Pasukan The Red Giants mengekalkan prestasi baik selepas berjaya mengutip tiga mata dengan kemenangan
2-0 ke atas Kelantan di Stadium Shah Alam. |
SHAH ALAM, Jaringan oleh penyerang import, Francis Forkey Doe pada minit ke-12 meletakkan Selangor dalam situasi yang baik untuk terus mengekalkan rentak dalam perlawanan.
Pertahanan, Ramez Dayoub kemudian menyumbat gol kedua pada minit ke-26.
Perlawanan ini dinantikan ramai penyokong Liga Super selepas Liga Malaysia berehat selama tiga minggu. Kemenangan ini satu permulaan yang baik untuk skuad bimbingan Irfan Bakti yang begitu optimis Selangor akan mengutip tiga mata sebelum perlawanan bermula.
Masalah serangan Kelantan berterusan selepas juara treble musim lepas itu gagak mencatatkan sebarang jaringan di Stadium Shah Alam.
Ketiadaan Amri Yahyah yang digantung satu perlawanan telah menggesa Irfan Bakti menggandingkan Forkey Doe dengan Ramzul Zahini di bahagian serangan.
Hanya selepas 12 minit perlawanan dimulakan, Francis Forkey Doe telah berjaya menyumbat masuk gol melepasi Norazlan hasil hantaran lintang yang cantik dari Ramzul Zahini.
Kelantan cuba untuk bangkit dengan beberapa asakan selepas ketinggalan 1-0 namun mereka gagal untuk menembusi benteng pertahanan Selangor yang kukuh yang diketuai oleh Ramez Dayoub.
Kehebatan barisan pertahanan pasukan tuan rumah sepertinya harus lebih diberi pujian selepas Ramez menanduk masuk jaringan kedua untuk Selangor hasil hantaran dari Mahali Jasuli.
Obinna kemudian membuat hantaran kepada Izuan Salahuddin dari kanan namun rembatan Izuan tersasar.
Ketumpulan jentera serangan The Red Warriors tidak dapat dinafikan selepas beberapa peluang gagal dimanfaatkan dengan baik sebelum separuh masa pertama tamat.
Perlawanan lebih seimbang pada babak kedua walaupun tiada jaringan dicatatkan oleh kedua-dua pasukan.
Hodak telah melakukan dua perubahan dalam pasukannya apabila dia memasukkan Badhri Radzi menggantikan Zairo Anuar dan Keita Mandjou masuk menggantikan Haris Safwan.
Pada minit ke-68, Badhri membuat hantaran kepada Keita di dalam kotak penalti namun tandukannya tersasar.
Dua minit selepas itu, Selangor kelihatannya masih ingin mendapatkan jaringan apabila Irfan Bakti melakukan penukaran pertama dengan menggantikan Ramzul dengan Afiq Azmi.
Kelantan lebih melakukan percubaan jarak jauh selepas menyedari sukar untuk melepasi benteng pertahanan Red Giants. Rembatan Daudsu pada minit ke-77 tidak berhasil.
Pada masa penamat, Kelantan hampir mendapatkan sekurang-kurangnya gol saguhati apabila sepakan percuma Badhri sampai ke Obinna di dalam kotak penalti namun pantas ditepis oleh Norazlan.
0 comments:
Post a Comment