Seperti yang kita sedia maklum, pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 orang termasuk sebahagian besarnya bersenjata, yang memakai pakaian celoreng tentera, mendarat di pantai Lahad Datu, Sabah.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Tentera Diraja Sultan Sulu, dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas, dan Kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas (22 Feb) untuk meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutann empat hari hingga Selasa atas alasan Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka.
Semalam terdapat tanda-tanda positif situasi tegang ini akan berakhir apabila kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kesemua mereka termasuk pengawal bersenjata, yang bertahan di Lahad Datu itu.
Kapal yang bernombor AT296, belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan berkenaan.
Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina dalam satu kenyataan berkata, pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan
Malaysia di Manila.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah mereka dan keluarga,
“sekalipun pada masa yang sama kami sedang berusaha menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan”.
“Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri,” katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: “Kami amat mengambil berat tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan itu, dan kami
menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air.”
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino, serta sukarelawan dan petugas perubatan.
TETAPI LAPORAN TERKINI yang diterima cukup meresahkan.
Pemimpin kepada kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Raja Muda Agbimuddin Kiram berkeras untuk meneruskan tuntutan mereka ke atas Sabah walaupun tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan Malaysia agar mereka meninggalkan negara ini telahpun berakhir semalam.
“Terus berjuang atau mati,” kata Agbimuddin kepada stesen radio Filipina, Radyo Inquirer kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Saya percaya kami di pihak yang benar dan tempat ini milik kami. Kami akan bertahan,” tambahnya.
Persoalannya sekarang ialah, APA SEBENARNYA YANG SEDANG BERLAKU SEKARANG INI?
Di saat kita seolah-olah boleh menarik nafas lega dengan kenyataan pihak berkuasa, kumpulan penceroboh pula ternyata menyatakan pendirian yang sebaliknya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein boleh dipuji kerana mengambil berat tentang permasalahan ini termasuk ‘terbang’ ke kawasan konflik walaupun tindakan itu boleh mengancam nyawanya.
Tetapi pada masa yang sama, Hishammuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tidak boleh terus membuatkan rakyat berada dalam teka-teki.
Kita faham, kerajaan mungkin ada ‘cara’ untuk menyelesaikan perkara ini tetapi rakyat juga berhak untuk mengetahui perkembangan kes tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan tanah air yang tercinta ini.
Mungkin ada benda yang tidak boleh diperincikan kerana ia melibatkan ‘strategi’ PDRM sendiri di mana ia mungkin boleh menjejaskan proses rundingan .
Namun zaman sekarang ini rakyat boleh akses kepada maklumat dengan mudah, hanya semudah menekan tetikus di hujung jari.
Kita bimbang, akan ada selepas ini anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang akan mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat yang salah, atau lebih tepat, mengapi-apikan keadaan supaya keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal!
Jadi sebelum benda-benda itu berlaku, kita berharap Hishamuddin dan Ismail dapat berbuat sesuatu agar rakyat tidak terus tertanya-tanya atau berada dalam keadaan teka-teki.
Percayalah, jawapan ’semuanya berada dalam keadaan terkawal’ saja tidak cukup.
Namun dalam apa keadaan sekali pun, kita percaya dan penuh yakin Hishammuddin dan Ismail mampu menangani masalah ini.
Cuma, itulah seperti mana yang dikatakan tadi, rakyat resah dan keresahan ini ternyata ada asasnya kalau bersandar pada kenyataan ketua pencoroboh itu.
Semoga situasi di Lahad Datu ini akan selesai tanpa melibatkan pertumpahan darah, ibarat menarik rambut dalam tepung…rambut tak putus, tepung tak berselerak!
Pada Allah akhirnya kita berserah.
*Gambar di atas adalah gambar fail
-Mynewshub
0 comments:
Post a Comment