Webber, Vettel bakal berpisah


London: Mark Webber dan Sebastian Vettel tidak akan kekal bersama dengan juara Formula Satu, Red Bull selepas musim ini, menurut bekas pengurus dari Itali Flavio Briatore.

Briatore, bekas bos pasukan Renault yang menjadi sebahagian pengurusan Webber sepanjang kariernya dalam Grand Prix berkata, beliau menghubungi pemandu Australia itu Isnin lalu selepas GP Malaysia.

Beliau berkata, Webber masih marah dengan kemenangan juara dunia tiga kali Vettel di Sepang selepas mengingkari arahan pasukan dan memintasnya pada beberapa pusingan terakhir.

“Saya tidak fikir hubungan ini dapat dipulihkan,” kata Briatore.

Ditanya jika beliau menjangkakan kedua-duanya akan meninggalkan pasukan hujung tahun ini, warga Itali itu berkata: “Sudah tentu. Tahun lalu sudah wujud banyak masalah.” Kontrak Webber berakhir hujung musim ini manakala Vettel terikat dengan Red Bull hingga sekurang-kurangnya hujung 2014.

Dia dan Vettel beberapa kali bertelagah sejak kedua-duanya berganding pada 2009, termasuk perlanggaran pada GP Turki 2010 yang menafikan kemenangan Webber dan menyebabkan pemandu Jerman itu terkeluar daripada perlumbaan.

Webber beberapa kali mendakwa pasukannya lebih menyebelahi Vettel, sekalipun mereka berkeras menyatakan kedua-duanya memiliki status sama rata.

Briatore berkata, Malaysia membuktikan Vettel berkuasa di Red Bull bukannya prinsipal pasukan Christian Horner. - Reuters

0 comments:

Post a Comment