RAJAGOBAL (kiri) memberi penerangan kepada pemain-pemain Harimau Malaya pada sesi
latihan mereka di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
|
YANG bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.Itu perumpamaan tepat buat Harimau Malaya supaya kembali bangkit melakar kemenangan ke atas Laos dalam aksi kedua Piala Suzuki AFF 2012 malam ini sebaik dimalukan Singapura 0-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Tampil selaku tuan rumah kejohanan bersama Thailand pada edisi kali ini, skuad negara dilihat masih bergelut dengan prestasi sebenar selepas menyaksikan kerapuhan di bahagian pertahanan serta kepincangan jentera tengah Harimau Malaya ketika menentang Sang Singa.
Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal seakan-akan ‘sengaja’ memilih haluan sukar yang mana skuad negara wajib menang ketika menentang Laos dan Indonesia sekiranya masih berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu.
Begitupun, Rajagobal seperti biasa kekal optimis dan menyifatkan Harimau Malaya sudah bersedia untuk mendapatkan tiga mata berharga dalam pertemuan menentang Laos malam ini.
Bagi jurulatih berusia 56 tahun itu, beliau lebih berminat untuk menumpukan perhatian menentang Laos berbanding memikirkan kekalahan memalukan di tangan Singapura selain mengakui bersedia untuk merombak pasukannya.
“Adakah kita perlu bimbang mengenai kekalahan kepada Singapura atau perlu bimbang pada aksi dengan Laos esok (hari ini)?
“Jika anda kecewa, saya lagi kecewa kerana bagi saya, keputusan ketika menentang Singapura adalah satu keputusan yang teruk. Saya sendiri tidak menjangkakan persembahan kami tidak begitu bertenaga.
“Pertemuan dengan Laos sangat penting bagi kami kerana skuad negara wajib menang pada baki dua perlawanan ini. Oleh itu saya bakal membuat perubahan besar tetapi saya tidak boleh memberitahu nama pemain yang akan diketepikan.
“Saya tidak pernah menyerah kalah dan saya percaya, kami masih ada peluang (untuk mara ke peringkat separuh akhir),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Seri Kembangan semalam.
Dalam perkembangan lain, kem skuad negara juga menerima tamparan apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dijangka tidak dapat diturunkan dalam pertemuan menentang Laos malam ini.
Ini kerana Norshahrul yang juga dikenali sebagai Mat Yo, dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit kepala dan status kesihatan pemain kelahiran Terengganu itu masih belum disahkan.
“Mat Yo kini berada di hospital untuk diperiksa lebih lanjut dan kemungkinan esok (malam ini) kita akan tahu status Mat Yo sama ada dia dapat diturunkan atau sebaliknya.
“Saya bertemu dengannya selepas perlawanan tetapi dia mengadu sakit kepala kepada kami dan doktor mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
“Saya tidak boleh buat apa-apa (sekiranya Mat Yo tidak dapat diturunkan) dan saya terpaksa memikirkan siapa yang dapat ganti Mat Yo ketika menentang Laos nanti,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Laos, Kokichi Kimura pula berkata, beliau mahu skuad kendaliannya mengulangi persembahan cemerlang ketika mengikat finalis Piala Suzuki AFF 2010, Indonesia 2-2 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B.
Katanya, beliau menggesa barisan pemainnya memberikan aksi terbaik dalam usaha untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
“Jika Malaysia bermain seratus peratus, saya mahu pemain saya bermain 120 peratus bagi memperoleh tiga mata,” katanya.
0 comments:
Post a Comment