selepas memintas, menyebabkan mangsa merempuh belakang kereta.
Ketua konvoi, Mohd Asri Abdul Karim berkata, mangsa berada di bahagian hadapan, gagal mengawal motosikal dan terbabas.
Menurutnya, Ishak yang bekerja sebagai peneroka di Felda Adila turut membawa isterinya menyertai konvoi tersebut.
“Kami bertolak dari Kota Tinggi awal pagi tadi (semalam) untuk program jelajah motosikal ke Lumut, Perak, Pulau Pinang dan Alor Setar.
“13 motosikal berkuasa tinggi dan lebih kurang 20 peserta menyertai konvoi yang sering diadakan pada setiap bulan,” katanya.
Mohd Asri berkata, pihaknya akan menguruskan jenazah Ishak dan terpaksa membatalkan jelajah tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat sementara empat yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
0 comments:
Post a Comment