Penduduk China mengakui durian dari Malaysia paling sedap untuk dimakan. Jadi bukan sesuatu menghairankan apabila permintaan produk durian sejuk beku sangat tinggi di negara itu, sekali gus memberi peluang besar bagi pengusaha untuk meluaskan pasaran.
Atas sebab itu kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meneroka pasaran lebih luas bagi durian sejuk beku di negara berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mustafa Kamal Baharuddin berkata, proses mendapat kelulusan laluan pasaran bagi durian sejuk beku dari China bukan mudah kerana membabitkan pelbagai proses kelulusan yang rumit seperti analisis risiko perosak (PRA).
Hal ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk membekalkan segala maklumat teknikal diperlukan Jabatan Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ) bagi melengkapkan PRA.
Katanya, hanya selepas tujuh tahun permohonan dikemukakan iaitu pada 2004 barulah kerajaan China membenarkan pengeksportan pertama yang dilakukan pada 2011 oleh FAMA Batu Kurau, Perak.
"Kejayaan mengeksport durian sejuk beku ke China bermula pada 23 November 2007, di mana pada tarikh itu MOA serta AQSIQ mencapai persetujuan berkaitan Protokol Pemeriksaan dan Kuarantin bagi Eksport Durian Sejuk Beku dari Malaysia ke China.
"Berdasarkan artikel dua protokol itu, semua ladang yang terbabit membekalkan durian untuk dieksport ke China perlu diselia MOA serta mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) dan Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB)," katanya pada majlis penyampaian sijil akreditasi fasiliti memproses durian sejuk beku ke China di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini.
Ketika ini, hanya enam pengusaha fasiliti memproses durian beku termasuk dua yang diusahakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu Kurau, Perak yang mendapat kelulusan pada 2011 manakala Jerantut, Pahang pada 2012.
Empat lagi fasiliti dikendalikan syarikat persendirian iaitu Topfruits Sdn Bhd, Batu Pahat, Johor; Lee Moon Sdn Bhd, Semenyih, Selangor; Hernan Corporation Sdn Bhd, Subang, Selangor dan ARTM Services Sdn Bhd, Melaka, mendapat kelulusan pada 2012.
Klon durian yang paling popular adalah D 24 dan D 197 atau lebih dikenali sebagai Moasan King.
Menurutnya, sehingga kini Jabatan Pertanian sudah mendaftar 49 ladang durian berkeluasan 486. 2 hektar di bawah Skim Amalan Ladang Baik (SALM) untuk eksport ke China.
Malah, bagi menjamin bekalan durian segar yang berkualiti dan berterusan, Jabatan Pertanian turut membangunkan Kluster Durian di Batu Kurau, Perak; Raub, Pahang dan Ledang/Tangkak, Johor.
Mustafa Kamal berkata, sebagai jaminan produk durian sejuk beku yang dihasilkan bersih dan selamat, artikel tiga dalam protokol mengkehendaki semua fasiliti memproses durian sejuk beku mengamalkan Amalan Pengilang Baik (APB) dan sijil ini diberikan oleh Kementerian Kesihatan.
"Semua pengusaha yang ingin mengeksport durian sejuk beku ke negara itu perlu membina fasiliti memproses mengikut keperluan ditetapkan AQSIQ dan ia perlu diperiksa sendiri pegawai AQSIQ sebelum kelulusan eksport diberikan," katanya.
Beliau berkata, pengeksportan durian sejuk beku yang laluan pasarannya diusahakan sendiri Jabatan Pertanian bertujuan meningkatkan pendapatan petani, pengeksport dan negara.
"Memproses durian secara sejuk beku dapat menjamin jangka hayat produk ini dengan kualiti lebih terjamin dan seragam.
"Di samping itu, masalah lambakan durian dapat diatasi kerana durian segar boleh diproses menjadi durian sejuk beku dan boleh disimpan dalam tempoh lama.
"Ia juga boleh dihantar ke negara lebih jauh seperti China dan Amerika Syarikat kerana cara pembungkusan akan mengurangkan bau yang boleh diterima oleh pengangkutan secara kargo, mengurangkan kos pengangkutan dan boleh dijual dengan harga lebih tinggi," katanya.
Katanya, walaupun rasa durian beku mungkin kurang sedikit berbanding yang segar, kelebihan jangka hayat dan cara memakan yang betul tidak akan menyebabkan perbezaan yang ketara.
Malah katanya, pengeksportan durian sejuk beku ke China adalah pemangkin kepada pengeksportan produk pertanian lain pada masa depan.
"Pemilihan negara itu sebagai pasaran utama kerana hubungan perdagangan yang wujud di antara kedua-dua negara sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.
"Hubungan baik yang sudah lama terjalin ini boleh digunakan untuk meningkatkan pengeksportan produk pertanian ke negara itu, malah populasi rakyat China yang berjumlah kira-kira 1.3 bilion dapat meningkatkan permintaan terhadap produk ini.
"Selain itu, penerimaan rakyat China terhadap buahan tropika seperti manggis dan nangka juga semakin meningkat," katanya.
0 comments:
Post a Comment