Hampir dua tahun mengacarakan Nona sejak Januari 2012, pengacara popular Fara Fauzana mengakui jiwanya semakin sebati dengan program berkenan. Kata pemilik nama sebenar, Fara Fauzana Mohd Fadzil, 33, ini dia juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pengacara jelita yang digandingkan dengannya dalam Nona iaitu Nor Neelofa Mohd Noor (Lofa).
“Saya tidak kisah pun jika orang nak bandingkan saya dengan Lofa ketika mengacarakan Nona kerana itu pandangan peribadi masing-masing. Ketika saya ambil alih program Melodi dulu pun, orang tetap bandingkan saya dengan pengacara sebelumnya.
“Bagi saya ia asam garam dalam bidang hiburan tanah air. Apa yang penting, saya dan Lofa selesa untuk bekerjasama dalam memantapkan lagi Nona.
BAKAL bergandingan dengan Zizan sebagai hos ABPBH 2012. |
FARA sibuk melayan peminatnya di Rojak Box. |
“Saya juga mengacarakan Nona dengan cara sendiri. Ketika mula-mula mengendalikan Nona dulu, memang ada peminat yang berasa janggal dan komen suara saya ‘kepit’ dan ‘control’ ketika itu. Namun, masuk tahun kedua bersiaran, orang sudah boleh terima itu memang cara saya ketika mengacarakan Nona,” katanya.
Justeru, apabila diminta mengulas gosip yang mendakwa, dirinya akan meninggalkan Nona tidak lama lagi, Fara menafikannya sama sekali.
“Itu hanya spekulasi orang saja kerana saya tidak pernah dengar pun gosip sama ada saya atau Lofa akan meninggalkan Nona. Pada tahun pertama bersiaran dulu, memang saya mengacarakan program ini seorang saja dan Lofa hanya pengacara bersama kerana dia sibuk dengan penggambaran ketika itu.
“Tapi, kami terus digandingkan sebagai hos bersama sekali gus dalam Nona pada tahun kedua bersiaran. Maklumlah, kontrak saya sebagai pengacara Nona masih berbaki tiga tahun lagi. Tapi saya tidak tahu pula berapa lama kontrak Lofa sebagai pengacara Nona kerana perkara itu di bawah pihak pengurusan Media Prima,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai wajah baru dalam Nona, Fara mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi Nona terutama dari aspek penampilannya.
“Saya ingin memperbaiki dari aspek penampilan supaya ia nampak lebih sesuai untuk imej program Nona. Antaranya, dengan menghadiri kelas perunding imej anjuran personaliti terkenal, Sharifah Shawati. Berbanding pada kemunculan awal dalam Nona dulu, saya percaya banyak kekurangan dari segi penampilan di kaca TV sudahpun diperbaiki sekarang,” katanya.
Sepanjang mengendalikan Nona, Fara mengakui kredibilitinya sebagai pengacara sudahpun teruji ketika membuat liputan bersama Nona selama seminggu di bumi Gaza pada 28 Januari hingga 3 Februari lalu.
“Saya menimba pengalaman cukup berharga dalam hidup ketika membuat liputan bersama kru Nona di sana. Antara yang sukar dilupakan ialah ketika berdepan dengan bahaya peluru sesat apabila terdengar bunyi tembakan di luar bilik Hotel Arcmed, Gaza tempat kami menginap pada hari terakhir kami di sana.
“Sebagai wanita, hati siapa yang tidak tersentuh dengan nasib kanak-kanak yang tidak berdosa dan menjadi mangsa kekejaman di sana. Selain itu, saya juga terkejut kerana kanak-kanak di Gaza cukup bersopan santun dan tidak berebut pun untuk mengambil coklat diberikan kepada mereka ketika kunjungan kami ke kampung mereka,” katanya.
Fara ditemui pada majlis makan-makan bersama peminatnya dan pihak media di premis miliknya, Rojak Box yang beroperasi di KL Sentral, di sini, Jumaat lalu.
Fara membuka perniagaan makanan itu lebih seminggu lalu bersama dua lagi rakan kongsi daripada Will Group Berhad iaitu Widayu Latiff, 35, dan Aliza Ali, 29.
Mengulas pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), penyampai radio Hot FM ini mengaku dia hanya serahkan kepada penilaian peminat nanti.
Pada ABPBH2012, Fara tercalon dalam dua kategori iaitu Penyampai Radio Wanita Popular selama enam tahun berturut-turut dan Pengacara TV Wanita Popular buat kali kelapan.
“Terus terang, saya tidak fikir soal menang atau kalah pada kedua-dua kategori dipertandingkan kali ini kerana fokus utama saya lebih pada persiapan sebagai hos dengan Zizan Razak. Maklumlah, ia kali pertama diberi kepercayaan mengendalikan ABPBH dengan Zizan.
“Apa yang pasti, saya dan Zizan akan bekerjasama memberikan yang terbaik pada anugerah berprestij bertemakan ledakan geometri yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April nanti,” katanya.
Fara sudah buat persiapan kahwin
CERITA Fara dikatakan mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya turut menjadi bualan ramai, sekali gus mendapat tempat di laman sosial dan akhbar. Malah, kenyataan itu keluar daripada mulut Fara sendiri yang mengiyakan cerita berkenaan.
“Saya memang seorang yang suka merancang termasuk berkaitan soal jodoh. Apatah lagi, usia pun sudah mencecah 33 tahun. Sebab itu, saya sudah mula membuat persediaan awal terutama kedai tempahan kad kahwin, pereka busana yang sesuai untuk majlis akad nikah dan bersanding, sekali gus butik yang sesuai untuk pelamin, bunga telur dan sebagainya lagi.
“Justeru, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh pada tempoh terdekat ini, saya tidaklah kelam-kabut pula nanti untuk membuat persiapan kahwin,” katanya.
Bagaimanapun, akui Fara yang sudah dua kali putus cinta, dia masih belum bertemu jejaka yang sesuai untuk dijadikan calon suaminya lagi.
“Buat masa ini, saya memang ada ‘berkawan’ dengan lelaki tetapi belum ada yang serius lagi. Kriteria lelaki yang saya cari ialah yang beriman yang boleh membimbing menjadi isteri yang baik. Saya juga menyasarkan usia 35 tahun untuk berkahwin dan membina keluarga. Tapi soal jodoh, saya serahkan pada ketentuan Tuhan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment