Safee, Mat Yo cari bekalan selesa


Safee Sali dan Norshahrul Idlan berharap untuk meledak banyak gol Ahad ini untuk pasukan bagi mendapatkan bekalan yang selesa pada separuh akhir kedua.

Penyerang Harimau Malaya itu kini sedang merawat kecederaan 'hamstring' yang dialami semasa perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang Indonesia.

"Kecederaan sehingga kini menunjukkan perkembangan positif kerana berdasarkan imbasan yang dilakukan oleh doktor pasukan hari ini, tahap kecederaan saya kini bertambah baik antara 50-70 peratus," kata Safee.

Pemain yang bakal beraksi selama semusim secara pinjaman bersama Johor itu berkata perlawanan menentang skuad Thailand atau lebih dikenali sebagai 'Changsuk' sangat istimewa berdasarkan saingan sengit yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dalam beberapa edisi Piala AFF sebelum ini.

"Saya menjangkakan perlawanan pada tahun ini mungkin lebih sengit namun saya berharap rakan sepasukan mampu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk membawa bekalan selesa ke aksi separuh akhir kedua nanti," katanya.

Sementara itu Norshahrul Idlan Talaha pula berharap mampu menembusi kekebalan gawang Thailand yang hanya dibolosi dua gol setakat ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Norshahrul atau dikenali sebagai 'Mat Yo' di kalangan rakan sepasukan menembusi gol lawan ialah ketika membantu pasukannya, Kelantan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 20 Oktober lepas.

"Saya sudah menemui rentak permainan seperti corak serangan bersama rakan sepasukan cuma masalahnya ialah untuk mencari gol.

"Mungkin disebabkan keinginan untuk menembusi gol lawan belum saya temui, justeru mungkin rezeki saya untuk menjaringkan gol belum tiba lagi" katanya.

Skuad kebangsaan akan bertolak ke Thailand pada Selasa depan untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Disember ini.

0 comments:

Post a Comment